Home Berita PAS Perlis

Kibar Jalur Gemilang meriahkan sambutan Bulan Kemerdekaan

50
SHARE

Oleh MUHAMMAD HADI

ARAU, 28 Ogos: Program edar dan kibar Jalur Gemilang kepada masyarakat mampu memeriahkan lagi sambutan Bulan Kemerdekaan di negara ini.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Guar Sanji, Ustaz Mohd. Ridzuan Hashim, kerajaan telah melaksanakan pelbagai program bagi menyemarakkan lagi sambutan berkenaan meskipun negara masih belum bebas daripada cengkaman pandemik Covid-19.

“Pandemik Covid-19 tidak boleh dijadikan penghalang kepada rakyat Malaysia pelbagai kaum dan agama untuk sama-sama membuktikan kecintaan mereka kepada negara menerusi sambutan Bulan Kemerdekaan.

“Justeru, kerajaan telah menyusun pelbagai bentuk program termasuklah kempen kibar Jalur Gemilang ini agar kehangatan sambutan ini tetap dirasai,” katanya pada program edaran Jalur Gemilang kepada masyarakat anjuran Dewan Pemuda PAS Kawasan Arau di Pekan Simpang Empat, dekat sini semalam.

Program yang diadakan dengan kerjasama Jabatan Pilihan Raya DUN (JPrD) Simpang Empat itu turut dihadiri Pesuruhjaya PAS Negeri Perlis Mohd. Shukri Ramli.

Kata Mohd. Ridzuan lagi, rakyat boleh sama-sama merancakkan lagi kemeriahan sambutan Hari Kebangsaan melalui penggunaan media sosial untuk menzahirkan rasa gembira menyambut hari penuh bermakna ini.

“Ayuh kita jayakan gagasan Keluarga Malaysia seperti yang telah dihasratkan oleh YAB Perdana Menteri, dengan sama-sama mengenepikan perbezaan ideologi bagi menjayakan sambutan pada tahun ini, ujarnya.