Home Kenyataan Media PAS Wilayah

PAS WP SENTIASA BERSIKAP TERBUKA DENGAN RAKAN TAA’WUN

58
SHARE

PAS Wilayah Persekutuan menyambut baik kenyataan rasmi Datuk Seri Takiyuddin Hassan, Setiausaha Agung PAS bahawa PAS kekal dengan pendirian menjalinkan hubungan dengan UMNO sebagai Rakan Ta’awun sekali gus tidak bersetuju sama sekali dengan sebarang ketetapan atau pendirian yang menggambarkan Barisan Nasional (BN) sebagai musuh dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

PAS WP menganggap kenyataan rasmi daripada Setiausaha Agung PAS itu menggambarkan sikap PAS yang terus mahu berdamai dengan semua parti Melayu Islam di negara ini. Bagi PAS WP, UMNO bukanlah musuh yang perlu kita perangi dalam soal politik pilihanraya. Bahkan, PAS tetap menganggap UMNO sebagai Rakan Ta’awun yang perlu dihormati meskipun PAS berada dalam Perikatan Nasional (PN). Oleh yang demikian, sebarang kenyataan yang memburukkan, menjatuhkan serta saling menyalahkan antara pemimpin anggota PN dan UMNO mesti dielakkan dan dijauhi.

PAS WP sangat bersedia untuk sebarang perundingan dan kerjasama dengan UMNO. Jika berlaku pertembungan sekalipun, kami meyakini ia adalah pertembungan secara baik dan tidak didasari oleh kebencian dan permusuhan mendalam. Kerana kami yakin, permusuhan politik tidak akan kekal lama, lebih lagi melibatkan sesama bangsa dan agama.

Justeru, PAS WP menggesa agar PAS – UMNO – Bersatu perlu duduk semeja kerana semua parti ini mempunyai banyak persamaan. Ketiga-tiga parti Melayu Islam ini mendapat banyak keuntungan dan boleh menenangi dua pertiga majoriti andai dapat berunding dan berbincang. Adalah merugikan jika kita saling bertarung, tuding menuding serta berebut kerusi sesama sendiri kerana di akhirnya yang akan untung adalah Pakatan Harapan.

Seharusnya, fokus musuh politik utama bagi ketiga parti ini adalah Pakatan Harapan. Kita telah berpengalaman ngeri diperintah oleh kerajaan PH selama 22 bulan, dan selama ini rakyat berada dalam kegelapan atas kegagalan kerajaan mereka. Soal kedaulatan negara, perlembagaan negara, isu agama Islam, rasuah, ketirisan, sehingga kepada pembangunan negara tidak dapat diselesaikan dengan baik. Apakah kita mahu mengulangi episod hitam ini dengan melupakan segala tragedi yang menimpa rakyat dan negara, atau kita perlu berjiwa besar bersama-sama mendepani PH dalam PRU ke 15. Tepuk dada, tanyalah iman.

USTAZ HJ AZHAR BIN YAHYA
Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan