RISALAH UNTUK PENGUNDI
Bilangan: 10
KUASA POLITIK UNTUK MEMBINA NEGARA SEJAHTERA
Oleh:
USTAZ MOHD ASRI MAT DAUD
Ketua Penerangan
Dewan Ulamak PAS Pusat
1. Negara yang sejahtera ialah negara yang melaksanakan segala dasar dan tuntutan agama. Negara yang sejahtera ini akan menjadikan dasar tuntutan Islam sebagai teras serta menjadi tapak pelaksanaan Islam lebih meluas sebagaimana yang telah ditunjukkan menerusi sirah Nabi Muhammad SAW ketika di Madinah.
2. Mereka yang diberikan kuasa pemerintahan pada dasarnya adalah untuk melaksanakan kewajipan agama serta tanggungjawab berkaitan amar makruf dan nahi mungkar. Berdasarkan firman Allah SWT:
الَّذِينَ إِنْ مَكَّنَّاهُمْ فِي الْأَرْضِ أَقَامُوا الصَّلَاةَ وَآتَوُا الزَّكَاةَ وَأَمَرُوا بِالْمَعْرُوفِ وَنَهَوْا عَنِ الْمُنْكَرِ ۗ وَلِلَّهِ عَاقِبَةُ الْأُمُورِ
“Iaitu mereka yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan solat serta memberi zakat dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang daripada melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar. Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan.” [al-Hajj: 41]
3. Ayat di atas menerangkan mengenai kemenangan Islam di dalam peperangan Badar al-Kubra yang menjadi motivasi kepada umat Islam untuk terus memperjuangkan agama Allah. Kemenangan tersebut merupakan bantuan Allah di saat tentera Islam dalam serba kekurangan dan bilangan yang lebih sedikit berbanding musuh apatah lagi dalam keadaan berpuasa.
4. Inilah tanggungjawab kekuasan dan pemerintahan dalam Islam. Ia berdasarkan panduan wahyu Ilahi membawa manusia untuk mengabdikan diri kepada Allah dan mendatangkan kesejahteraan dalam kehidupan bermasyarakat.
5. Jelaslah bahawa asas perjuangan Islam yang dibawakan oleh Rasulullah SAW dan para sahabat adalah bagi memastikan keadilan dan kesejahteraan akan terus tertegak dengan menyelamatkan manusia daripada pengabdian sesama makhluk kepada Allah SWT yang Maha Esa.
6. Ungkapan yang masyhur oleh Ruba’i bin Amir kepada panglima Farsi, Rustum dengan penegasannya:
اللهُ ابْتَعَثَنَا لِنُخْرِج مَنْ شآءَ مِنْ عِبادَةِ العِبادِ إِلٰى عِبادَةِ اللهِ وَحْدَه، وَمِنْ جَورِ الْأَدْيانِ إِلى عَدْلِ الإسْلامِ، وَمِنْ ضِيْقِ الدُّنْيَا إِلى سِعَةِ الآخِرَة
“Allah telah membangkitkan kami untuk mengeluarkan sesiapa sahaja kalangan manusia daripada penyembahan makhluk kepada pengabdian hanya kepada Allah Maha Esa, daripada penyelewengan agama kepada keadilan Islam dan daripada kesempitan dunia kepada keluasan akhirat.”
7. Inilah perbezaan kuasa politik Islam dengan politik barat. Kuasa politik Islam memimpin manusia tidak hanya untuk kesejahteraan di dunia malah sehingga ke akhirat.
8. Al-Imam al-Ghazali turut menjelaskan betapa penting kuasa politik dalam Islam bagi memastikan tuntutan Islam terus dapat dipertahankan. Beliau menyebutkan:
الإِسْلامُ وَالسُّلْطَانُ أَخَوَانِ تَوْأَمٌ ، لا يَصْلُحُ وَاحِدٌ مِنْهُمَا إِلا بِصَاحِبِهِ ، فَالإِسْلامُ أُسُّ وَالسُّلْطَانِ حَارِسٌ ، وَمَا لا أُسَّ لَهُ مُنْهَدِمٌ ، وَمَا لا حَارِسَ لَهُ ضَائِعٌ
“Islam dan pemerintahan umpama dua saudara yang kembar. Tidaklah satu itu menjadi elok melainkan bersama yang satu lagi. Maka Islam itu asas dan pemerintahan itu penjaga. Apa yang tiada asas maka ia akan runtuh dan apa yang tiada penjaga maka ia akan lenyap.”
9. Maka, seluruh pengundi mesti berfikir dengan kacamata iman dan demi kesejahteraan generasi kita untuk masa akan datang. Pastikan undi kita diberikan kepada calon-calon yang dapat membangunkan sebuah negeri dan negara yang sejahtera sebagaimana contoh pentadbiran Kerajaan Islam Kelantan di bawah PAS.
Terbitan:
Jabatan Pilihan Raya Ulamak
Dewan Ulamak PAS Pusat
14 Syaaban 1439H / 30 April 2018 (Isnin)
Sila muat turun dokumen (versi PDF kualiti percetakan) bagi tujuan cetak & sebaran kepada pengundi PRU-14 di pautan berikut:
risalah untuk pengundi – bil 10