Home Berita PAS Johor

Ketua Penerangan PAS Johor mahu adik Damia dibela

106
SHARE

Oleh : Abu Hadif

LEDANG, 6 Julai : Ketua Penerangan PAS Johor, Rusman Kemin telah hadir menziarahi keluarga adik Nur Damia yang tinggal di Taman Chempaka Bukit Gambir di sini.

Kisah adik Nur Damia Lutfiah Fazli, 12, yang menghidap saraf otak sejak lahir akibat kecuaian pihak hospital dan kes tuntutan wang pampasan yang belum pernah diterima, kembali tular baru-baru ini di media sosial menarik perhatian beliau untuk membantu.

“Kisah adik Nur Damia yang ditularkan oleh ayahnya sendiri, Fazli Subuh melalui media sosial baru-baru ini sangat menyayat hati dan harus diberi perhatian.

“Kami sangat bersimpati dengan nasib malang yang dialami oleh adik Damia yang lumpuh anggota badan akibat kemalangan yang berlaku ke atasnya semasa dilahirkan di hospital Besar Kuala Lumpur dua belas tahun lalu” menurut Rusman.

Beliau turut menambah, menurut kenyataan ayah Damia yang juga pesara Tentera Udara DiRaja Malaysia, pendakwaan bagi kes kemalangan ini telah pun dibawa ke mahkamah oleh pihak keluarga Damia bermula 2016, dan pada Januari 2020 keputusan mahkamah telah memihak kepada Damia dimana pihak kerajaan diperintahkan membayar sejumlah wang sebagai pampasan.

“Namun, apa yang mengecewakan pihak keluarga sehingga terpaksa menularkan (di media sosial) isu ini ialah kerana perjalanan kes ini telah memakan masa yang terlalu lama dan masih belum selesai sehingga hari ini.

“Wang pampasan yang sangat diperlukan untuk membiayai kos penjagaan Damia juga masih tidak diperolehi, alasan yang diberikan adalah kerana kes ini telah dibawa ke Mahkamah Rayuan” kata beliau lagi.

Rusman yang menziarahi keluarga itu turut ditemani seorang personaliti yang digelar Raja Report, Rani Kulup, Pegawai Khas ADUN Gambir, Ayub bin Bani dan Timbalan Ketua Balai Polis Bukit Gambir.

Beliau juga mewakili Fazli, sangat berharap agar ada pihak yang berkaitan terutamanya pemimpin negara yang tampil bagi membantu mereka agar penderitaan yang dihadapi keluarga ini segera berakhir.

“Kami juga menyeru kepada mana-mana pihak sama ada individu, syarikat swasta, pertubuhan bukan kerajaan dan lain-lain untuk bersama membantu meringankan bebanan keluarga ini” kata beliau.

Pihak yang ingin membantu keluarga adik Damia, boleh menghubungi ayahnya, Fazli Subuh di talian 01158765833.