Home Tadabbur Al-Quran

Larangan Mengambil Hak Orang Secara Batil

45971
SHARE

??Tadabbur Ramadhan??
Siri 05/1439H

Surah An Nisa’: Ayat 29-31: Larangan Mengambil Hak Orang Secara Batil

? Firman Allah serta terjemahannya:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُمْ بَيْنَكُمْ بِالْبَاطِلِ إِلَّا أَنْ تَكُونَ تِجَارَةً عَنْ تَرَاضٍ مِنْكُمْ ۚ وَلَا تَقْتُلُوا أَنْفُسَكُمْ ۚ إِنَّ اللَّهَ كَانَ بِكُمْ رَحِيمًا ٢٩
Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu, dan janganlah kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengasihani kamu.

وَمَنْ يَفْعَلْ ذَٰلِكَ عُدْوَانًا وَظُلْمًا فَسَوْفَ نُصْلِيهِ نَارًا ۚ وَكَانَ ذَٰلِكَ عَلَى اللَّهِ يَسِيرًا ٣٠
Dan sesiapa berbuat demikian dengan menceroboh dan aniaya, maka kami akan masukkan dia ke dalam api neraka, dan balasan yang sedemikian itu adalah mudah bagi Allah, (tidak ada sesiapapun yang dapat menghalangnya).

إِنْ تَجْتَنِبُوا كَبَائِرَ مَا تُنْهَوْنَ عَنْهُ نُكَفِّرْ عَنْكُمْ سَيِّئَاتِكُمْ وَنُدْخِلْكُمْ مُدْخَلًا كَرِيمًا ٣١
Jika kamu menjauhkan dosa-dosa besar yang dilarang kamu melakukannya, Kami akan ampunkan kesalahan-kesalahan (dosa kecil) kamu, dan kami akan masukkan kamu ke tempat yang mulia (syurga).

? Tafsir ringkas:

1. Allah SWT melarang orang-orang yang beriman daripada memakan harta sesama mereka secara batil iaitu melalui cara yang tidak syar’ie. Memakan harta secara batil termasuklah mendapatkan harta melalui cara haram seperti riba, berjudi, menipu, mencuri, memeras dan merampas tanpa hak. Di samping itu, pendapatan yang diperolehi melalui pekerjaan yang halal juga boleh menjadi sumber yang batil jika tidak amanah dalam pekerjaan.

2. Sebaliknya, diharuskan mencari harta kekayaan melalui perniagaan yang dilakukan secara sukarela. Perkataan tijarah merangkumi semua aktiviti perniagaan seperti jual-beli, sewa-menyewa, pelaburan, mengambil upah, wakil-mewakil dan sebagainya.

3. Kerelaan ( redha ) adalah syarat terpenting dalam kontrak dan aktiviti perniagaan. Kerelaan pihak-pihak yang berkontrak dizahirkan melalui akad yang dilakukan sama ada secara lisan, tulisan ataupun perbuatan. Secara umumnya, harta yang diperolehi melalui aktiviti perniagaan atas kerelaan adalah halal. Namun, jika terdapat unsur-unsur yang diharamkan seperti riba, judi penipuan dan pecah amanah dalam aktiviti perniagaan tersebut, harta yang diperolehi menjadi batil.

4. Allah juga melarang orang-orang beriman daripada berbunuhan dan menumpah darah iaitu diharamkan membunuh orang lain dan juga membunuh diri sendiri.

5. Kedua-dua larangan memakan secara batil dan berbunuhan adalah untuk menjamin keamanan dalam kehidupan masyarakat. Allah memberi ancaman neraka kepada orang yang melakukan perbuatan tersebut secara sengaja ( ‘udwaan ) dan menganiaya ( zulm ). Allah menundukkan kesombongan mereka dengan menyatakan bahawa balasan neraka itu sangat mudah bagi Allah.

6. Allah memberi peluang kepada orang beriman untuk bertaubat atas kesilapan-kesilapan ini. Jika kita menjauhi dosa-dosa besar yang dilarang, nescaya Allah akan menghapuskan segala kesalahan kita dan memasukkan kita ke tempat yang mulia iaitu memberikan kehidupan yang lebih baik semasa di dunia dan memasukkan kita ke dalam syurga di akhirat nanti.

? Pengajaran:

1. Hindari perbuatan mengambil harta secara batil seperti memakan riba , rasuah, menipu, mencuri, dan memakan harta anak yatim dan tidak amanah dalam pekerjaan dan perniagaan.

2. Takutilah harta yang batil. Ia juga akan menjadi makanan yang haram yang akan masuk ke dalam perut kita dan ahli keluarga yang akan tumbuh menjadi darah daging. Ia memberi kesan negatif pada kehidupan jiwa dan akhlak kita kerana tiada lagi keberkatan padanya.

3. Janganlah kita menganiaya atau membunuh orang lain demi untuk mendapatkan harta kekayaan dunia.

4. Jangan berputus asa dengan kemiskinan dan kesusahan hidup. Haram membunuh diri sendiri dan orang lain kerana tidak tahan dengan penderitaan.

5. Hadapi kesusahan hidup dengan menguatkan keimanan, bersabar dan mengharap pertolongan Allah.

6. Segeralah bertaubat atas segala kesilapan dan kesalahan yang telah dilakukan dengan mengelak daripada dosa-dosa besar serta meninggalkan dosa-dosa kecil.

7. Bersihkan harta kita dengan banyak memberi, bersedekah dan menunaikan zakat, kerana harta yang dikeluarkan pada jalan yang betul itulah harta kita yang sebenar malah pelaburan hakiki hingga akhirat kelak.

? Rujukan:
Tafsir Al Azhar
Tafsir Ibn Kathir

Disusun oleh:
Lajnah Dakwah DMPM dengan kerjasama Ameerah dan Lajnah Dakwah DMPK Gombak.
5 Ramadhan 1439 / 21 Mei 2018