Home Berita PAS Sabah

Laksanakan amanah demi redha Allah

72
SHARE

Oleh : Nur Marlyannah Umar
28 Mei 2024, Selasa

LAHAD DATU : Seramai 50 orang sukarelawan Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) Kawasan Lahad Datu telah diraikan dalam majlis Sambutan Hari Guru PASTI yang diadakan di Ballroom Rumpun Selera, dekat sini, Sabtu lalu.

 

Sambutan Hari Guru PASTI yang bertemakan ‘Guru Murabbi Membina Generasi Rabbani’ itu telah dihadiri oleh Ketua Dewan Ulama PAS Kawasan Lahad Datu, Ustaz Mat Zaki Ibrahim juga merupakan perasmi sambutan tersebut.

Beliau yang merupakan Penasihat PASTI Kawasan Lahad Datu berkata, tugas mendidik bukan sekadar kerjaya semata-mata tetapi merupakan sebahagian daripada ibadah yang mesti ditunaikan dengan penuh keikhlasan.

Menurutnya lagi, ganjaran yang menanti mereka bukan sahaja keredhaan Allah tetapi juga mendapat keampunan serta terhindar daripada azab neraka.

“Sebab itulah tugas mendidik ini dipandang mulia di sisi Allah, meskipun bebanannya berat, namun ganjaran yang dijanjikan oleh Allah sangatlah besar,” tambahnya lagi.

Selain itu, Pengerusi PASTI Kawasan Lahad Datu, Landari Labobo turut memuji keikhlasan dan kesabaran para guru dalam menghadapi cabaran mendidik sambil mengingatkan mereka bahawa apa yang mereka lakukan itu sebenarnya adalah menyambung tugas para nabi dan rasul terdahulu.

Dalam sambutan tersebut, bukan sahaja sukarelawan PASTI dirai malah turut bersama dirai ahli keluarga sukarelawan.

Menariknya dalam sambutan tersebut, sukarelawan PASTI mengenakan pakaian bertemakan ‘Back To School’ dan diadakan pertandingan mewarna.

Tiga anugerah khas telah diberikan pada sambutan tersebut iaitu Anugerah Abdullah bin Abbas Mursidi Amat, Anugerah Abu Qilabah Landari Labobo dan Anugerah Rabiah Al Addawiyyah, Masnah.

Dua Anugerah Perkhidmatan Cemerlang kepada Setiausaha PASTI Syakinah Syaning dan Bendahari PASTI Martina Tahil serta Anugerah Khas Amilin, Kanizam Kamis.

Turut hadir, Ahli Jawatankuasa PASTI Negeri Sabah, Mursidi Amat dan Ahli Majlis Daerah Lahad Datu, Kanizam Kamis.