Home Berita PAS Melaka

Krisis ekonomi: Jangan lupa mohon pertolongan Allah SWT – Senator Ustazah Nuridah

166
SHARE

Oleh IBNU JANIE
Foto HANIFF ABDUL RAHIM

HANG TUAH JAYA, 1 Julai: Dalam berhadapan dengan krisis ekonomi seperti kenaikan harga barang yang melampau pada masa ini umat Islam diminta agar tidak lupa memohon pertolongan Allah SWT selain usaha yang dilakukan kerajaan untuk mengatasinya.

Menurut Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia, Senator Ustazah Nuridah Mohd Salleh, terdapat banyak amalan-amalan yang disarankan oleh Islam sebagai cara memohon bantuan Allah SWT dalam soal rezeki dan krisis ekonomi.

“Dalam suasana yang ada sekarang ini, pada saya, hubungan kita dengan Allah SWT kena jaga supaya kita dapat bertenang dalam menghadapi apa jua ujian yang Allah SWT berikan.

“Dari sudut kewangan kita, dari sudut rezeki kita Islam sendiri pun mengajar pada kita antaranya amalan yang disarankan untuk kita membaca surah Al Waqiah setiap malam.

“Kita kena amal perkara ini untuk ketenangan jiwa kita. Dan dalam masa yang sama kita nak meraih kasih sayang Allah SWT pada kita. Sebab ia kembali kepada Allah SWT juga,” ujarnya.

(Kiri sekali) Hajah Aisyah Abdul Aziz, (tengah) Senator Ustazah Nuridah, (kanan sekali) Kintan Man

Tambah beliau lagi Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM) juga akan mengadakan satu program dialog pada Ahad malam dengan menampilkan Timbalan Menteri Pertanian Dan Industri Makanan (MAFI), Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh secara dalam talian untuk membincangkan tentang isu kenaikan harga barang terutama yang berkaitan makanan.

“Program ini untuk kerajaan mendengar suara hati daripada akar umbi rakyat agar negara kita ini akan terus dapat berjalan dalam keadaan yang tenteram tidak menyebabkan rakyat keluh kesah dengan apa yang berlaku sekarang,” ujarnya lagi.

Beliau berkata demikian kepada Harakah selepas melakukan ziarah ke atas assabiqat PAS Melaka, Hajah Aisyah Abdul Aziz, 78, yang merupakan isteri kepada aktivis assabiqun PAS, Haji Mohd Diah Abdul, di Kampung Solok Gaung, di sini,  petang semalam dalam rangka lawatannya ke negeri ini.

Selain Hajah Aisyah, rombongan beliau turut menziarahi assabiqat Ropisah Nordin di Solok Bukit Bayan, Bukit Katil dan Maimon, balu kepada aktivis PAS, Sabtu Jalil yang baru meninggal dunia minggu lepas.

Ustazah Nuridah berkunjung ke Melaka sempena program berkala munajat Gelombang AKIFI, Dewan Muslimat PAS Negeri Melaka (DMPNM) yang berlangsung pada sebelah malam di Kompleks PAS Bukit Katil.

Sementara itu Ketua DMPNM, Kintan Man berkata program munajat Gelombang AKIFI ini sebenarnya diilhamkan oleh Ustazah Nuridah sendiri bermula pada tahun 2015 di saat PAS berdepan masalah perpecahan dalaman yang menyebabkan segelintir ahli parti keluar dan menubuhkan PAN.

“Gelombang ini maknanya ia tidak berhenti. Dan inilah kekuatan kita. Dan kita tahu bila kita beribadat secara berjemaah itu menjadi kekuatan kepada diri kita, insya-Allah,” ujar beliau ketika ditemui dalam program yang sama.