Home Berita PAS Perlis

Hari Guru: ADUN Guar Sanji santuni para guru

50
SHARE

Oleh MUHAMMAD HADI

ARAU, 14 Mei: Menjelang sambutan Hari Guru yang jatuh pada 16 Mei setiap tahun, Pusat Khidmat Wakil Rakyat (PKWR) DUN Guar Sanji, dengan kerjasama JPrD Guar Sanji dan Ameerah Guar Sanji telah mengadakan lawatan ke sekolah-sekolah menengah, dan rendah serta PASTI dalam DUN berkenaan semalam.

Lawatan berkenaan bertujuan meraikan golongan pendidik yang telah banyak berkorban dalam menjayakan agenda pendidikan negara.

Antara yang terlibat dalam lawatan tersebut ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Guar Sanji, Ustaz Mohd. Ridzuan Hashim serta isterinya Siti Khadijah Musthafa, Naib Ketua Muslimat PAS Perlis, Latipah Mat, AJK Ameerah Arau, Rabiatul Adawiyah Hashim serta wakil daripada Dewan Pemuda PAS Kawasan Arau dan Dewan Muslimat PAS Kawasan Arau.

Ustaz Mohd. Ridzuan yang ditemui berkata, lawatan berkenaan diadakan lebih awal memandangkan tarikh sambutan hari guru pada tahun ini jatuh pada hari Isnin yang merupakan cuti ganti sempena Sambutan Hari Wesak.

“Alhamdulillah, selain bertujuan menyampaikan ucapan selamat hari guru, kami juga sempat beramah mesra dengan para guru yang ditemui.

“Banyak perkara menjadi tajuk perbualan, antaranya cabaran para guru dalam era pasca pandemik seperti masalah penguasaan 3M dalam kalangan murid serta isu-isu berkaitan prasarana serta kemudahan infrastruktur yang tidak mencukupi,” katanya.