Home Rencana PAS Perlis

Koreksi Hijrah, menghayati makna

179
SHARE

Oleh NUR ‘IFFAH

Setiap tahun umat Islam akan menyambut sambutan tahun baru hijrah atau lebih sinonim disebut sebagai Maal Hijrah. Disebalik sambutan ini, ia merupakan sebuah simbolik tanda memperingati peristiwa hijrah Rasulullah SAW dan para sahabat dari Makkah ke Madinah.

Penghijrahan ini telah dirancang sejak Perjanjian Aqabah yang pertama. Kemuliaan akhlak Rasulullah SAW telah menambat hati penduduk kota Madinah untuk memberi taat setia kepada baginda dan agama Islam.

Di dalam peristiwa ini, Rasulullah SAW telah berjaya mempersaudarakan kaum Muhajirin dan Ansar. Muhajirin adalah pengikut yang berhijrah dari Makkah ke Madinah dan Ansar pula merujuk kepada penduduk asal kota Madinah yang telah memeluk Islam dan membantu perjuangan Rasulullah SAW di Madinah.

Hijrah ini telah memberi impak yang sangat besar di dalam sejarah dunia Islam. Susulan peristiwa ini, ia menyaksikan takwim Islam mula diperkenalkan Sekali gus ketetapan itu penanda aras kepada kehidupan Islam sebenar, iaitu pemisahan antara hak dengan batil.

Melalui peristiwa ini juga, Rasulullah SAW mengajarkan umatnya dalam cara mewujudkan perpaduan berbilang kaum dan agama adalah dengan mengamalkan konsep toleransi dalam kehidupan, berkerjasama dan saling tolong menolong dalam perkara kebaikan serta hormat menghormati di antara satu sama lain.

Selain itu, keistimewaan bulan Muharam turut diangkat sebagai bulan pertama dalam kalendar hijrah serta dikenali sebagai bulan Allah atau ‘syahrullah.’ Apabila makhluk atau sesuatu perkara itu dinisbahkan kepada-Nya, maka ia menunjukkan kemuliaan.

Bulan Muharram adalah salah satu daripada empat bulan haram atau bulan yang dimuliakan Allah selain Rejab, Zulkaedah dan Zulhijjah. Di dalam bahasa Arab, perkataan Muharram bermaksud ‘dilarang’.

Sebelum kedatangan Islam, bulan Muharram sudah dikenali sebagai bulan suci oleh masyarakat Jahiliyyah. Mereka dilarang untuk berperang dan melakukan persengketaan.

Demikian setelah kedatangan Islam, kemuliaan bulan Muharram dan fahaman tradisi ini tetap dikekalkan manakala tradisi Jahiliyyah yang lain dihapuskan.

Allah berfirman di dalam surah At-Taubah ayat 36, yang maksudnya;

“Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi Allah ialah dua belas bulan, (yang telah ditetapkan) dalam Kitab Allah semasa Dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati.

Ketetapan yang demikian itu ialah agama yang betul lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan-bulan yang dihormati itu (dengan melanggar laranganNya); dan perangilah kaum kafir Musyrik seluruhnya sebagaimana mereka memerangi kamu seluruhnya; dan ketahuilah sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang bertakwa.”

Sebagai umat Islam, jadikanlah bulan Muharram ini sebagai bulan untuk memulakan azam tahun baru.

Azam untuk melakukan hijrah dari baik kepada yang lebih baik. Hal ini termasuklah urusan kehidupan dan seharian, baik dari sudut fizikal dan mental.

Sebagai seorang Mukmin, memperbaiki urusan sesama makhluk dan hubungan kepada Allah adalah sebuah yang hijrah yang sangat dituntut.