Home Artikel PPP

Kesultanan Melaka: Kebangkitan Ulamak Dan Umarak

5210
SHARE

DAULAH ISLAMIYAH MELAYUWIYAH
Siri 26

Gambar hiasan

KESULTANAN MELAKA: KEBANGKITAN ULAMAK DAN UMARAK

PERKEMBANGAN Islam di Melaka berlaku pada kadar yang lebih cepat berbanding Perlak, sedangkan kedua-duanya mempunyai latar belakang yang sama – bekas kerajaan Hindu-Buddha. Namun begitu, Samudera-Pasai adalah mewarisi Perlak, kerajaan yang menyebarkan Islam 400 tahun lebih awal di Aceh. Dalam konteks ini, dapat dilihat bahawa kemajuan Islam di Melaka sangat baik, seperti mana pesatnya Islam berkembang di Samudera-Pasai. Kemajuan yang dicapai oleh Melaka sebagai pusat penyebaran Islam telah menutupi peranan Samudera-Pasai, yang sehingga kini ia masih tenggelam dalam lipatan sejarah. Disebabkan oleh perkembangan yang baik ini, Melaka telah muncul sebagai kuasa politik dan ekonomi yang berkembang menjadi pusat penyebaran Islam di Nusantara. Salah satu faktor utama kebolehupayaan Melaka berperanan hebat dalam tempoh 249 tahun ini ialah gandingan ulamak dan umarak dalam pentadbiran kerajaan Melaka.

Penglibatan para ulamak dalam politik dan pentadbiran di Melaka tidak banyak ditonjolkan oleh pencatat sejarah, berbanding ketokohan Tun Perak dan Hang Tuah yang dianggap pembesar lagenda dalam sejarah orang Melayu di Melaka. Watak dan peranan ulamak masih tersisih, hanya dianggap sebagai guru-guru agama di masjid dan dianggap sebagai pemimpin spiritual sahaja. Kebanyakkan pengkaji yang menganalisis kronik dan hikayat Melayu pada abad ke-20M melihatnya dari kaca mata sekular. Bahkan, ada peneliti terkini mengungkapkan istilah “Islam Parameswara” untuk menggambarkan “Islam nama” dan “Islam baka” dalam tradisi Melayu, sehingga majlis ilmu Maulana Abu Bakar digambarkan orang Melayu hanya disuruh bersolat tanpa mempunyai kefahaman aqidah, syariat dan akhlak yang menyeluruh. Isu raja bermimpi dikhitan dikatakan “Islam kulit” yang tidak mementingkan isi. Sedangkan di Melaka ada jawatan qadhi dan juga undang-undang yang berasaskan Islam. Siapa yang mengadakannya, jika bukan ulamak?

Kebangkitan Melaka: Ulamak Mendukung Umarak

Parameswara ketika dijadikan menantu oleh Sultan Makhdum Alaiddin Malik Mohammad Amin Shah Johan Berdaulat, telah menyaksikan model kepemimpinan politik yang baru, berbeza dengan Sriwijaya dan Singapura, iaitu wujudnya peranan ulamak dalam pentadbiran kerajaan. Bahkan, Samudera-Pasai telah menunjukkan contoh yang sangat baik seperti yang disebut oleh Tun Seri Lanang dalam Sejarah Melayu, bahawa Sultan Malik as-Saleh (Meurah Silu) telah melantik para ulamak seperti Syed Ali Ghiyatuddin sebagai menteri setaraf sheikhul Islam. Malik as-Saleh adalah biras Parameswara. Selepas itu, sultan-sultan Samudera-Pasai melantik ulamak seperti Syed Asmayuddin sebagai menteri. Keadaan ini mendorong Melaka mengikuti jejak langkah yang sama. Ini menyebabkan para ulamak mendapat tempat dalam istana Melaka, dan raja-raja sendiri mendalami ilmu agama dengan mereka. Kehadiran para ulamak dalam pentadbiran kerajaan Melaka telah memberikan kekuatan kepada Melaka dalam membentuk hubungan dengan kuasa-kuasa politik Islam di Asia Barat, meluaskan pengaruh politik Melaka di Nusantara, mengukuhkan kedudukan Melaka sebagai pusat perdagangan antarabangsa dan memajukan kegiatan dakwah Islamiyah di Alam Melayu.

Dalam menjawab persoalan, apakah ulamak di Melaka hanya mengajar solat tanpa terlebih dahulu memperlajari aqidah, syariat dan akhlak, kita harus memahami bahawa majlis-majlis ilmu yang diadakan oleh para ulamak adalah meliputi semua cabang ilmu, bukan solat sahaja, tetapi solat disebut kerana ia adalah tunjang agama. Begitu juga anggapan umum yang meletakan “bersunat” (khitan) sebagai tanda masuk Islam, maka Sejarah Melayu menyebutkan hal itu, tetapi tidak bermakna itu sahaja. Kerana dicatatkan, Raja Kechil Besar selepas itu belajar ilmu agama dengan Makhdum Syed Abdul Aziz. Pada zaman Sultan Muzaffar Shah, Islam telah diterima dengan meluas sehingga dijadikan agama rasmi, manakala Hukum Kanun Melaka dan Undang-undang Laut Melaka telah digubal berasaskan Islam. Jawatan qadhi telah diwujudkan, gerakan dakwah diperkukuhkan dan akhirnya jihad fi sabilillah dilancarkan. Undang-undang, institusi qadhi dan mahkamah serta konsep darul Islam dan darul harbi yang menatijahkan jihad, telah menunjukkan bagaimana peranan yang besar dimainkan oleh ulamak dalam mendukung umarak di Melaka.

Ulamak Dalam Kerajaan Melaka

Sejarah Melayu telah mencatatkan kehadiran beberapa tokoh ulamak di Melaka, di mana sebahagian daripada mereka terlibat secara langsung dalam pentadbiran kerajaan, sedangkan yang lain bergiat di luar kerajaan. Berbeza dengan Samudera-Pasai yang mempunyai jawatan sheikhul Islam, mufti dan qadhi, di Melaka tugas pentadbiran agama yang tertinggi ialah qadhi. Pada peringkat awal, jawatan ini secara tidak rasmi dipegang oleh Makhdum Syed Abdul Aziz, kemudian pada zaman Sultan Muzaffar Shah, anak makhdum ini, Maulana Yusof telah dilantik sebagai Qadhi Melaka sesuai dengan kewujudan Hukum Kanun Melaka. Selepas itu, anak qadhi itu, Qadhi Munawar Shah (disebut juga sebagai Qadhi Menua) mengambil alih peranan tersebut. Selain, qadhi, sultan-sultan juga mempunyai penasihat agama seperti Makhdum Syed Abdul Aziz, Maulana Abu Bakar dan Makhdum Sadar Jahan. Mereka adalah antara ulamak yang bertaraf “menteri” dalam istana Melaka, sedangkan sultan dan pembesar adalah murid-murid mereka.

Manakala ulamak-ulamak lain berkecimpung dalam penyebaran ilmu dan dakwah. Bahkan makhdum-makhdum itu sendiri pun, selain menjadi qadhi dan penasihat sultan turut mengajar ilmu-ilmu agama. Disebutkan, ulamak-ulamak dari Pasai banyak datang ke Melaka untuk berdakwah dan menyebarkan ilmu. Ulamak dari India, Syed Thanauddin yang pernah bergiat di Samudera-Pasai telah datang ke Melaka dari Kelantan, sebelum ke Gunung Ledang. Beliau mengajar ilmu agama dan persilatan. Antara muridnya ialah Hang Tuah. Kitab Sia-sia Berguna yang dihasilkan di Melaka dikatakan ditulis oleh Syed Thanauddin. Ulamak Pasai seperti Sunan Gunung Jati dan Sunan Fatahillah juga pernah belajar dan berdakwah di Melaka, sebelum mereka bergiat di Jawa. Antara Ulamak lain seperti Maulana Jalaluddin dan Sheikh Ahmad Makhtum juga bergiat di Melaka. Di atas usaha mereka, disebutkan “Maka segala Orang Besar-besar semuanya masuk Islam, sekalian isi negeri lelaki perempuan, tua muda, kecil besar sekaliannya masuk Islam.”

Untuk melihat lebih jauh tentang hubungan antara ulamak dan umarak ini, ialah pembinaan watak-watak sultan di Melaka, yang dikategorikan sebagai pendidikan akhlak. Sejarah Melayu dan catatan China merekodkan bagaimana sultan-sultan menjadi murid para ulamak ini. Hasilnya, Sejarah Melayu merakamkan Sultan Mohammad Shah sebagai “terlalu adil baginda dalam memeliharakan segala rakyat,” manakala Sultan Muzaffar Shah pula “terlalu adil, murah [dan] saksama pada memeriksa segala rakyat.” Sultan Alaiddin Riayat Shah pula digambarkan sebagai “terlalu perkasa pada zamannya,” sedangkan Sultan Mahmud Shah pula “terlalu baik sikapnya, tiada berbagai (tandingan).” Dari gambaran ini, menunjukkan bahawa pembinaan watak sultan-sultan yang adil merupakan salah satu ciri terpenting kepemimpinan Islam yang disepakati oleh para fuqahak. Atas asas ini, ia harus dilihat peri penting peranan ulamak membentuk watak pemimpin besar seperti mana peranan Sheikh Aaq Syamsuddin dalam membina Sultan Mohammad al-Fateh (1451-1481M), raja Daulah Othmaniyah yang sezaman dengan Sultan Alaiddin Riayat Shah (1446-1479M) di Melaka.

Para Ulamak dan Aktiviti Pengembangan Islam di Melaka

Peng-Islaman dan perkambangan Islam di Melaka tidak dapat dipisahkan daripada peranan para ulamak, walaupun sultan turut memainkan peranan terbesar. Semenjak kedatangan Makhdum Syed Abdul Aziz ke Melaka pada zaman Parameswara, aktiviti pengembangan Islam telah berlaku dengan pesat, dan Melaka mula menjadi nadi kepada penyebaran Islam di Nusantara. Secara umum, ada lima peranan utama para ulamak di Melaka dalam konteks pengembangan Islam.

I. Peng-Islaman Melaka
Walaupun terdapat beberapa teori tentang peng-Islaman Melaka, satu faktor utama ialah peranan para ulamak. Perkahwinan Parameswara dengan Puteri Perlak dan mimpi Raja Kechil Besar yang membawa peng-Islaman baginda berdua, adalah kisah peribadi kedua-dua sultan. Sedangkan sesudah itu, para ulamaklah yang memainkan peranan meng-Islam seluruh rakyat Melaka. Raja Kechil Besar sendiri mempelajari Islam dari Makhdum Syed Abdul Aziz, sedangkan peng-Islaman Parameswara di Pasai telah menyebabkan para ulamak Arab di Pasai, termasuk makhdum itu berhijrah ke Melaka untuk mengembangkan Islam.

II. Penyebaran Ilmu
Melaka mengikuti peranan yang dimainkan oleh Samudera-Pasai sebagai pusat penyebaran ilmu, walaupun tidak dapat mengatasi peranan ulamak-ulamak di Aceh itu. Bahkan, Melaka tetap menghantar para ulamaknya ke Samudera-Pasai untuk memperdalamkan ilmu di sana. Dalam konteks penyebaran ilmu, para makhdum pada peringkat awal menjadikan anjung istana dan masjid sebagai pusat pengajaran ilmu-ilmu Islam yang turut didatangi oleh sultan, para pembesar dan rakyat. Catatan China berjudul ‘Hsing-Ch’a Shang-lan’ mengatakan Sultan Mahmud Shah belajar agama bersama rakyat sehingga mendorong kehadiran ulamak luar. Beberapa tokoh ilmuan Islam bergiat di Melaka dan Pulau Besar sehingga melibatkan nama Sunan Gunung Jati, Sunan Kalijaga, Sunan Giri, Sunan Fatahillah dan lain-lain dalam penyebaran ilmu ini, sebelum mereka aktif di Jawa. Seorang ulamak besar yang berada di Pasai pada 1340M, Syed Thanauddin (Sheikh Mohammad Saman) yang disebut sebagai Sang Adiputra dalam sejarah Melaka adalah guru Hang Tuah. Sejarah Melayu menyebutkan bahawa Sultan Melaka telah mengirimkan kitab Dar al-Mazlum ke Pasai, dan penulisnya Maulana Abu Bakar datang ke Melaka untuk mengajarnya. Istana Melaka ketika ini dikatakan menjadi tempat belajar dan bermuzakarah, perpustakaan, tempat penterjemahan dan penyalinan kitab. Abdullah Ishak yang mengkaji perkembangan dakwah mengatakan ulamak India dari Afghsnistan, Malabar dan Hindustan paling ramai yang terlibat, selain Arab.

III. Perlaksanaan Syariat
Melaka selepas di-Islamkan telah menjadi kerajaan yang besar, bermula pada zaman Sultan Mohammad Shah, tetapi perlaksanaan syariat dapat dibuat pada zaman Sultan Muzaffar Shah yang telah mengisytiharkan secara rasmi Islam sebagai negara. Undang-undang syariat dikuatkuasakan melalui Hukum Kanun Melaka dan Undang-undang Laut Melaka. Selain membantu sultan mewujudkan undang-undang berasaskan syariat, jawatan hakim atau qadhi yang menguatkuasakan syariat juga pegang oleh ulamak. Dua qadhi yang terkenal ialah Qadhi Maulana Yusof dan Qadhi Maulana Munawar.

IV. Gerakan Dakwah
Perkembangan dakwah yang berlaku di Melaka telah membolehkan seluruh Nusantara di-Islamkan dalam masa yang cepat. Para ulamak yang bergerak di Perlak sebelum abad ke-13M mulai menjadikan Melaka sebagai pusat dakwah baru pada abad ke-14M. Kedatangan Makhdum Syed Abdul Aziz, Maulana Abu Bakar dan Syed Thanauddin (Sang Adiputra) adalah contoh ulamak pendakwah yang mendatangi Melaka, sedangkan kader-kader mereka telah bergerak untuk meng-Islamkan Champa, Brunei, Mindanao, Sulawesi dan Jawa. Para Wali Songo yang sangat aktif berdakwah di Jawa, sebahagiannya mempunyai hubungan dengan Melaka.

V. Jihad fi Sabilillah
Tidak banyak kisah perang fi sabilillah diperkatakan dalam sejarah Melaka. Ini kerana, dalam konteks Nusantara dakwah tidak berkembang melalui perang dan jihad, maka fi sabilillah tidak popular dalam perluasan Islam di rantau ini. Perang fi sabilillahi lebih menonjol ketika orang Melayu menghadapi penjajahan sama Portugis, Belanda mahupun Inggeris. Di Melaka, perang pertama menghadapi Portugis berlaku pada 10 Ogos 1511M, di mana ulamak telah membacakan perajurit Islam Hikayat Muhammad Hanifiah dan Hikayat Amir Hamzah untuk membangkitkan semangat jihad, yang akhirnya dapat mengalahkan Portugis. Melaka tewas dalam serangan kedua pada 24 Ogos 1511M. Ulamak utama Melaka ketika ini, Maulana Sadar Jahan berada di barisan hadapan bersama Sultan Ahmad Shah ketika berhadapan dengan Portugis.

MOHD FADLI GHANI
Pusat Penyelidikan PAS
27 Syawal 1439 / 11 Julai 2018