Home Berita PAS Melaka

Konvensyen Penerangan PAS jelas peranan ahli sebagai ejen penerangan- Zuhaidi Yusof

50
SHARE

Oleh SITI SALWANI MOHD KASSIM

KOTA MELAKA, 22 Jun: Pemangku Yang Dipertua (YDP) PAS Kawasan Kota Melaka Zuhaidi Yusof, menyifatkan Konvensyen Penerangan Dan Media Baharu yang baru selesai pada hari Sabtu lalu sebagai berjaya membuka minda dan memberi kesedaran terhadap peri kepentingan peranan ahli sebagai ejen penerangan dalam penyebaran sesuatu maklumat parti.

“Sebelum ini (PRU 14) boleh dikatakan Penerangan kurang berperanan dalam menghadapi pilihan raya. Namun PAS bangun mengatasi kekurangan ini dan hari ini konvensyen ini telah mewujudkan kesedaran bahawa semua ahli PAS wajib menjalankan tugas sebagai ejen penyebaran maklumat sahih daripada pemimpin.

“Slogan ‘Kita Adalah Ejen Penerangan’ perlu diserapkan oleh semua ahli. Lajnah Penerangan dan Media Baharu Melaka diharapkan terus aktif membimbing ahli-ahli untuk bersedia apabila berdepan dengan musuh di dalam peperangan maya,” tambahnya.

Zuhaidi ketika dihubungi Wartawan Rakyat Melaka (WARM) turut menyarankan supaya konvensyen seumpama ini dapat diadakan di peringkat negeri supaya sebaran dan arahan kempen dapat diperluaskan kepada lebih ramai ahli.

Sementara itu Setiausaha PAS Kawasan Kota Melaka, Abdul Samad Mohd Dahan menyambut baik arahan PAS Pusat agar setiap amilin menjadikan diri mereka sebagai penyebar maklumat parti bagi memberi penerangan kepada masyarakat.

“Alhamdulillah, dari program yang baik ini saya mengiktiraf diri saya sebagai ejen penerangan.

“Sehubungan dengan itu, usaha yang saya ambil (adalah) saya lancarkan dan lantik enam orang anak saya dan lima menantu saya sebagai ejen penerangan,” kata beliau kepada WARM.

Beliau berharap sahabat pimpinan yang lain juga boleh mengambil langkah yang lebih proaktif dalam persiapan menghadapi peperangan di media maya menjelang Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU-15).

“Ingat pesan Murabbi kita dalam kisah Perang Ahzab. Yang terlibat dianggap jundullah dan diberi ganjaran sebagai mujahid.

“Hari ini kita juga berada di situasi yang hampir sama, sebagai jundullah dan moga diberi ganjaran pahala mujahid,” tambahnya lagi.

Webinar Konvensyen Penerangan Dan Media Baharu PAS Pusat ini berlangsung selama dua hari pada 18 dan 19 Jun secara maya dan disertai oleh jentera Penerangan PAS seluruh Malaysia dan turut disertai oleh pimpinan utama PAS negeri-negeri.

Pembentangan dibuat oleh Ketua Penerangan PAS Pusat, Kamaruzaman Mohamad, Naib Presiden PAS YB Ustaz Idris Ahmad, Timbalan Pengarah Jabatan Penerangan PAS Pusat, Kartini Ahmad, Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, YAB Muhammad Sanusi Md Noor serta pemimpin negeri ditadbir PAS iaitu Kelantan, Terengganu dan Kedah.