Home Berita PAS Pusat

Lajnah Perpaduan Nasional PAS Pusat perkenal BAK KUT TEH HALAL sempena Pilihan Raya Kecil

11687
SHARE

Lajnah Perpaduan Nasional PAS Pusat sentiasa berusaha mencari ruang dan peluang untuk memperkenalkan PAS kepada masyarakat bukan Melayu yang masih mempunyai persepsi negatif terhadap PAS.

Sejak diwujudkan, Lajnah Perpaduan Nasional telah memperkenalkan kuih bulan halal. Ahli- ahli PAS telah diperkenalkan dengan perayaan kuih bulan yang biasa disambut oleh masyarakat Cina pada hari ke 15 bulan lapan menurut kalendar Cina. Lajnah Perpaduan Nasional Negeri Selangor telah mengeluarkan kuih bulan halal yang disediakan khas oleh Muslimat PAS dan setiap tahun, kuih bulan ini mendapat sambutan dari negeri-negeri di Semenanjung mahu pun di Malaysia Timur.

Pada tahun ini, Lajnah Perpaduan Nasional memperkenalkan pula satu lagi makanan yang popular di kalangan masyarakat Cina yang dikenali sebagai Bak Kut Teh.

Bak Kut Teh merupakan sejenis hidangan sup berserta daging dan rusuk (kebiasaannya kaum Cina menggunakan khinzir) yang dimasak dalam herba tradisi Cina. Herba dan ginseng dicampur bukan sahaja sebagai perisa tetapi juga menambah khasiat.

Pelbagai jenis cendawan ditambah ke dalam masakan dan biasanya dihidangkan dalam mangkuk tembikar Cina. Pada masa kini, terdapat karung Teh Bak Kut, yang mengandungi semua ramuan yang diperlukan. Ini memudahkan penyediaan Bak Kut Teh. Bak Kut Teh dijadikan hidangan sarapan atau makan tengahari.

Bak Kut Teh telah diperkenalkan di Malaya pada kurun ke-19 oleh pekerja dan kuli cina yang berketurunan Hokkien. Hidangan ini dilaporkan sebagai makanan tambahan dan menjadi tonik untuk meningkatkan kesihatan mereka.

Orang Teochew turut mempunyai versi Bak Kut Teh mereka dan perbezaan utama antara Bak Kut Teh Hokkien dan Bak Kut Teh Teochew adalah Hokkien menggunakan kicap pekat menjadikan permukaan sup lebih gelap.

Perkataan Cina 肉 yang bermaksud daging atau secara khususnya, mereka menggunakan daging khinzir .Daging dalam loghat Min-nan dan Teochew disebut “Ba” di selatan China.

Sebagai informasi tambahan, terdapat sebuah restoran Bak Kut Teh Halal di Singapura yang menyediakan menu ini khusus untuk dinikmati oleh orang-orang Islam.

Di sana, mereka menggunakan daging dan tulang lembu atau kambing. Di Negara kita, versi Bak Kut Teh halal masih belum dikenali ramai.

Bak Kut Teh halal versi Lajnah Perpaduan Nasional disediakan khas oleh salah seorang Ahli Jawatankuasa Lajnah Perpaduan Nasional berketurunan Cina, Puan Farah Foo Wai Yee. Beliau memang mempunyai resepi rahsia (ramuan herba) yang diwarisi daripada mendiang ayahnya yang merupakan seorang peniaga Bak Kut Teh di bandar Ipoh.

Bak Kut Teh halal yang dibuat oleh Lajnah Perpaduan Nasional menggunakan Daging Kambing atau Ayam.

Lajnah Perpaduan Nasional mula memperkenalkan makanan ini sejak Pilihan Raya Kecil DUN Seri Setia
bagi mendekati pengundi-pengundi khususnya masyarakat Cina.

Di samping demo masakan Bak Kut Teh Halal dan agihan secara percuma, Lajnah Perpaduan Nasional turut mengagihkan kuih bulan dan bahulu yang sangat digemari oleh masyarakat Cina.

Di Pilihan Raya Kecil Port Dickson, Lajnah Perpaduan Nasional turut membantu pasukan kempen dari Negeri Perak dan Selangor.

Demo masakan Bak Kut Teh yang diadakan di Bukit Pelandok dan Pekan Lukut berjaya menggamit masyarakat terutama kaum Cina dan India untuk sama-sama menikmati Bak Kut Teh halal.

Disusun oleh :
Dr. Najihatussalehah Ahmad
Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional PAS Pusat