Home Artikel PAS Pulau Pinang

Kuliah Dhuha Ustaz Azhar Idrus di SRITI Darul Hadis Tasek Gelugor

157 views
SHARE

21 Jamadil Awal 1440 H| 27 Januari 2018 | Ahad | 9.00 Pagi

Oleh: Nabihah Fauzi

SRITI (Sekolah Rendah Integrasi Teras Islam) Darul Hadis Tasek Gelugor, Padang Menora berjaya menganjurkan Kuliah Dhuha bersama Murabbi Ummah, Ustaz Azhar Idrus semalam.

Penganjuran Kuliah Dhuha ini disamping mendekatkan masyarakat setempat dengan sekolah ini, juga bertujuan untuk membuka peluang kepada hadirin menghulurkan sumbangan atau wakaf kepada pembangunan sekolah yang masih dalam proses pembinaan. Kuliah Dhuha ini turut dihadiri oleh Pesuruhjaya PAS Negeri Pulau Pinang, Ustaz Fauzi Yusuf.

 

Di samping itu, turut memeriahkan suasana, disediakan pertandingan mewarna terbuka kepada kanak-kanak mengikut tahap. Pertandingan ini mencatatkan penyertaan yang amat memberangsangkan dari kanak-kanak yang menonjolkan bakat mewarna masing-masing.

SRITI Darul Hadis Tasek Gelugor merupakan SRITI sulong di Pulau Pinang di bawah kelolaan Dewan Pemuda PAS Tasek Gelugor. Tahun ini merupakan tahun ketiga sejak penubuhannya dengan 164 orang pelajar dan 12 orang guru.

Kos keseluruhan pembinaan 3 tingkat bangunan sekolah yang berjumlah RM1.5 juta masih memerlukan hampir RM 600 000 dan dalam usaha pihak pentadbiran sekolah untuk mencari dana, wakaf dan sumbangan pembinaan sekolah dibuka kepada orang ramai. Sumbangan boleh disalurkan menggunakan 557250063814 (Maybank) atau 07043011040485 (Bank Islam).

Semoga dengan sumbangan dari orang ramai terhadap pembangunan sekolah ini dapat melahirkan generasi masa depan yang celik pintar, murabbi dan rabbani.

#Membina Generasi Rabbani Murabbi