Ada yang bertanya kepada saya sukarkah untuk mengatasi wabak COVID-19? kerana melihat situasi COVID-19 yang semakin meningkat tidak hanya berlaku di Malaysia sahaja bahkan juga di negara jiran seperti Thailand dan Indonesia.
Jawapannya ialah SUKAR jika tidak mendapat kerjasama daripada semua pihak!
COVID-19 adalah perkara baru yang terpaksa dunia hadapi seperti wabak lain yang sebelumnya yang telah mengorbankan banyak nyawa. Antara wabak yang telah dihadapi sebelum ini di Malaysia antaranya :
1) Virus Nipah, 1999 – 2001
2) Virus Selsema Burung, Ogos 2004 – Januari 2005
3) Virus Influenza A H1N1 (Selesema babi), 2009 –
4) COVID-19, 2019 – sampai sekarang
Seluruh dunia sehingga ke hari ini belum ditemui ubat yang terbaik dan berkesan untuk merawat COVID-19 walaupun sudah banyak kajian yang dilakukan oleh pakar dan juga terdapat banyak khabar angin palsu wujudnya ubat atau makanan yang berkesan meskipun vaksin telah digunakan di seluruh dunia tetapi ianya bukan untuk merawat ketika terkena COVID-19 tetapi lebih kepada mencegah diri daripada terkena jangkitan COVID-19.
Situasi Malaysia hari ini amatlah membimbangkan dengan kadar kes 10 ribu ke atas dan kematian 100 orang setiap hari telah menyebabkan hospital penuh, petugas kesihatan kepenatan, fasiliti kesihatan tidak cukup, dan frontliners lain juga turut terkesan.
Rakyat pula ada yang tertekan apabila kewangan keluarga mulai tidak stabil kerana tidak boleh berkerja dan bahkan ada yang diberhentikan kerja di musim pandemik ini.
Sebenarnya semua pihak berada di dalam keadaan tertekan tidak hanya barisan hadapan dan rakyat sahaja tetapi juga pihak KERAJAAN. Setiap gerak geri dan tindak tanduk dalam mengambil sesuatu keputusan untuk rakyat sering dipandang rendah dengan kritikan yang tidak wajar sedangkan Malaysia antara negara yang banyak memberi bantuan kepada rakyat demi kelangsungan hidup di musim pandemik ini.
Solusi pandemik COVID-19 di negara kita ini sebenarnya berada di tangan kita sendiri. Setiap orang tanpa berkecuali wajib memainkan peranan masing-masing.
Tanggungjawab rakyat dalam menangani COVID-19 amatlah penting dengan sentiasa mematuhi SOP yang ditetapkan kerajaan. Janganlah ada lagi cubaan untuk rentas negeri tanpa sebab mustahak dan juga ada lagi yang masih tidak memakai topeng muka apabila di kawasan awam sedangkan kadar jangkitan varian delta pada hari ini semakin cepat.
Ada juga yang bertanya kenapa di Eropah telah mula tidak memakai topeng muka dan pengerakan mereka mulai bebas walaupun kes masih ada. Jawapannya kerana negara tersebut telah mencapai imuniti kelompok (herd immunity) iaitu 80 peratus dalam komuniti telah divaksin. Malaysia menjangkakan herd immunity akan dicapai sekurangnya pada bulan Oktober ini.
Kunci kepada semuanya adalah “KERJASAMA”. Kerajaan telah mula mempercepatkan dan memudahkan proses vaksinasi dan peranan rakyatlah untuk menyokong ke arah imuniti kelompok ini.
Dari kerajaan untuk rakyat dan dari rakyat untuk negara. Meskipun jelas ada cubaan menghasut rakyat untuk menggagalkan pelan pemulihan negara kerana agenda politik.
Justeru, marilah buat masa ini kita bersama dalam memberi kerjasama dan kepatuhan kepada kerajaan dan petugas barisan hadapan kita.
Kita pernah ZERO kes tahun lalu jadi marilah kita berjuang lagi mengulangi kejayaan ini dengan kerjasama dari semua pihak. InsyaAllah.
Dr. Izani Husin, Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan & Kesihatan Kelantan
drizani.com
#KELANTANKUBERSIH
#KITAJAGAKITA