Ketua Dewan Ulamak Rasmi SIISWA ’17
Jumaat, 22 September– Lajnah Pembangunan ‘Alimat, Keluarga dan Masyarakat (LPAKM) melakar sejarah baharu hari ini dengan kejayaan menganjurkan Seminar Isu-isu Semasa Wanita 2017 (SIISWA’17) di Taman Melewar, Kuala Lumpur.
Seminar julung-julung kali diadakan itu dirasmikan Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Dato’ Dr Haji Mahfodz Mohamed yang sudi hadir bersama-sama isteri.
“Penganjuran seminar ini tepat pada masanya kerana wanita yang tidak Islamik memang sentiasa membuat kritikan dan tohmahan yang melampau kepada perjuangan Islam,” ujarnya sambil mengambil contoh keberanian sesetengah pihak menyeleweng serta merendah-rendahkan ibadat haji dan sirah para nabi.
Tambahnya lagi, wanita dan lelaki hakikatnya ibarat rel keretapi yang bergerak seiringan tanpa mengatasi satu sama lain; malah para wanita punya kelebihan dan tingkatan haknya yang tersendiri sebagaimana lelaki.
Memetik sepotong ayat dari Surah al-Hujurat, beliau berkata ukuran yang membezakan antara satu sama lain hanyalah ketakwaan dan amal soleh; serta tidak diukur dari sudut kewanitaan mahupun kelelakian seseorang.
Menyentuh kehangatan pilihanraya yang semakin dirasai, Ketua DUPP itu turut menyeru para ‘alimat agar turut sama menggembeleng tenaga memacu kemenangan parti.
Sebanyak empat kertas kerja dibentangkan hari ini memfokuskan isu-isu muslimah kini yang kian mencabar.
Dalam ucapannya, Ketua LPKAM berkata seminar ini bukan sahaja mahu menemukan para ‘alimat seluruh negara, malah untuk membincangkan isu semasa seterusnya menanam semangat mengkaji dalam kalangan mereka.
“Saya berharap semoga program ini tidak berhenti setakat ini dan dapat diteruskan di masa hadapan,” ujarnya lagi.