DESARU – Majlis Konvokesyen Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) Kawasan Pengerang yang telah berlangsung pada 11 November,di Dewan Ballroom Lotus Desaru Beach Resort mendapat sambutan hangat daripada para waris pelajar-pelajar PASTI.
Majlis konvokesyen ini telah dirasmikan oleh Tuan Haji Roslan bin Nikmat, Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Johor merangkap Pengerusi Lajnah Tarbiah PAS Negeri Johor.
Dalam ucapan perasmiannya, beliau berkata bahawa PASTI telah melahirkan ramai pelajar yang cemerlang bahkan terkehadapan apabila mereka melanjutkan pengajian ke peringkat yang seterusnya.
“Guru-guru yang ikhlas punyai barokah yang kelak akan turut membantu anak-anak pelajar untuk cemerlang dan berakhlak mulia”, katanya lagi.
Majlis konvokesyen ini turut diserikan dengan gelagat pelajar-pelajar PASTI yang membuat persembahan seperti ikrar pelajar dan nasyid.
Yang Dipertua PAS Kawasan Pengerang, Tuan Haji Abdul Rashid bin Sihap ketika berucap turut menyampaikan harapan warga pendidik PASTI agar didikan anak-anak secara Islam dapat diteruskan oleh para waris di rumah sehingga dapat diwujudkan kesinambungan proses membentuk generasi Al Quran.
Selain anugerah pelajar-pelajar cemerlang, pada majlis konvokeysen kali ini turut diserikan dengan anugerah guru terbaik yang telah diterima oleh Cikgu Habibah. Beliau telah menerima hadiah berupa pakej umrah percuma yang telah ditaja oleh Massnizam Travel Sdn. Bhd.