Home Artikel PAS Perlis

Keseimbangan Tiga Elemen Mantapkan PAS

39 views
SHARE

Oleh: Muhammad Hadi

KANGAR: Usaha memperkasakan PAS bukan sahaja terletak pada bahu kepemimpinan parti, sebaliknya merupakan tanggungjawab yang harus dipikul bersama, demikian kata Pengerusi Lajnah Dakwah, Timbalan Pengerusi Lajnah Pemerkasaan Parti, Ustaz Hj. Nasrudin Hassan.

Menurutnya, pengalaman luas PAS dalam persada politik tanah air sudah cukup mematangkan parti Islam berkenaan namun kelebihan itu tidak membawa sebarang makna sekiranya PAS diurus tadbir dengan lemah.

Ujarnya lagi, antara faktor penting ke arah memantapkan PAS adalah dengan memastikannya dapat terus bergerak secara seimbang dalam mengharungi era yang penuh dengan cabaran ini seperti yang telah ditegaskan oleh Presiden PAS.

“Tuan Guru Presiden telah menegaskan bahawa PAS perlu digerakkan secara sinergi dan seimbang dalam tiga elemen iaitu dakwah, siasah dan tarbiyyah secara sinergi dan seimbang,” katanya ketika berucap pada program Program Bayan 4.0 di Kompleks Pendidikan MATIN hari ini.

Pada masa yang sama, beliau mengingatkan pendokong perjuangan PAS supaya sentiasa melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan yang diperlukan untuk melaksanakan kerja-kerja dakwah kepada masyarakat.

Ini kerana menurut beliau, setiap peribadi Muslim memiliki kewajiban untuk melaksanakan tugas menyampaikan dakwah kepada manusia.

Untuk itu, beliau menjelaskan PAS telah melaksanakan pelbagai program tarbiyah termasuk siri program Bayan Akidah dan Pemikiran Islam (BAYAN) ke arah membantu ahlinya dalam menyampaikan ilmu dan kefahaman Islam yang sebenar. kepada masyarakat.

“Program BAYAN ini dianjurkan untuk membantu kita dalam memberi faham berkaitan tasawwur Islam yang betul pada masyarakat supaya mereka mendapat gambaran sebenar (tentang Islam) dan memberikan sokongan kepada perjuangan Islam yang kita sedang dokong ini,” jelasnya.