Kuasa Wanita Mampu Mencetus Kemenangan PRU
Dalam pilihan raya umum (PRU) yang ke 14 Suruhanjaya Pilihan Raya menyenaraikan 14,940,624 pengundi berdaftar yang layak mengundi. Daripada jumlah tersebut sebanyak 50.58 peratus atau 7,557,187 terdiri daripada pengundi wanita berbanding lelaki iaitu 49.42 peratus.
Maka, dapat dilihat wanita boleh menjadi menjadi penentu kepada kemenangan. Jika pola ini berterusan sehingga PRU 15, ditambahkan lagi dengan kelayakan mengundi diturunkan dari umur 21 tahun ke 18 tahun, jentera Muslimat PAS termasuk muslimat muda tidaklah boleh berada di dalam zon selesa. Pelbagai aspek persediaan perlu disusun dan diterjemahkan dalam bentuk tindakan.
Pendaftaran pengundi secara automatik yang memerlukan pindaan Perlembagaan Persekutuan dan Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Perjalanan Pilihan Raya) 1981 sekiranya berlaku dalam tempoh terdekat akan menambahkan lagi jumlah pengundi yang layak untuk mengundi.
Kempen Kesedaran untuk mengundi di dalam pilihanraya perlulah dilaksanakan khususnya kepada kaum wanita dan orang muda. Penerangan demi penerangan mesti diberikan kerana kesilapan di dalam memilih pemimpin akan memberi impak yang besar kepada kesejahteraan hidup.
Meneliti kepada saranan Tuan Guru Presiden PAS di dalam Muktamar Tahunan yang baru berlalu, Presiden mengarahkan semua aktiviti mestilah ditumpukan kepada dua sektor iaitu yang pertama mendekati masyarakat luar dan yang kedua pengukuhan organisasi bagi menghasilkan petugas parti yang istiqomah dan berkeupayaan.
Hal demikian, Muslimat khususnya mesti membuat persediaan yang tersusun, terancang dan sistematik. Muslimat muda boleh terus menimba ilmu dan pengetahuan dari pemimpin-pemimpin veteren manakala pemimpin lama tidak harus malu untuk belajar dari orang muda khasnya tentang ilmu teknologi maklumat.
Pengukuhan dalam amalan-amalan ibadah sunat dan wajib sangatlah penting untuk diperkasakan agar kita boleh menyediakan benteng pertahanan yang kuat dalam menghadapi sebarang ancaman musuh.
Kesihatan fizikal juga tidak boleh diambil sambil lewa kerana kesihatan yang baik boleh menghasilkan minda yang cergas. Justeru, ayuh mantapkan diri dengan pelbagai disiplin ilmu, utamakan kesihatan diri serta terus berdoa dan saling mendoakan agar Muslimat PAS dapat memimpin Wanita Malaysia ke arah yang lebih sejahtera insyaallah.
Di dalam satu hadis, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Kenikmatan pertama yang perlu dipertanggungjawabkan oleh hamba Allah pada hari akhirat adalah pertanyaan, ‘Bukankah Kami menyihatkan tubuh kamu dan Kami hilangkan dahaga kamu dengan air yang dingin?’
Rasulullah SAW menyambung: “Tidak seorang pun diizinkan bergerak daripada kedudukannya pada hari akhirat sehingga dia menjawab bagaimana dia menghabiskan hidupnya, bagaimana dia gunakan pengetahuannya, dari mana dia memperoleh dan ke mana dia belanjakan hartanya dan bagaimana dia gunakan kesihatannya.” (Diriwayatkan oleh at-Tirmidzi)
Dr Najihatussalehah Ahmad
Ketua Penerangan
Dewan Muslimat PAS Malaysia.
16 Julai 2019 bersamaan 13 Zulkaedah 1440