Home Artikel PPP

Kesultanan Samudera-Pasai: Perkembangan Dakwah Islamiyah

1179
SHARE

DAULAH ISLAMIYAH MELAYUWIYAH

Siri 20

KESULTANAN SAMUDERA-PASAI: PERKEMBANGAN DAKWAH ISLAMIYAH

SEMENJAK keruntuhan kerajaan Perlak pada 1292M, kerajaan Samudera-Pasai telah mengambil alih peranannya sebagai pusat perkembangan dakwah Islamiyah di Nusantara. Peranan untuk mengembangkan dakwah adalah antara sumbangan terbesar kerajaan Samudera-Pasai terhadap sejarah Nusantara kerana sebelum abad ke-14M, dakwah boleh dikatakan hanya tertumpu di Aceh sahaja, selain di Leran, Jawa. Sebaliknya, mulai abad ke-14M, dakwah mula berkembang ke wilayah-wilayah di Nusantara dengan Samudera-Pasai menjadi pusat gerakannya. Bahkan, kemuncak gerakan dakwah yang meng-Islamkan hampir keseluruhan Nusantara adalah hasil perancangan kerajaan Samudera-Pasai yang menyusun pergerakan para ulamak-pendakwah, melahirkan kader-kader dakwah dan mengadakan hubungan diplomatik-dakwah dengan kerajaan-kerajaan Nusantara, yang akhirnya menyebabkan Islam tersebar secara aman dan meluas, dalam jangka waktu yang relatifnya cepat. Kejayaan menggerakkan dakwah dan meng-Islamkan Nusantara ini boleh dianggap sebagai sumbangan paling berkesan Samudera-Pasai kepada Islam, jika kita ingin menilai jasa-jasanya.

Usaha kerajaan Samudera-Pasai membawa masuk para ulamak Syafieyyah untuk menjadi pentadbir dan menghidupkan pendidikan Islam, bukan sahaja telah mengukuhkan mazhab Sunni-Syafie, tetapi juga telah melahirkan kader-kader dakwah Sunni yang kemudiannya bergerak ke pelbagai tempat di Nusantara, sebelum mereka membuka pusat-pusat dakwah baru seperti mana Maulana Malik Ibrahim membuka pesantren Ampel Denta di Jawa, kemudian kader pasentren ini melahirkan pula kader untuk dakwah di Jawa, kepulauan Maluku, Sulawesi dan Kalimantan. Begitu juga peranan Samudera-Pasai yang membawa pendakwah India, Syed Hussein Jamadil Kubra ke Pasai. Kemudian beliau dikirim ke Kelantan, sebelum ke Champa dan Jawa, kemudian berakhir di Makasar. Dengan dukungan khalifah di Kaherah pula, Samudera-Pasai telah menggerakkan ulamaknya seperti Maulana Malik Ibrahim, Maulana Ishak, Sunan Fatahillah, Sunan Gunung Jati dan lain-lain membentuk Majlis Dakwah Wali Songo pada 1404M yang berjaya menukar Jawa daripada sebuah wilayah Hindu Majapahit menjadi pulau yang paling ramai penganut Islam di Alam Melayu. Begitulah, secara umum peranan dakwah Samudera-Pasai dalam mengembangkan Islam di Nusantara.

Kerajaan Samudera-Pasai dan Agenda Dakwah

Dakwah adalah salah satu daripada tanggungjawab utama pemerintah Islam, selain melaksanakan syariat Islam. Peranan ini telah dimainkan dengan berkesan oleh kerajaan Samudera-Pasai sehingga gerakan dakwah dapat berjalan lancar ke seluruh Nusantara. Agenda dakwah ini menjadi sasaran besar pemerintah bagi mengukuhkan perkembangan dan kemajuan Islam, terutama dalam menghadapi kesan-kesan peninggalan kerajaan Buddha Sriwijaya dan juga pengaruh kerajaan Hindu Majapahit. Realitinya, kebangkitan Islam di Nusantara adalah serentak dengan kebangkitan semula Hindu di Nusantara selepas serangan kerajaan Chola pada 1025M. Dengan gerakan dakwah yang disusun dan digerakkan sendiri oleh kerajaan dalam menghadapi pengaruh Hindu ini, ia dapat berkembang dengan pesat dan akhirmya melumpuhkan kekuatan Majapahit sebagai empayar Melayu, sekali gus membuka ruang kepada Melaka untuk bangkit sebagai empayar Melayu Islam yang pertama pada abad ke-15M.

Agenda dakwah kerajaan Samudera-Pasai ini dapat dilihat dalam beberapa aspek. Pertama, perlaksanaan syariat, di mana pengukuhan sistem perundangan Islam telah memperlihatkan keadilan syariat kepada rakyat dan juga kerajaan jiran. Kedua, kerajaan Samudera-Pasai mengirim pendakwah ke negara-negara jiran, sehingga ada negara yang diserang dan dikenakan jizyah kerana menghalang dakwah. Ketiga, membawa masuk ulamak-ulamak asing dari Arab, India, Parsi dan Mesir untuk berdakwah di Samudera-Pasai, kemudian mereka dikirim pula wilayah-wilayah Nusantara yang lain. Keempat, peningkatan peranan Samudera-Pasai sebagai pusat pendidikan tinggi Islam. Ulamak-ulamak tempatan yang diutuskan ke Jawa, Pattani dan sekitar Aceh adalah mengikuti pendidikan tinggi di Samudera-Pasai. Bahkan, Melaka turut mengirimkan ulamak-ulamaknya belajar di Samudera-Pasai. Dan kelima, dengan peranan-peranan tersebut, Samudera-Pasai sekali gus telah menjadi pusat gerakan dakwah bagi Nusantara.

Samudera-Pasai Sebagai Pusat Keilmuan Islam Nusantara

Perkembangan dakwah di Samudera-Pasai menjadi begitu kukuh apabila kerajaan mengambil langkah menjadikan Samudera-Pasai sebagai keilmuan Islam. Antara pembaharuan yang diperkenalkan adalah seperti mewajibkan rakyat belajar agama. Di setiap mukim, diwajibkan supaya mesti mempunyai sekurang-kurangnya sebuah dayah (pondok), dan diwujudkan juga institusi balee (balai) dan meunassah (madrasah) untuk menggalakkan generasi muda belajar, selain peranan masjid sebagai pusat keilmuan. Dayah-dayah yang menyediakan pendidikan tinggi juga diwujudkan supaya ulamak tempatan bulih mencapai tahap keilmuan yang setaraf dengan pelajar yang belajar di Mekah, Kaherah, Cardova, Fez, Esfahan dan Damsyik. Bagi tujuan tersebutlah, para ulamak dari Parsi, India, Palestin, Maghribi dan Arab dibawa masuk ke Samudera-Pasai. Bahkan, tradisi penulisan ilmiah juga telah dimulakan mengikuti jejak Baghdad dan Cardova dalam penghasilan karya ilmiah, di mana yang terawal dikesan ialah penulisan Bahr al-Lahut oleh Sheikh Abdullah Ariff pada akhir abad ke-12M. Sekali gus, proses ini telah melahirkan kader-kader dakwah Nusantara di kalangan anak-anak pendakwah imigran dan juga penduduk tempatan.

Satu contoh yang baik ialah dengan adanya majlis-majlis ilmu yang dipimpin oleh para fuqaha kemudiannya melahirkan para ulamak-pendakwah seperti Sheikh Ismail Aceh dari Fansur yang hidup pada abad ke-15. Sheikh Ismail Aceh disebutkan oleh Wan Mohd Saghir telah berkhidmat dan berdakwah di Kota Seri Banoi (Siam). Kemudian dua orang anak Sheikh Ismail menjadi ulamak yang terkenal juga iaitu Sheikh Hamzah Fansuri dan Sheikh Ali Singkel. Sheikh Hamzah selain terkenal dengan karya-karya tasawufnya, beliau turut mengkaderkan seorang ulamak besar, Sheikh Syamsuddin as-Sumatra-i. Sedangkan Sheikh Ali Singkel merupakan ayah kepada Sheikh Abdul Rauf Singkel (Syiah Kuala). Sheikh Hamzah, Sheikh Syamsuddin dan Sheikh Abdul Rauf adalah ulamak-ulamak pentadbir terkenal dalam kerajaan Aceh Darussalam pada abad ke-16 dan 17M. Begitu juga kader-kader yang dibina di Samudera-Pasai pada abad ke-14M di kalangan anak-anak pendakwah yang melahir para Wali Songo yang aktif berdakwah di Champa dan Jawa pada abad ke-14 dan 15M. Ulamak-ulamak yang berdakwah di Melaka juga adalah keluaran Samudera-Pasai.

Gerakan Dakwah Nusantara Berpusat di Samudera-Pasai

Peranan Wali Songo, Sheikh Hamzah Fansuri, Sheikh Abdul Rauf Singkel dan para ulamak Melaka menunjukkan bagaimana institusi-institusi pendidikan telah menaikkan taraf Samudera-Pasai dari sebuah pusat pengajian Islam kepada sebuah pusat gerakan dakwah di Nusantara. Pembinaan kader-kader dakwah ini tidak sahaja memberi kesan kepada Jawa dan Champa, tetapi turut menjadi faktor kepada perkembangan Islam di Pattani dan Tanah Minang juga. Sheikh Said Barsisa (Tok Pasai) dikatakan telah berdakwah di Pattani sejak awal abad ke-15M, sedangkan Sheikh Burhanuddin Ulukan (m. 1214M) dari Pasai telah berdakwah di Batu Hampar, Bonjol, Ulukan dan Kampar (sekarang Minang) sezaman dengan Sheikh Abdullah Arif di Aceh. Ada pengkaji yang mengatakan bahawa Islam telah sampai ke Brunei dan Mindanao juga melalui saluran Samudera-Pasai. Agak menarik juga apabila ulamak Samudera-Pasai, Sunan Gunung Jati yang bergiat di Banten, Jawa telah dapat melahirkan Sheikh Hamzah Fansuri dari pusat dakwahnya, kemudian Sheikh Hamzah Fansuri kembali berkhidmat di Aceh pada abad berikutnya.

Dari satu sudut yang lain, para ulamak-pendakwah yang bergerak untuk meng-Islamkan Nusantara telah menjadi Samudera-Pasai sebagai pusat transit pergerakannya. Para ulamak dari India, misalnya rombongan Syed Hussein Jamadil Kubra telah berkumpul di Samudera-Pasai sezaman dengan kedatangan Ibnu Batutah. Kemudian mereka bergerak Kelantan untuk mengembangkan Islam, sebelum meng-Islamkan Champa. Dari Champa mereka bergerak ke Jawa dan juga Makassar. Sedangkan peng-Islaman Maluku, Nusa Tenggara, Lombok dan pulau-pulau sekitarnya dibuat oleh ulamak Jawa dan Makassar. Ulamak juga juga yang meng-Islamkan Kalimantan dan Palembang. Manakala Melaka pula, ulamak-ulamaknya yang dikaderkan di Samudera-Pasai memainkan peranan besar untuk mengukuhkan Islam di Semenanjung Tanah Melayu dan pantai timur Sumatera dari Aru hingga ke Jambi, termasuk Kepulauan Riau. Demikian itulah dakwah Islam berkembang pesat pada abad ke-15 dan 16M ke seluruh Nusantara melalui jalur Samudera-Pasai.

Samudera-Pasai juga tidak ketinggalan dalam membentuk hubungan diplomatik-dakwah khususnya melalui perkahwinan putera- puteri mereka bagi membentuk hubungan diplomatik, sekali gus dakwah. Maulana Malik Ibrahim misalnya, dikahwinkan dengan Puteri Pasai sebelum dihantar ke Champa, kemudian Jawa. Di Champa, Maulana Malik Ibrahim berkahwin dengan anak raja negeri Kauthara, Bong Tak Keng yang telah Islam. Kemudian, puteri Raja Bong Tak Keng yang bernama Puteri Amaravati dikahwinkan dengan Raden Kertabumi, adik Raja Majapahit. Keadaan ini membolehkan mereka meluaskan Islam di kedua-dua wilayah tersebut. Bahkan, Syed Hussein Jamadil Kubra yang dikirim oleh Samudera-Pasai ke Kelantan telah mengahwini dua puteri Kelantan yang menyebabkan pengaruhnya begitu kuat dalam istana Kelantan, sebelum mengahwini puteri Che Bo Nga (Sultan Zainal Abidin), raja Champa yang sebut Kembayat Negara itu. Kebanyakan proses dakwah yang dibuat ke atas raja-raja Nusantara adalah melalui perkahwinan seperti ini, di mana dakwah dan diplomatik bergerak serentak. Pendekatan ini mungkin mengikuti cara sultan-sultan Daulah Othmaniyah (1299-1924M) yang mengahwini anak-anak raja Nasrani di Eropah sebagai pendekatan dakwah dan diplomatiknya.

MOHD FADLI GHANI
Pusat Penyelidikan PAS
21 Syawal 1439 / 5 Julai 2018