Home Berita PAS Perlis

Komitmen Guru PASTI Pemangkin Kejayaan K4T

1268
SHARE

Oleh : Nur ‘Iffah

KANGAR : Peranan serta usaha gigih yang dilakukan para guru PASTI merupakan satu sumbangan besar dan tidak ternilai dalam era pendidikan dan pembentukan anak-anak PASTI khususnya, demikian kata Pengarah PASTI Negeri Perlis, Ustaz Asrul Aimran Abd Jalil.

Menurutnya, para guru memegang amanah yang begitu besar dalam mencetak dan mencorak pemikiran anak-anak PASTI sebagai salah satu platform pendidikan seawal usia 4 tahun.

“Kesediaan para guru dalam menuntut dan menambah ilmu sepanjang proses mencetak generasi Al-Quran pula merupakan sesuatu usaha yang amat terpuji,” katanya ketika berucap dalam Bengkel Pemantantapan Kurikulum 4 tahun (K4T) PASTI Negeri Perlis 2019 yang berlangsung pada 26 Januari yang lalu.

Seramai 45 orang guru PASTI telah menyertai program anjuran Jabatan Pendidikan PASTI Negeri Perlis yang diadakan di PASTI Tarbiyatul Atfal, Jejawi Dalam.

Ujarnya lagi, pada usia 4 tahun para pelajar tidak perlu menjalani ujian dan peperiksaan manakala pihak PASTI akan menyediakan buku rekod perkembangan murid yang lebih berfokus kepada nilai akhlak dan pengamalan yang mereka peroleh sepanjang menjalani proses pembelajaran.

Jelasnya, semua ini dilakukan bagi membantu perkembangan para pelajar PASTI pada usia tersebut serta mengelakkan mereka daripada tertekan dengan sistem pembelajaran berasaskan peperiksaan.

“Semoga anak-anak yang berusia 4 tahun ini berjaya dibentuk seterusnya menghasilkan produk terbaik buat PASTI apabila mereka bergraduasi masa 6 tahun nanti,” katanya.