Home Artikel Dewan Ulamak PAS Pusat

Almarhum Ustaz Ismail Dagang, Daie Dan Pembina Kaderisasi Dakwah

415 views
SHARE


BELASUNGKAWA BUAT ALMARHUM USTAZ ISMAIL DAGANG, DAIE DAN PEMBINA KADERISASI DAKWAH.

Oleh: Dr Riduan Mohamad Nor.

Aku termanggu dan hilang kata-kata apabila mendapat perkhabaran perih, seorang insan yang baik dan berjasa telah mengadap Ilahi usai Zuhur empat Ramadhan ini. Sosok pejuang yang hebat semenjak zaman muda sehingga ditukar merata ceruk semasa berkhidmat dalam perkhidmatan keguruan. Almarhum Ustaz Ismail Che Dagang seorang pendidik, pendakwah yang tidak asing di negeri Terengganu bahkan di sebahagian negara ini kerana obsesi beliau dalam bidang dakwah dan perkaderan.

Saya teringat watak Ustaz Ismail yang ceria, impulsif dan gemar bercerita, dia berulang alik ke Kuala Lumpur terutama sejak tahun 2004. Rumah saya di Padang Balang Sentul menjadi tempat rehat dan berlabuh para asatizah daripada Terengganu, Kedah,Sabah, Kelantan dan lain-lain negeri. Kami mengukuh ukhuwwah dan rumah dua tingkat itu menjadi markas berhimpun, berbuka dan bersahur beramai-ramai di bulan Ramadhan. Kini beberapa orang sahabat kumpulan asatizah ini telah menjadi anggota Legislatif dan Ustaz Ismail antara narator yang menceriakan kami. Jadual beliau bermula daripada Subuh sehingga selepas Isyak, kuliah serta usrah daripada satu masjid ke surau dan markas. Dia menyintai lapangan dakwah ini sepenuh hati, tak pernah merungut akan kesusahan dan karenah penganjur program. Tenaganya diperah oleh ahli-ahli jemaah untuk pelbagai program, kuliah haraki, usrah gabungan, tamrin, bahkan kadang-kadang menggantikan kuliah jumaat Tuan Guru Di Masjid Rusila Terengganu.

Ustaz Ismail Dagang atau dengan panggilan mesranya Ustaz Weil adalah anak seorang nelayan di kampung Seberang Takir, antara adik beradiknya yang juga pimpinan PAS ialah Haji Zakaria Dagang,mantan Ketua Dewan Pemuda PAS Terengganu. Mendapat pendidikan menengah di SMUZA Kuala Terengganu dan seterusnya menjadi pendidik dibeberapa buah sekolah. Beliau akhirnya melanjutkan pendidikan tinggi di Fakulti Pengajian Islam UKM, menjadi pimpinan jemaah dan aktif sebagai pengisi program.

Beliau menyambung kerjayanya sebagai pendidik dengan Kementerian Pendidikan Malaysia, namun keaktifan beliau dengan PAS menyebabkan beliau ditukar merata riti. Bukan sahaja sekolah-sekolah di sebelah Terengganu,namun ke Pahang, Johor, Sabah dan lain-lain negeri. Mempunyai hubungan yang akrab dengan murabbi beliau,almarhum Ustaz Dato Harun Taib yang banyak dirujuk dalam membuat keputusan.

Suami kepada dua orang isteri ini juga memegang jawatan di dalam kawasan Kuala Nerus semenjak zaman muda sehinggalah beliau menjawat jawatan Naib Ketua Dewan Ulama PAS Terengganu. Apabila PAS memenangi Terengganu dalam PRU pada tahun 1999, beliau telah diminta oleh pimpinan negeri untuk menjadi Pengarah Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu. Beliau melepaskan jawatan sebagai pendidik dibawah Kementerian Pendidikan tanpa pencen, akur dengan arahan untuk membantu negeri Terengganu yang kekurangan tenaga pakar saat itu.

Ustaz Weil mempunyai jasa yang besar dalam mentarbiah ahli-ahli PAS di seluruh negara terutama di sebelah Terengganu, Johor,Pahang, Selangor. Banyak masa beliau dihabiskan untuk mencetak kader-kader pelapis. Beliau juga terlibat dalam mencari dana untuk membesarkan masjid Kampong Batin, Seberang Takir sehingga masjid tersebut menjadi pusat ilmu. Begitu juga pembangunan sekolah-sekolah Islam dibawah Dewan Ulama PAS Terengganu.

Saya menjadi peneman beliau ke Brunei, Sabah, Labuan untuk berprogram sehingga beliau bertemu jodoh di Bandar Seri Begawan . Banyak sketsa kehidupan dicoret bersama almarhum, pesan-pesan beliau dalam kerja amal Islami serta suntikan motivasi yang tak pernah malap. “Wan, enta sibuk macam mana pun,jangan tinggal kuliah-kuliah…Allah akan bantu orang yang berjuang Islam” katanya lirih. Sikap ceria, suka membantu dengan muka yang manis adalah watak Ustaz Weil, maka tak pelik jika jenazahnya disolati ribuan anggota masyarakat, anak-anak murid, pencinta majlis ilmu. Jenazah sang daie ini disolatkan dimana masjid itulah beliau bertungkus lumus membesarkannya dan mengadakan kuliah kepada masyarakat Seberang Takir. Doa oleh Ustaz Dato Husein Awang diaminkan oleh ribuan ahli-ahli jemaah, kami juga daripada jauh mengaminkan perlahan “Ya Allah.. tempatkan pendakwah ini pada tempat yang terpuji, ampunilah kesilapannya, luas dan lapangkanlah kuburannya..kami menjadi saksi kesungguhannya berjuang dan menyampaikan risalah agamaMu tanpa lelah”. Berehatlah Ustaz!,kami juga akan menyusul.