Home Berita PAS Melaka

Abah tak tinggalkan harta, cuma agama – Almarhum Ustaz Hafiz

182
SHARE

Oleh IBNU JANIE

JASIN, 13 Mei : “Abah tak tinggalkan harta pada anak abah. Abah cuma tinggalkan agama,” itu kata-kata yang sering diucapkan Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Jasin, Almarhum Ustaz Mohammad Hafiz Jasman, 31, kepada isteri dan anaknya.

Menurut balu almarhum, Ustazah Nor Erma Sari Aini , 31, almarhum memang mahu anak-anaknya mengikut jejak langkahnya mendalami bidang agama.

“Dia teringin sangat nak hantar anak belajar di Madrasah Tahfiz Al Quran Ibnu Talib, Ustaz Ahmad Rabbani di Pulai. Sebab dia pun pernah mengajar di situ,” ujar beliau.

Ustazah Erma bersama anaknya Yasin yang baru berusia tiga bulan

Menurut Ustazah Erma, semasa almarhum baru disedari sudah meninggal dunia dalam tidur, beliau masih berada di Sekolah Agama JAIM petang sedang mengajar di mana Almarhum sepatutnya mengambil beliau pulang pada waktu itu.

Katanya, pada petang kelmarin itu, apabila ibunya yang berada di rumah cuba mengejutkan almarhum kerana sudah hampir jam 6.30 petang, almarhum didapati sudah tidak bernyawa.

“Yang terakhir saya bercakap dengan dia dalam video call lebih kurang pukul 4.10 petang, dia cakap dah sampai rumah dia nak tidur dulu,” katanya.

Almarhum Ustaz Mohammad Hafiz Jasman

Ustazah Erma yang baru melahirkan zuriat pertama pada Februari lepas turut mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua saudara-mara dan sahabat handai yang datang menziarahi dan membantu menguruskan jenazah almarhum.

“Dan saya harap semua sahabat-sahabat dapat mendoakan saya kuat membesarkan zuriat almarhum,” katanya kepada Berita PAS-WARM di rumah keluarganya di Kampung Chenderah, di sini, semalam.

YDP PAS Jasin, Datuk Ustaz Kamarudin Sidek turut hadir dalam ziarah

Almarhum yang merupakan lulusan Universiti Al Azhar, Mesir dan sudah hampir lima tahun mengajar di Ma’ahad Ar Rahmah Solok Gaung memang mempunyai masalah jantung yang teruk selepas terlibat dalam satu kemalangan motosikal sekitar tahun 2017.

Kematian almarhum disahkan oleh pihak Kementerian Kesihatan dan dikebumikan pada Rabu malam di Tanah Perkuburan Kampung Chenderah, malam kelmarin.