Oleh IBNU JANIE
AYER KEROH, 7 Jun : Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri Melaka, Kintan Man melahirkan rasa kesal atas kejadian kemalangan maut yang disebabkan oleh pemandu mabuk yang berlaku di Jalan Pantai Serkam, Jasin, pagi semalam.
Menurut beliau, isu ini yang kerap berlaku harus dipandang serius oleh pihak berkuasa dan usaha-usaha yang tegas harus dilakukan untuk mengelakkan ia daripada berulang.
Kintan yang juga merupakan Ketua Dewan Muslimat PAS Jasin menambah, perkara ini mungkin dapat dielakkan sekiranya pandangan Islam tentang arak ini dijadikan panduan bersama.
“Dalam Al Quran, Surah Al Maidah ayat 90, Allah S.W.T berfirman, ‘Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah semuanya keji dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.
“Inilah yang diajar Islam yang mana Islam adalah satu cara hidup yang holistik lagi komtemporari yang sesuai di sepanjang zaman. Bukan terhenti di zaman Rasulullah S.A.W, para sahabat, tabi’ tabien sahaja,” ujarnya.
Jelas beliau, ajaran Islam itu relevan di sepanjang zaman, masa sehingga membawa perhitungan di alam akhirat
“Saya melahirkan ucapan takziah kepada waris mangsa. Semoga mereka diberi kesabaran dan ketabahan menghadapi takdir dari Allah dengan penuh keredaan.
“Semoga kebenaran dapat ditegakkan melalui lunas undang-undang yang dibenarkan. Insya-Allah, kebenaran akan tertegak dan terbela,” katanya kepada WARM-Berita PAS Melaka ketika dihubungi sebentar tadi.
Dalam kejadian pada 7.45 pagi Isnin tersebut sepasang suami isteri, Ezuddin Mohammad, 50 dan Surayah Muhamat, 48, yang merupakan orang kelainan upaya (OKU) bisu, maut di tempat kejadian apabila dilanggar kereta yang dipandu seorang lelaki berusia 24 tahun yang dipercayai mabuk.
Perlanggaran ini juga melibatkan sebuah lagi motosikal yang ditunggang seorang lelaki berusia 57 tahun dan sebuah lagi lagi motosikal pula sedang berhenti di bahu jalan dengan salah satu daripadanya musnah terbakar.