Home Artikel Dewan Muslimat PAS Malaysia

Skuad Prihatin : Ziarah keluarga Allahyarham Adik Mohd Hasrullah Ismail

542
SHARE

Kuala Lumpur, 22 September 2017 : Genap seminggu pemergian para syahid huffaz Quran in shaa Allah, anak-anak syurga yang terkorban dalam kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah (DQI) pada hari Khamis minggu yang lepas. Namun, sayu dan pilu masih terasa di hati rakyat Malaysia yang prihatin dengan berita sedih ini. Apatah lagi perasaan ibu-bapa dan ahli keluarga anak-anak ini.

Justeru itu, Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan (LKK) Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM) bersama Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia, Ustazah Nuridah Mohd. Salleh, Pengerusi LKK DMPM, Dr. ‘Uyun bersama Timbalan Ketua LKK DMPM Puan Zurina merangkap Ketua LKK DMP Wilayah Persekutuan dan AJK-AJK LKK DMPWP serta muslimat kawasan-kawasan, terutama muslimat PAS dari kawasan Bandar Tun Razak, telah mengadakan ziarah ke rumah salah seorang (syahid) yang terkorban iaitu Allahyarham adik Mohd. Hasrullah Ismail, yang berasal dari Cheras Kuala Lumpur. Kehadiran rombongan Muslimat PAS disambut baik oleh bondanya Puan Lela Mohd Noh bersama adik beradik Hasrullah yang lain.

Dalam ziarah tersebut, Puan Lela tidak keberatan berkongsi pengalaman kisah kebakaran yang telah meragut nyawa anak kesayangannya itu. Menurut Puan Lela, keluarga mereka lambat mendapat perkhabaran tentang kebakaran tersebut. Namun redha dengan apa yang Allah telah tetapkan.

Tambahnya lagi, Allahyarham Adik Hasrullah bersama 2 orang antara mangsa yang berusaha untuk keluar melalui pintu utama. Namun jenazah mereka ditemui di hadapan pintu utama tersebut.

Selepas selesai proses pengenalan DNA, jenazah dimandikan sendiri oleh Puan Lela bersama anak perempuannya. Mereka dibenarkan untuk melihat dan mencium jenazah. Menurutnya walaupun tiada lagi rupa sebenar anaknya, tetapi sesuatu yang tidak dapat dilupakan, darah segar masih mengalir dan jenazah mengeluarkan bau yang wangi. Wangian itu berbau hingga selesai urusan pengkebumian.

Semoga Adik Hasrullah tergolong dalam golongan Syuhada’ yang akan menanti bondanya di syurga kelak. Antara kata-kata Ustazah Nuridah untuk yang hadir pada malam itu, sesungguhnya untuk Adik Hasrullah, syurga sudah pasti, manakala untuk kita yang tinggal ini, berusahalah bersungguh-sungguh supaya kita juga termasuk dalam golongan yang Allah kurniakan syurga.

Sebelum mengundur diri, pihak DMPM menyerahkan sedikit sumbangan wang tunai kepada Puan Lela hasil sumbangan dari orang ramai yang dermawan dan prihatin.

Jazakumullah Khair al-Jazaa’ kepada semua yang telah menyumbang dan memberi kepercayaan kepada pihak LKK DMPM sebagai perantaraan menyampaikan sumbangan tersebut. Semoga Allah sahaja yang dapat membalasnya dengan sebaik-baik balasan. In shaa Allah.

Salam Takziah Puan Lela sekeluarga dan juga buat semua keluarga mangsa kebakaran Tahfiz Ittifaqiyah. Semoga terus tabah dan kuat serta memperolehi pahala yang berlipat ganda atas kesabaran dalam menerima ujian dari Allah dengan hati yang ikhlas. Inna Lillahi Wainna Ilaihiroji’un, Al-Fatihah.