Home Artikel PAS Wilayah

Laporan Polis Kebiadapan Menteri

402
SHARE

LAPORAN POLIS EKORAN KEBIADAPAN MENTERI

OLEH: DHIYA’ MUTTMAINNAH

10 NOVEMBER 2019

WANGSA MAJU: Laporan polis terhadap isu kenyataan fitnah dan berbaur hasutan oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Salahuddin Ayub telah dibuat pada hari Jumaat yang lalu di IPD Wangsa Maju.

Laporan polis tersebut dibuat oleh Abdul Hadi Abdul Halim selaku Setiausaha Badan Perhubungan Parti Islam Malaysia Wilayah Persekutuan. Turut hadir bersama adalah Ketua Penerangan PAS Wilayah Persekutuan, Khairul Anuar Abdul Manap dan Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan Syed Fadhli Syed Hadzhari.

Perkongsian video di laman Facebook Page Ops Johor (https://www.facebook.com/OpsJohor/) menunjukkan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani telah memberi ucapan berbaur perkauman dan menghasut kebencian serta boleh mengancam perpaduan dalam negara ini. Menteri tersebut berucap dalam perjumpaan tertutup di SJKC Pei Chio Kukup Laut semasa berkempen untuk calon Pakatan Harapan bagi Pilihanraya Kecil Parlimen P.165 Tanjung Piai.

Video tersebut telah dikongsi lebih 1200 pengguna dan laporan polis telah dibuat agar menteri yang menyampaikan ucapan itu disiasat di bawah seksyen 4A(1) Akta Kesalahan Pilihanraya 1954 kerana mengembangkan perasaan jahat atau permusuhan kaum dalam kempen pilihanraya.

Laporan polis juga turut dibuat terhadap berita yang berjudul “Speech by DAP Secretary-General and MP for Bagan Lim Guan Eng at the DAP Johor State Annual Convention in Muar on Sunday, 3rd November 2019” yang telah disiarkan pada laman sesawang https://dapmalaysia.org/statements/2019/11/03/29186/.

Intipati ucapan tersebut jelas tidak menghormati agama Islam serta boleh menimbulkan perasaan benci, kacau bilau dan ketegangan di kalangan rakyat pelbagai kaum dan agama di Malaysia ini.

Laporan polis dibuat sebagai tanda bantahan dan menggesa pihak polis untuk mengambil tindakan terhadap Menteri Kewangan tersebut, serta menyiasat insiden ini di bawah peruntukan undang-undang khususnya Akta Hasutan, Kanun Keseksaan dan Akta Komunikasi dan Multimedia.