Home Berita PAS Melaka

Kumpulan Hijjaz serikan Majlis Sambutan Dua Dekad PASTI Ar-Rahman

163
SHARE

Oleh IBNU JANIE
Foto ABU ANAS

AYER KEROH, 26 Mac: Majlis Makan Tengah Hari Sambutan 20 Tahun Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) Ar-Rahman, Kawasan Masjid Tanah telah diserikan dengan persembahan daripada kumpulan nasyid Hijjaz.

Kumpulan Hijjaz yang merupakan artis jemputan bagi program itu telah mencuri tumpuan hadirin dengan menyanyikan beberapa buah lagu nasyid popular kumpulan tersebut seperti Jalan Bahagia dan Sumayyah.

Majlis yang berlangsung di Hotel AMES, di sini, hari ini, telah dirasmikan oleh Pesuruhjaya PAS Melaka, Tuan Guru Zulkifli Ismail.

Tuan Guru Zulkifli semasa ditemui WARM-Berita PAS seusai program ini berkata, PASTI Ar-Rahman yang diasaskan oleh Timbalan Pesuruhjaya-2 PAS Melaka, Ustaz Imran Abdul Rahman telah berjaya melahirkan ramai anak-anak muda yang berjaya dalam bidang masing-masing.

“Dan hasil daripada didikan dan asuhan ini, anak-anak muda ini, menjadi anak-anak muda yang berpegang teguh dengan Islam dan yang mempunyai arah tuju kehidupan yang sangat jelas dalam memimpin diri, keluarga dan umat kepada Islam, kepada Allah SWT.

“Saya berhasrat dan berdoa kepada Allah agar PASTI Ar-Rahman ini terus memberi sumbangan yang besar kepada umat dan mengeluarkan tokoh-tokoh yang berbakti kepada umat dan menjadi kebanggaan Rasulullah SAW.

“Semoga Allah SWT memelihara Al Fadhil Ustaz Imran, isteri, keluarga, zuriat dan keturunannya dan dimuliakan Allah mereka itu di dunia dan di akhirat,” ujar beliau.

Sementara itu, Ustaz Imran yang merupakan pengasas kepada PASTI ini menzahirkan rasa kesyukuran kerana program sambutan ini telah berjalan dengan baik.

“Alhamdulillah, kita dapat juga mengadakan sambutan 20 tahun PASTI Ar-Rahman. Sedar tak sedar sudah 20 tahun PASTI ini beroperasi dan ramai anak-anak murid kami yang sudah berada di IPT sekarang.

“Saya bagi pihak PASTI Ar-Rahman mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang hadir, terutama pada Pesuruhjaya, Tuan Guru Zulkifli Ismail dan semua hadirin dan terima kasih kerana sama-sama menyumbang sempena dengan sambutan dua dekad PASTI Ar-Rahman ini,” ujar beliau.

Antara tetamu kehormat yang turut hadir ialah Timbalan Pesuruhjaya-1 PAS Melaka, Bakri Jamaluddin, Ketua Penerangan, Ustaz Abu Naufal Nordin, Setiausaha Dewan Muslimat PAS Melaka (DMPNM), Siti Salwani Mohd Kassim, Ketua Penerangan DMPNM, Hawa Yaakub, Setiausaha Sulit Kepada Ahli Parlimen Masjid Tanah, Norihan Bahari serta pimpinan Bersatu Masjid Tanah.

Majlis disertai oleh para penyumbang bagi program ini selain turut disertai bekas-bekas pelajar yang pernah menuntut di PASTI ini dan para tenaga pengajar.