Home Berita PAS Pahang

Lebih 20 penduduk Sungai Ular ketinggalan nikmati bekalan air bersih

218
SHARE

Oleh : HABSAH ALI

INDERA MAHKOTA, 20 Jul :: Lebih 20 keluarga di Kampung Sungai Ular tidak menikmati air bersih setelah sekian lama bergantung kepada bekalan air telaga tiub.

Perkara ini diajukan oleh penduduk terlibat kepada Ahli Dewan Negeri (ADN) Beserah, Andansura Rabu semasa ziarah rutin beliau di kampung tersebut baru-baru ini.

“Ada penduduk yang selama ini menggunakan air telaga tiub untuk kegunaan harian, namun kebelakangan ini kualiti air telah merosot, air menjadi berwarna merah dan bau pun tidak menyenangkan. Dah tak boleh diguna untuk makan dan minum,” kata Andansura mengulas aduan itu.

“Untuk meneruskan kelangsungan hidup mereka terpaksa beli air di kedai untuk makan dan minum, manakala pakaian putih langsung tak boleh dibasuh,” tambahnya lagi.

Dari siasatan yang dibuat oleh pihaknya, keluarga yang terlibat tidak mampu untuk menanggung  kos yang tinggi untuk pemasangan paip ke rumah mereka dari jalan besar, dengan jarak hampir setengah kilometer dan ada sebahagiannya 300 meter.

Susulan dari itu, Andansura telah mengangkat perkara ini kepada pegawai-pegawai di Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) dan telah mendapat respon yang baik untuk membantu mereka yang terlibat.

Di samping itu, beliau juga akan berhubung dengan penduduk di luar bandar untuk memastikan bekalan air yang bersih dapat disalurkan kepada mereka bagi memastikan tiada ahli masyarakat yang tersisih dari kemudahan asas yang sepatutnya dinikmati oleh mereka.

Beberapa kes seumpama ini telah berlaku di Chendor, Balok dan Kampung Tebing Tinggi, masing-masing sudah dan sedang diselesaikan.

“Saya juga optimis masalah gangguan bekalan air yg kerap berlaku khususnya di DUN Beserah akan dapat ditangani setelah projek-projek jangka panjang yang sedang berjalan siap dilaksanakan kelak,” tambah beliau dengan penuh harapan.