Home Berita PAS Wilayah

Keterbukaan yang berprinsip, kemesraan yang tulus

Oleh Dhiya' Muttmainnah

274
SHARE

BATU, 26 Mac: Kejujuran PAS memperjuang prinsip tauhid yang mendukung identiti bersih, mesra rakyat, mengutamakan politik penyatuan dan politik matang telah menjadi tarikan bukan sahaja kepada umat Islam bahkan juga masyarakat bukan Islam.

Demikian ucapan Ketua Dewan Muslimat PAS Wilayah Persekutuan, Ustazah Nuridah Mohd Salleh sempena Muktamar Dewan Muslimat PAS Wilayah Persekutuan kali ke-40 di Hotel Adamson pagi ini.

Beliau turut menegaskan bahawa PAS telah lama meraikan masyarakat majmuk dan tidak mudah melatah dengan isu-isu perkauman sempit yang cuba melebarkan jurang antara PAS dan masyarakat bukan Islam.

“Muslimat telah memainkan peranan besar dalam menjadi duta menonjolkan PAS kepada rakyat pelbagai kaum menerusi pelbagai program kewanitaan yang meliputi aspek kesihatan, pengurusan rumahtangga, kursus kemahiran, kesenian dan lain-lain lagi,” ujar beliau.

Ketua Dewan Muslimat PAS Wilayah Persekutuan itu juga turut berkongsi bahawa PAS yang tidak asing dengan aktiviti kebajikan ini juga seringkali menghulurkan bantuan kepada golongan yang susah tanpa mengira kaum dan agama.

Sehubungan itu beliau menyeru agar nilai keterbukaan yang berprinsip serta kemesraan yang tulus terus digiatkan di Wilayah Persekutuan yang mempunyai populasi penduduk pelbagai kaum yang agak besar di Pantai Barat ini.