Home Rencana PAS Pahang

Khauf (takut kepada Allah)

3302
SHARE

Oleh: FARIDAH KAMARUDDIN

Takut kepada Allah SWT, Tuhan pencipta alam, pencipta makhluk, pengatur kehidupan makhluk, pemberi rezeki kepada makhluk, pencipta syurga untuk orang yang bertakwa dan pencipta neraka untuk orang yang ingkar dan lain-lain. Apabila kita mendalami rasa takut ini, ternyata puncak rasa takut seorang hamba adalah kepada penciptanya, Allah SWT.

Dan rasa takut ini juga yang menjadi naluri semulajadi manusia. Setiap hamba memiliki rasa takut yang melekat pada dirinya. Namun rasa takut ini, boleh menjadi musuh dan sumber motivasi atau kekuatan, bergantung di mana diletakkan rasa takut itu.

Dengan itu, Islam membahagikan rasa takut ini kepada beberapa bahagian, antaranya: takut yang wajib, takut yang sunnah, takut yang mubah, takut yang haram dan takut yang merupakan kesyirikan.

Takut, hakikatnya satu bentuk perhambaan manusia kepada Allah SWT. Menyakini, Allah SWT boleh berbuat apa sahaja kehendak-Nya terhadap manusia. Ini terbukti dari cerita-cerita kemusnahan kaum-kaum yang ingkar di dalam al-Quran.

Allah telah berpesan di dalam surah al-Mai’dah ayat 44 yang bermaksud:

“….Oleh itu janganlah kamu takut kepada manusia tetapi hendaklah kamu takut kepada-Ku (dengan menjaga diri dari melakukan maksiat dan patuh akan perintah-Ku)…”

Berulang-ulang kali Allah SWT sudah mengingatkan di dalam al-Quran, tetapi manusia sekadar membaca dan tidak memahaminya. Jadi sampai bila-bila manusia akan lalai dan tidak mengetahuinya.

NATIJAH DARI RASA TAKUT KEPADA ALLAH SWT:

(1) Takut Itu Akan Mendorong Hamba Untuk Beramal Soleh Dan Melakukannya Ikhlas Semata-mata Kerana Allah SWT.

Sesungguhnya kami memberi makanan kepadamu hanyalah untuk mengharapkan keredhaan Allah, kami tidak menghendaki balasan dari kamu dan tidak pula (ucapan) terima kasih.” (Al-Insan : 9)

Subhanallah, mereka melakukan amalan soleh dan kebajikan, bukan kerana ingin dipuji tetapi untuk mendapatkan keredhaan Allah SWT.

(2) Akan Menundukkan Syahwatnya.

Takut kepada Allah SWT akan menghilangkan keinginan-keinginan pada perkara-perkara yang haram dan menimbulkan kebencian di hati pada perbuatan maksiat dan nikmat kelazatan dunia yang melalaikan dan merugikan.

“Sungguh kalau kamu (Qabil) menggerakkan tanganmu kepadaku untuk membunuhku, aku sekali-kali tidak akan menggerakkan tanganku kepadamu untuk membunuhmu. Sesungguhnya aku takut kepada Allah, Tuhan seru sekalian alam” (al Maidah: 28)

Masya-Allah, inilah yang menghalang Habil untuk membunuh saudaranya. Dia takut kepada Allah SWT. Dia tahu dia akan kehilangan kehidupan ini dan kehilangan dunia ini, tetapi dia tidak kehilangan Allah SWT.

(3) Seorang Yang Mengingat Allah SWT Ketika Sendirian (keadaan sepi) Lalu Air Matanya Mengalir.

“Diriwayatkan dari Anas bin Malik RA, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Siapa sahaja yang berzikir kepada Allah SWT kemudian mengalir air matanya hingga menitis ke tanah disebabkan rasa takutnya kepada Allah SWT, nescaya Allah SWT tidak akan menyeksanya pada hari kiamat.” (Hadis Riwayat al-Hakim)

Subhanallah, hebatnya rasa takut dan harap ini, menjadikan manusia merasakan kerendahan dan kehinaan diri di hadapan Allah SWT agar Allah menjauhinya dari azab  yang sangat pedih.

(4) Rasa Tenteram.

Orang yang rasa takut kepada Allah SWT di dunia, maka nanti pada hari kiamat, Allah SWT akan berikan ketenangan kepadanya.

Di dalam Hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Mubarak:

“Nabi SAW bersabda yang bermaksud, “Bahawa Allah SWT berfirman di dalam Hadis Qudsi: “Demi kemuliaan dan kebesaran-Ku, Aku tidak menghimpunkan dua rasa takut kepada hamba-Ku dan tidak pula akan mengumpulkan baginya dua rasa tenteram. Kalau dia berasa tenteram (tidak takut) dengan Aku ketika di dunia, Aku akan jadikan dia rasa takut pada hari kiamat. Sebaliknya kalau dia rasa takut kepada Aku di dunia, maka Aku akan jadikan dia rasa tenteram di akhirat.” (Hadis Riwayat Ibnu Hibban)

Hassan al-Basri mengatakan, orang beriman melakukan ketaatan kepada Allah SWT dalam keadaan gentar hatinya, takut tidak diterima amalannya dan sangat takut dan harap di dalam hati agar terhindar dari azab Allah SWT di akhirat kelak.

(5) Diampunkan Semua Dosa-dosanya

Sesungguhnya orang-orang yang takut kepada Tuhannya (yang tidak nampak oleh mereka), mereka akan memperoleh ampunan dan pahala yang besar.” (al-Mulk: 12)

Allahuakbar!, orang yang takut kepada Allah SWT akan memperolehi keampunan dan ganjaran pahala yang besar seperti janji Allah SWT dalam ayat di atas.

Rasulullah SAW juga suka menceritakan kisah-kisah yang dapat menjadi pelajaran bagi umat Islam. Kisah yang disampaikannya bukanlah khayalan atau kebohongan, melainkan hal nyata yang pernah terjadi. Allah SWT menjaga beliau dari perbuatan buruk, termasuk berkata dusta.

Seperti diriwayatkan Imam Muslim dalam Shahihnya, terdapat satu Hadis Nabi SAW.

“Beliau bersabda di hadapan para Sahabat. “Ada seorang lelaki (Dari zaman silam) yang tidak pernah melakukan satu kebajikan pun (semasa hidupnya) berpesan kepada keluarganya. Apabila dia sudah meninggal dunia, maka bakarlah (jasad) dia. Lantas, taburkan separuh darinya (Abu Jasad) di atas tanah, sedangkan separuhnya (lagi) di atas lautan.” Kata Rasulullah SAW membuka kisahnya.

“Mengapa lelaki tersebut berwasiat demikian? Ternyata rasa takutnya akan azab Allah SWT begitu mencekam dirinya yang di ambang ajal. “Kerana demi Allah SWT, jika Allah SWT Menangkapnya, pasti (Allah) akan menyeksanya dengan seksa yang tidak Dia timpakan kepada sesiapa pun (Selain diri ini),” demikian kata-kata lelaki tadi.

“Maka ketika akhirnya lelaki itu wafat, seluruh anggota keluarganya melaksanakan amanat tersebut. Jasad lelaki itu dibakar, untuk kemudian abunya dibahagi dua dan ditabur di dua tempat berbeza.

“Allah SWT kemudian memerintahkan daratan dan lautan. Maka berkumpullah semula abu jasad lelaki tadi.

“Allah SWT lalu memanggil lelaki itu, “Mengapa kamu melakukan hal itu?

““Kerana aku takut kepada-Mu, Ya Tuhanku dan Engkau sungguh Maha Mengetahui,” jawab lelaki ini.

“Allah lantas mengampuni dosa-dosanya kerana rasa takut hamba-Nya ini kepada Penciptanya. Dengan begitu, kesalahannya yang mengira jasadnya tidak akan mungkin berkumpul lagi menjadi satu sebab juga dia diampunkan Allah SWT.”

Maka dengan itu, jangan sampai lisan kita sangat mudah menghakum orang lain. Boleh jadi orang yang suka berbuat dosa sepanjang hayatnya, akhirnya mendapat rahmat dan keampunan Allah SWT ,kerana itulah kehendak Allah SWT. Apalagi, keimanan letaknya di hati. Tidak ada seorang pun yang boleh memastikan ‘warna’ hati orang lain.

(6) Rasa Takut Itu Akan Membawa Ke Syurga

Dan bagi orang yang takut akan saat menghadap Tuhannya ada dua syurga.” (ar-Rahman: 46)

Orang yang takut akan saat berdiri menghadapi Allah SWT kelak di hari kiamat untuk dihisab, yang semasa di dunia, dia tidak menurut hawa nafsunya, tidak memilih kehidupan dunia dan mengetahui bahawa kehidupan akhirat adalah lebih baik dan lebih kekal. Kerana itu, dia menunaikan semua yang diperintahkan Allah SWT dan menjauhi hal-hal yang diharamkan baginya.

Untuk orang yang sebegini, maksud syurga yang pertama dari ayat di atas adalah sebagai balasan kerana meninggalkan larangan Allah SWT, sedangkan syurga yang kedua  adalah sebagai balasan kerana mengerjakan ketaatan ke atas perintah Allah SWT.

Kesimpulannya

Takut kepada Allah SWT menjadikan hamba semakin dekat dan cinta kepada-Nya sehingga dia tidak lagi takut dengan kehilangan apa-apa sahaja di dalam kehidupannya kerana dia tidak kehilangan Allah SWT. Semoga Allah memberikan kita rasa takut kepada-Nya yang menghalang kita dari berbuat dosa.dan maksiat. Aamiin

Jadi berdoalah, sebab Nabi SAW sendiri berdoa memohon rasa takut kepada Allah SWT, walaupun Baginda manusia yang paling mulia dan takut kepada Allah SWT. Baginda membaca doa ini tatkala di dalam majlis bersama para sahabat yang bermaksud,

“Ya Allah, anugerahkanlah untuk kami rasa takut kepada-Mu, yang dapat menghalang kami daripada melakukan maksiat kepada-Mu.” (Hadis Riwayat at-Tirmizi dan Hakim)

Wallahu‘alam.