Home Berita PAS Johor

Liqa’ Fikri PAS Sekijang Menyuntik Semangat Ahli Agar Terus Istiqamah

1324
SHARE

SEGAMAT– Menyedari bahawa program pentarbiyyahan amat penting sebagai nadi organisasi parti,maka PAS Kawasan Sekijang sentiasa konsisten mengadakan Liqa’ Fikri PAS Sekijang secara berkala di bawah kelolaan Urusan Ulamak PAS Sekijang .

Kehadiran Al-Fadhil Ustaz Azlisham Bin Azahar,Ketua Dewan Ulamak PAS Negeri Johor di Markaz Paya Pulai ,Segamat pada 31 Oktober yang lalu baru-baru ini dan menyampaikan tazkirah serta memimpin solat hajat berjamaah telah menyuntik semangat ahli PAS Sekijang agar terus beristiqamah dalam menongkah arus perjuangan serta tabah dan sabar dalam mengharungi mehnah dan tribulasi dalam perjuangan.Program yang bermula seawal jam 9 malam ini dikendalikan oleh Pn.Normala Binti Sudirman selaku Setiausaha PAS Kawasan Sekijang merangkap Penyelia Pusat Aduan Rakyat DUN Pemanis.

Majlis dimulakan dengan alunan ayat suci Al-Quran yang dibacakan oleh Ustaz Daud Bin Haron selaku Ketua Urusan Ulamak PAS Sekijang dan ucapan Yang Dipertua PAS Kawasan Sekijang ,En.Maarof Bin Abd.Mutalib.

Di dalam ucapannya, beliau menyeru agar semua ahli PAS Sekijang terus sabar dan tabah serta wala’ atas arahan parti yang dipandu oleh Majlis Syura Ulamak.
Beliau juga berpesan agar selagi PAS tidak lari dari perjuangan dengan panduan Al-Quran,Hadis,Qias dan Ijmak Ulamak,maka tiada alasan untuk ahli PAS memisahkan diri dari jamaah.

Di bawah tajuk “Wehdatul Fikri dan Wehdatul Amal Pemangkin Kemenangan “,tajuk tazkirah telah dikupas oleh Ustaz Azlisham Bin Azahar dengan untaian mutiara ilmu yang amat bermakna dan dihayati dengan penuh perhatian dan tekun oleh semua hadirin yang hadir.

Selain daripada jalinan ukhuwwah dan silaturrahim semakin erat,mutiara ilmu yang diperolehi akan tetap menjadi azimat berharga sebagai bekalan buat para pejuang gerakan Islam dalam persada politik negara dalam mencari redha Allah demi ‘izzah kemuliaan Islam di bumi Sekijang.