Keputusan kerajaan untuk membenarkan pencarum KWSP untuk mengeluarkan wang caruman mereka sebanyak maksimum RM500 sebulan terus dijadikan modal kempen politik di media sosial oleh pemimpin-pemimpin PH. Seolah-olah itu sahaja insentif yang diberi kerajaan dalam menangani krisis wabak Covid-19 ini.
Pemimpin PH bukan tidak tahu bahana wabak Covid-19 memberi kesan besar kepada kantung negara. Harga petrol yang makin susut walau satu berita baik kepada rakyat tetapi ia sememangnya berita buruk kepada kerajaan. Sebahagian besar perbelanjaan kerajaan ditanggung oleh hasil petroleum. Bukan pemimpin PH tak tahu.
Kegiatan ekonomi negara sedang lumpuh 80 peratus dengan hanya aktiviti penting sahaja sedang berjalan. Sekarang ini rakyat dan kerajaan sama-sama hilang pendapatan akibat dari krisis ini. Kemampuan kerajaan menjadi terhad pada ketika ini. Bukan pemimpin PH tak tahu.
Tun Dr Mahathir sendiri berpendapat bahawa krisis wabak Covid-19 ini adalah lebih buruk dari krisis ekonomi Asia 1997. Kerajaan dalam keadaan yang sangat tertekan sudah cuba sedaya upaya untuk memberi berbagai-bagai insentif yang termampu untuk diberi oleh kerajaan. Bukan pemimpin PH tak tahu.
Tindakan kerajaan untuk membenarkan rakyat untuk mengeluarkan wang KWSP adalah sebagai usaha tambahan kepada insentif-insentif lain yang telah diberikan kerajaan. Bukan pemimpin PH tak tahu.
Harus diingat insentif kerajaan bukan semata untuk memberi duit tunai kepada rakyat semata-mata tetapi juga untuk membeli peralatan baru dan menampung pengurusan menangani wabak ini. Jumlahnya juga bukan sedikit. Bukan pemimpin PH tak tahu.
Sekarang pemimpin PH berlagak sebagai adiwira penyelamat dunia mendesak supaya kerajaan memberi itu dan ini kepada rakyat untuk menangani krisis ini.
Semua ini tak ubah seperti kempen menifesto mereka pada PRU14 lepas yang menjanjikan bulan dan bintang. Tapi apabila mereka sudah diberi kuasa pandai pula mereka berdalih kerajaan tidak ada duit. Kita baru sahaja mengambil alih kerajaan PH yang tiada duit itu tidak sampai sebulan. Takkan tiba-tiba dalam keadaan krisis besar seperti yang berlaku sekarang kerajaan sudah ada banyak duit untuk bagi segala yang dicadangkan pemimpin PH itu?
Pemimpin PH hanya mahu mengambil kesempatan atas kesulitan yang sedang berlaku sekarang untuk memberi tekanan kepada kerajaan. Hanya mengambil kesempatan dalam kesempitan rakyat Malaysia. Itu yang membuatkan saya takjub dengan pemimpin-pemimpin PH ini. Sungguh busuk permainan mereka.
Sepatutnya pada masa krisis yang sangat menakutkan ini kita berhenti dulu berpolitik dan sama-sama berganding bahu membantu kerajaan untuk menangani masalah ini.
PH ini semasa mereka menjadi kerajaan, dalam keadaan tiada krisis pun mereka tidak mampu menunaikan janji mereka sendiri. Saya percaya jika mereka masih menjadi kerajaan, semua perkara yang mereka tuntut supaya kerajaan sekarang lakukan ini sebenarnya mereka sendiri pun tidak akan mampu lakukan. And its just so typically PH!
IBNU JANIE
Editor Berita PAS Melaka