Home Kenyataan Media PAS Wilayah

KEUTAMAAN MENGHADAPI MUSIBAH BANJIR, TIDAK PERLU TERBURU ADAKAN PRU 15

102
SHARE

Oleh : Mohamad Suhaimi bin Abdul Aziz, Ketua Penerangan PAS WP

Kenyataan Datuk Seri Mahdzir Khalid, Naib Presiden UMNO yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar bahawa bahawa mesyuarat Jemaah Menteri memberi bayangan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) tidak akan diadakan ketika negara berhadapan musim banjir amat melegakan semua pihak.

Sudah tentu Mesyuarat Jemaah Menteri telah mendapatkan input daripada semua anggota kabinet yang terdiri daripada pelbagai parti politik yang hadir pada mesyuarat itu. Nampaknya hampir kesemua pemimpin politik sepakat untuk mengelakkan daripada mengadakan PRU ke 15 pada tahun ini memandangkan ramalan kaji cuaca mengenai kemungkinan berlakunya banjir besar pada Oktober, November atau Disember 2022. Meskipun kita tidak tahu benar atau tidak banjir akan berlaku, namun sebarang kemungkinan terhadap sesuatu perkara yang buruk perlu dielakkan lebih lagi setelah dibuat kajian dan ramalan.

Seharusnya, mesej ini disampaikan juga kepada semua pihak termasuk mereka yang nak tergesa-gesa PRU 15 tahun ini agar semua persediaan kita dihadapkan buat membantu rakyat menghadapi musibah buruk yang bakal berlaku. Ambillah pengajaran dengan banjir besar pada tahun 2014 di negeri Pantai Timur, tahun 2021 di Pantai Barat manakala tahun 2022 banjir besar berlaku di Kedah. Lihatlah kepada penderitaan rakyat yang bertarung dengan nyawa, kehilangan harta benda, rumah, tanah serta pekerjaan. Sebahagian mereka kehilangan segala-galanya.

Tidak wajar untuk menyegerakan Pilihanraya Umum ke 15 dalam keadaan negara tidak bersedia ke arah itu. Dengan kos yang besar, persediaan jentera yang kurang, aspek keselamatan yang kurang, sementara semua peralatan dan kemudahan dipersiapkan bagi menghadapi musibah ini. Semua petugas keselamatan juga diarahkan berjaga-jaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan buruk.

Bayangkan, jika benar PRU ke 15 diadakan segera, sementara negara bergelut dalam menghadapi monsun yang tidak menentu ini. Apakah pilihan rakyat, adakah mereka perlu turun mengundi atau menyelamatkan nyawa sendiri, keluarga dan juga jiran tetangga. Siapa yang mampu turun ke pusat mengundi, dalam keadaan sebahagian mereka masih duduk di pusat pemindahan sementara. Siapa pula yang sibuk berkempen dalam keadaan rumah atau kampung terapung dihanyutkan air deras.

Barangkali, calon pun tidak sempat turun padang. Mungkin ini masanya mereka paling sibuk menjengah pengundi di rumah-rumah, berperahu ke sana sini menghulurkan bantuan, meredah banjir separas dada semata-mata mahu dilihat berkorban untuk rakyat. Namun untungkah dengan keadaan sebegitu?

Berapa peratuskah pengundi yang akan benar-benar turun mengundi kali ini? Jika PRN di Melaka dan Johor dijadikan ukuran, tanpa hujan lebat, tanpa banjir, tanpa monsun Timur Laut pun rakyat tidak mahu turun mengundi, bagaimana pula jika keadaan hujan lebat tidak berhenti-henti dan banjir di sana sini? Apakah silat dan silap mata disebalik gesaan mengadakan PRU segera ini? Mahu mendapat peratusan rendah mengundi, yang demikian akan memenangi peperangan ibu segala PRU ini dengan mudah?

Seharusnya, dalam keadaan ramalan kejadian hujan dan banjir besar ini, kerajaan menyediakan kelengkapan secukupnya bagi menghadapi keadaan ini. Tingkatkan aspek keselamatan, infrastruktur, kemudahan awam, bantuan-bantuan kebajikan, kecemasan, manakala pusat-pusat pemindahan diaktifkan sepanjang masa. Telah ada beberapa daerah yang dinaiki air dan penduduk dipindahkan.

Semua pihak, baik parti daripada kerajaan mahupun pembangkang perlu mengembeling tenaga bagi memastikan negara, kerajaan dan rakyat berada dalam keadaan terbaik. Selesaikan dahulu masalah utama negara, manakala soal PRU ke 15 boleh dirundingkan sehingga tahun depan. Bukankah mandat masih ada sehingga pertengahan tahun hadapan, mengapa perlu tergesa-gesa. Sepatutnya benarkan semua rakyat yang layak untuk turun mengundi dan berusaha dapatkan peratusan tertinggi pengundi. Kita akan dapati di akhirnya pengundi mahukan siapa yang akan menjadi kerajaan buat penggal seterusnya.

Jadilah manusia yang berjiwa besar, ‘gentleman’, berani kerana benar, berjuang ikhlas kerana rakyat dan bukan kerana ada kepentingan diri sendiri. Jika begini keadaannya, kita semua akan dihormati, disegani dan disayangi oleh rakyat.