Home Berita PAS Pusat

Kesultanan Perlak: Perlaksanaan Syariat Dan Perkembangan Dakwah

1184
SHARE

DAULAH ISLAMIYAH MELAYUWIYAH
Siri 12

Gambar hiasan oleh banu-islam.blogspot

KESULTANAN PERLAK: PERLAKSANAAN SYARIAT DAN PERKEMBANGAN DAKWAH

PEMBENTUKAN daulah Islam di Perlak yang berlaku pada 1 Muharram 225H (840M) telah menunjukkan bahawa kewujudan daulah Islam di Nusantara adalah sezaman dengan berdirinya Daulah Abbasiyah (750-1258M) di Baghdad dan Daulah Umayyah Andalusia (756-1031M) di Cardova. Para pendakwah dan ulamak di Perlak telah bekerjasama dengan istana Perlak dalam mengembangkan dakwah dan menjadikan Perlak sebuah daulah Islam, sekali gus menjadi pusat penyebaran Islam di Nusantara. Walaupun terdapat perbezaan tarikh penubuhan kerajaan ini berdasarkan saranan Teungku M Yunus pada 1958M, bahawa ia ditubuhkan pada 1161M (520H), tetapi bukti terkini berdasarkan sumber Arab seperti Akhbar as-Sin wa al-Hind, Silsilat at-Tawarikh dan al-Buldan yang ditulis antara abad kesembilan dan 10M, menunjukkan sebelum tahun 1000M telah ada kerajaan Islam di Perlak. Pada 1980, berdasarkan naskhah kronik Idharul Haq fi Mamlakatil Perlak karangan Abu Ishak al-Makarani, sebahagian sejawaran mengakui Islam berdiri di Perlak pada 840M.

Berdirinya Perlak sebagai sebuah daulah Islam bukanlah semata-mata atas nama Islam sahaja, tetapi memperlihatkan dengan berkesan bagaimana syariat dilaksanakan dan dakwah dikembangkan. Ia menepati dua objektif berdirinya daulah Islam – perlaksanaan syariat dan penyebaran dakwah. Walaupun data-data khusus tentang perlaksanaan syariat di Perlak belum dapat dibongkar dengan terperinci, namun hakikat berlakunya syariat Islam telah disahkan oleh Marco Polo yang melawat Perlak pada hujung era kerajaannya. Sedangkan dalam bidang dakwah, tidak dapat ditolak lagi bahawa sebelum kewujudan Melaka, Acehlah yang menjadi pusat perkembangan dakwah terbesar di Nusantara untuk tempoh 500 tahun.

Perlaksanaan Syariat di Perlak

Walaupun Marco Polo mendakwa pada saat ketibaannya di Perlak pada 1292M, Islam yang berkembang di sini hanya berlaku di kawasan-kawasan bandar yang didiami oleh keluarga diraja, pembesar, pedagang asing dan rakyat sultan, namun suatu hal yang tidak dapat dimungkiri olehnya ialah perlaksanaan syariat Islam telah berlaku. Hukum-hukum Islam berjalan dalam beberapa perkara. Pertama, hukum ibadat, di mana umat Islam telah mula mendirikan ibadat-ibadat dan membina rumah ibadat, sehingga masjid dan surau di Sumatera disebutkan sebagai pusat-pusat keilmuan Islam terawal sebelum wujudnya dayah. Kedua, hukum keluarga, di mana pembentukan keluarga Islam telah berlaku melalui perkahwinan para pendakwah dengan kerabat istana dan orang kebanyakkan, sehingga akhirnya mewujudkan masyarakat Islam. Inilah sandaran terbesar dalam memahami perkembangan hukum Islam di Indonesia, di mana ahli-ahli undang-undang mendakwa para ulamak dan pendakwah menjadi rujukan dalam hal agama, sehingga sultan memainkan peranan melantik penghulu sebagai qadhi syariat dan pemberi fatwa dalam masyarakat sebelum 1292M. Asas inilah yang membentuk teori reception in complexu dalam undang-undang Islam di Indonesia.

Ketiga, hukum-hukum Islam dalam pedagangan. Oleh kerana Perlak telah menjadi pelabuhan yang dikunjungi oleh pedagang Islam dari Arab, India dan Parsi, di mana mereka menjadi pendakwah dan menunjukkan contoh kehidupan Islam, bermakna urusan-urusan muamalat dan perdagangan dilaksanakan menurut hukum Islam. Walaupun belum ada teks undang-undang secara khusus, namun biasanya terdapat kitab-kitab fiqh khusus yang menjadi rujukan kerajaan. Keempat, hukum-hukum jenayah Islam. Sepertimana hukum muamalat yang merujuk kepada kitab-kitab fekah, begitu juga dalam bidang siasah dan jenayah. Cuma, perlu diakui bahawa ketika ini, belum banyak kitab fekah yang ditulis, bahkan fekah mazhab baru berkembang. Imam-imam mazhab seperti Imam Abu Hanifah (699-767M),
Imam Malik (711-795M), Imam Syafie (767-820M) dan Imam Ibnu Hambali (780-855M) hidup dipermulaan perkembangan Islam di Nusantara. Maka kebanyakan hukum Islam yang dijalankan adalah berdasarkan fatwa dan nasihat para ulamak yang ada di Perlak ketika itu. Salah seorang ulamak yang terkenal ialah Sheikh Abdullah Kan’an yang berasal dari Palestin.

Dalam perlaksanaan syariat di Perlak, Sultan Makhdum Alaiddin Abdul Kadir Shah Johan Berdaulat (928-932M), telah menubuhkan Majlis Kesultanan yang berfungsi sebagai majlis fatwa dengan diketuai oleh seorang Mufti Besar. Turut dilantik ialah Qadhi Besar bagi mengendalikan pertikaian dan perlaksanaan hukum di Perlak. Dalam bidang ekonomi, ditubuh Baitul Mal sebagai badan kewangan negara berasaskan Islam. Dengan kewujudan institusi-institusi ini, maka Kerajaan Perlak dapat menguatkuasakan perlakasanaan syariat secara berperingkat mengikut aliran Syiah pada awal, kemudian faham Ahli Sunnah mula berkembang pada zaman Sultan Alaiddin Sayyid Maulana Abbas Shah (888-913M), sebelum fekah Mazhab Syafie dikembangkan oleh pendakwah dari Kerajaan Ghowri pada zaman Sultan Makhdum Alaiddin Abdul Jalil Shah Johan Berdaulat (1200-1230M).

Pertumbuhan Dakwah dan Penyebaran Islam

Dalam catatan Marco Polo yang mengunjungi Perlak pada 1292M, mengatakan bahawa para pedagang Islam dari Arab, India dan Parsi sangat ramai berdagang di Perlak dan mereka telah berjaya meng-Islamkan pendudukan tempatan sehingga syariat Islam dapat dikuatkuasakan. Namun begitu, dakwah pada ketika ini adalah tertumpu di kawasan bandar dan kota, sedangkan di kawasan pedalaman manusia masih hidup seperti haiwan dan masih memakan daging manusia. Gerakan dakwah yang lebih berkesan pada pertengahan abad ke-13M ketika mana Perlak dikunjungi oleh Sheikh Ismail dari Mekah dan Faqir Mohammad dari India yang diutuskan oleh Syarif Mekah. Mereka berdakwah menyusuri kawasan dari Pasuri (Pane) ke Lamuri, dan melalui sepanjang pantai timur Aceh hingga ke Aru, dan akhirnya berjaya meng-Islamkan Raja Samudera, Meurah Silu. Meurah Silu kemudian memakai gelaran Sultan Maliku as-Salleh, mengikuti gelaran sultan terakhir Dinasti Ayubiyah di Mesir ketika membentuk Kerajaan Samudera-Pasai.

Menurut Abdul Qadir Djaelani, perkembangan dakwah di Perlak berlaku secara damai di mana pedagang Muslim dengan modal ekonomi dan ilmu agamanya, berdakwah melalui perkahwinan, memerdekakan hamba dan menunjukkan contoh kehidupan yang baik. Dari situ terbentuknya satu masyarakat Muslim, yang kemudiannya membesar melalui persaudaraan Islam sehingga membentuk kekuasaan politik dan berdirinya daulah Islam. Begitulah cara Islam berkembang, sehingga Marco Polo mencatatkan, “… ketahuilah bahawa dahulu kala orang-orang (Perlak) ini menyembah berhala, namun kerana para pedagang Muslim yang sering mengunjungi mereka dengan perahu, semua orang itu berpindah (kepada) agama yang mengerikan – agama Muhammad.” Setelah hampir 100 tahun dakwah berjalan dengan cara ini, baharulah proses dakwah dan perkaderan yang sistemetik diwujudkan untuk membina generasi baru Islam, terutama melalui sistem pendidikan.

Dakwah yang lebih berkesan adalah hasil tindakan Sultan Alaiddin Sayyid Maulana Abdul Rahim (864-888) yang membawa ulamak dari Parsi, India dan Arab untuk menghidupkan pusat-pusat pengajian Islam. Telah ditubuhkan beberapa zawiyah (dayah dalam sebut Aceh) bermula dengan Dayah Bukit Ce Breek pada 864M, sebelum tertubuhnya Dayah Seureule (1012M), Dayah Blang Peuriya (1153M), Dayah Batu Karang (1160-anM) dan Dayang Keuneu’eun (1196M). Yang paling penting ialah Dayah Cot Kala yang dibangunkan oleh Teungku Mohamad Amin pada 888M dan menjadi pusat pengajian tinggi Islam pertama di Nusantara pada 912M. Dayah-dayah di Perlak inilah yang melahirkan para ulamak dan pendakwah tempatan yang menyebarkan Islam ke seluruh Nusantara pada abad berikutnya. Tokoh-tokoh besar dalam kerabat diraja Perlak seperti Sultan Sayyid Abdul Rahim, Teungku Mohamad Amin, Teungku Sirajuddin, Teungku Yaakob dan Teungku Ampon Tuan, telah memainkan peranan besar dalam perkembangan dakwah dan penubuhan dayah-dayah, yang menunjukkan istana Perlak menjadi nadi terhadap perkembangan dakwah di Nusantara.

Perkembangan Mazhab Sunni Aliran Syafieyah

Kebanyakan pengkaji mendakwa Islam yang masuk ke Perlak pada 800M adalah dibawa oleh pendakwah bermazhab Syiah, namun setelah kedatangan ulamak dari Arab, India dan Parsi untuk memajukan dayah-dayah, mazhab Sunni mula dikembangkan. Perkembangan mazhab Ahli Sunnah wa al-Jamaah mula berlaku pada zaman Sultan Alaiddin Sayyid Maulana Abbas Shah (888-913M). Seorang pengkaji, Taqiyuddin Muhammad mendakwa mazhab Sunni Syafieyyah dikembangkan di utara Sumatera ini oleh pendakwah dari kerajaan Ghaznawi (977-1186M) dan kerajaan Ghowri (1000-1215M) yang berpusat di India. Sultan Abu Muzaffar Ghiyatuddin Muhammad al-Ghurry (1163-1202M) yang mempunyai hubungan rapat dengan Imam Fakharuddin ar-Razi (m. 1210M), seorang imam mazhab Syafie, dikatakan menghantar pendakwah ke Perlak untuk menyebarkan mazhab Syafie. Ini dibuktikan dengan wujudnya batu nisan Ibnu Mahmud (m. 1226) yang dikatakan anak kepada Sultan Mahmud al-Ghurry (1206-1212M). Ia berlaku pada zaman Sultan Makhdum Alaiddin Abdul Jalil Shah Johan Berdaulat (1200-1230M). Pada ketika ini juga, Syarif Mekah telah mengirimkan Sheikh Ismail dari Hijaz dan Faqir Muhammad dari India untuk mengembangkan fahaman Sunni di Perlak. Dari sinilah dikatakan berkembangnya mazhab Ahli Sunnah beraliran Syafie di Nusantara.

Disebabkan latar belakang peng-Islaman Perlak dimulakan oleh pendakwah Syiah, maka kedatangan para ulamak Sunni sekitar 880-an terutama dalam mengembangkan pendidikan di Dayah Bukit Ce Breek, telah membawa kepada perkembangan mazhab Ahli Sunnah, sekali gus menyebabkan berlaku krisis di istana. Keluarga Meurah Shahrun Nuwi yang berpegang dengan mazhab Sunni telah bergeser dengan keluarga Sayyid yang bermazhab Syiah sehingga berlaku perang pada 913 yang menyebabkan Perlak berpecah dua. Selepas kematian Sultan Sayyid Ali Mughyat Shah pada 918M, Perlak disatukan semula untuk menghadapi serangan Sriwijaya. Kerajaan baru ini dipimpin oleh keluarga Meurah Shahrun Nuwi yang bermazhab Sunni, iaitu Sultan Makhdum Alaiddin Malik Abdul Kadir Shah Johan Berdaulat (928-932M). Sejak naiknya Dinasti Johan Berdaulat pada 928M, pengaruh Syiah mulai pudar dan Sunni bangkit sebagai mazhab utama di Nusantara, dengan aliran fekah Syafieyah.

MOHD FADLI GHANI
Pusat Penyelidikan PAS
13 Syawal 1439 / 27 Jun 2018