Home Dewan Ulamak PAS Pusat

Kesopanan diketepi, Aidilfitri dicemari

98
SHARE

KENYATAAN MEDIA
DEWAN ULAMAK PAS PUSAT (DUPP)

KESOPANAN DIKETEPI, AIDILFITRI DICEMARI

1. Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP) menyelar tindakan kumpulan muzik Dolla yang mengetengahkan imej berpakaian seksi dalam video muzik khas sempena Aidilfitri.

2. Perlakuan memalukan itu yang dilakukan oleh salah seorang anggota kumpulan tersebut telah mencemar kemeriahan sambutan kemenangan umat Islam di bulan Syawal setelah sebulan melalui proses perubahan diri dan peningkatan takwa di bulan Ramadan.

3. Lagu raya dengan pembawaan imej seksi seperti ini sama sekali tidak akan menyumbang dan menggalakkan rakyat menjadi lebih baik, bermoral dan berdaya saing. Hal ini sebaliknya hanya akan mencemarkan maruah diri dan sekaligus mengheret masyarakat tenggelam dalam gelora nafsu.

4. Perkara yang semakin menjadi-jadi ini saban hari dilihat sengaja diadakan bagi meneruskan agenda normalisasi maksiat dalam kalangan masyarakat, sama ada si pelakunya sedar atau pun tidak.

5. Perkara ini turut menjejaskan imej Islam sebagai Agama Bagi Persekutuan serta merobek kesopanan dan kesusilaan adat ketimuran yang menjadi kebanggaan negara kita, Malaysia.

6. Budaya buruk yang menjadi ikutan-ikutan lagi berkiblatkan negara luar ini telah pun diberi amaran keras oleh Rasulullah S.A.W. dalam satu hadith:

(( لَتَتَّبِعُنَّ سَنَنَ الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ شِبْرًا بِشِبْرٍ، وَذِرَاعًا بِذِرَاعٍ، حَتَّى لَوْ دَخَلُوا فِي جُحْرِ ضَبٍّ لَاتَّبَعْتُمُوهُمْ “. قُلْنَا : يَا رَسُولَ اللَّهِ، آلْيَهُودَ وَالنَّصَارَى ؟ قَالَ : ” فَمَنْ ؟ ))

“Sungguh kalian akan mengikuti jalan orang-orang sebelum kalian sejengkal demi sejengkal dan sehasta demi sehasta sampai jika orang-orang yang kalian ikuti itu masuk ke lubang dhob (yang sempit sekalipun), pasti kalian pun akan mengikutinya.” Kami (para sahabat) berkata, “Wahai Rasulullah, apakah yang diikuti itu adalah Yahudi dan Nashrani?” Beliau menjawab, “Lantas siapa lagi?”

Sahih Muslim, 8/57/2669.

7. DUPP mengharapkan campur tangan segera daripada pihak berkuasa terutamanya JAKIM bagi membanteras salah laku seperti ini dengan kenyataan bantahan secara tegas dan rasmi.

8. Kementerian Komunikasi Dan Multimedia Malaysia (KKMM) juga perlu mengambil tindakan segera dengan menyekat video ini daripada tular lebih luas ke dalam media sosial. Garis panduan penyiaran video yang berteraskan syariat dan kesantunan harus digagaskan segera bagi mengekang perkara sebegini berulang lagi.

9. Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat (KPWKM) boleh mengambil inisiatif ke atas kumpulan artis yang terlibat dengan mewujudkan program-program yang bersifat pendidikan dan bimbingan kepada golongan ini dalam konteks menjuruskan mereka ke arah hiburan yang dibenarkan.

10. DUPP menyeru dan mengajak NGO-NGO Islam serta seluruh umat Islam untuk bersama-sama membantah video muzik lagu raya tersebut. Hal ini bukan bertujuan memenuhi mana-mana kepentingan politik, bahkan yang lebih besar daripada itu iaitu melibatkan maruah dan harga diri umat Islam yang ternoda.

11. Kesimpulannya, DUPP memandang berat akan perlakuan yang tidak bermoral dan hiburan melampaui batas seperti ini. Anasir ini seharusnya dikekang sedari awal lagi agar tidak menjadi satu perkara yang normal dalam kalangan masyarakat pada masa-masa akan datang.

Sekian, terima kasih.

YB USTAZ MOHD NOR HAMZAH
Ketua Penerangan,
Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP)