Home Berita PAS Pusat

Kerajaan Perlu Wujudkan Garis Panduan Atasi Keletihan dan Risiko Waktu Kerja Berpanjangan di kalangan Pegawai Perubatan

683
SHARE

Sumber manusia adalah aset yang paling berharga kepada negara. Lebih-lebih lagi di kalangan pegawai perubatan yang mana ilmu dan kepakaran mereka sebenarnya merupakan instrumen paling bernilai bagi memastikan rakyat Malaysia sihat, yakni berdaya saing dan produktif. Maka, sumber ini perlu diurus dengan sebaik mugkin.

Ironinya, di sebalik perkembangan teknologi dan pertambahan pegawai perubatan, kerajaan hari ini gagal untuk merancang dan melaksanakan suatu mekanisme pengurusan sumber tenaga manusia yang optimum bagi mengatasi keletihan dan mengurangkan risiko berkaitan waktu kerja berpanjangan. Implikasinya adalah kemudaratan kepada pesakit dan pegawai perubatan itu sendiri. Manakala dalam jangka masa panjang, kerajaan sedang berhadapan masalah untuk menyediakan kakitangan dan perkhidmatan awam yang berkualiti.

Kepulangan Dr Nurul Huda Ahmad ke Rahmatullah adalah satu lagi tragedi yang telah dan bakal berulang dengan begitu sahaja kecuali pihak berwajib menggalas tanggungjawab untuk mengambil tindakan yang sewajarnya. Kita boleh berbahas selamanya faktor-faktor lain yang mungkin membawa kepada kemalangan tersebut, namun tiada siapa yang boleh menafikan hakikat bahawa waktu kerja berpanjangan menyebabkan keletihan serta berisiko tinggi.

Menurut British Medical Association dan General Medical Council yang telah dipertanggungjawabkan untuk menjalankan kajian dan mengumpul bukti berkaitan penguatkuasaan had waktu kerja di United Kingdom, mereka menyimpulkan bahawa:

“Keletihan secara amnya dikaitkan dengan pengurangan fungsi kognitif dan penurunan kemahiran psikomotor (seperti ingatan, tumpuan, simulasi) serta kesan negatif kepada keselamatan pesakit (seperti kesilapan klinikal, kekeliruan diagnosis, ligitasi), keselamatan (seperti kecederaan di tempat kerja, kemalangan) and juga kesejahteraan kakitangan terbabit”

“Pengurangan waktu kerja membawa kepada kesan positif kepada keletihan dan faktor lainnya dalam banyak keadaan. Namun, adalah penting untuk memahami bahawa corak dan jadual kerja yang berbeza juga menyebabkan keletihan. Contohnya, bilangan hari berturutan bekerja siang atau malam dan jarak di antara shif turut mempengaruhi”

Manakala pada tahun lepas, Australian Medical Association telah mengeluarkan satu protokol yang menggariskan jumlah jam bekerja dan tatacara penjadualan shif bagi doktor hospital. Dokumen tersebut menjelaskan secara praktikal strategi yang perlu diambil bagi mengatasi keletihan dan mengurus risiko berkaitan kerja berpanjangan dan shif.

Maka, Jabatan Kesihatan PAS mencadangkan langkah berikut:
1. Kementerian Kesihatan melalui Malaysian Medical Council menubuhkan sebuah jawatankuasa khas bagi menghasilkan dan menyelia satu garis panduan mengenai pengurusan keletihan dan penilaian risiko waktu kerja berpanjangan dan shif
2. Kementerian Kesihatan melalui Bahagian Perkembangan Perubatan menyediakan peruntukan bagi melakukan kajian yang serius mengenai waktu kerja dan implikasinya di hospital di Malaysia.
3. Menyediakan latihan kepada kakitangan terbabit mengenai tanda-tanda keletihan serta cara-cara mengelakkannya
4. Memastikan wujudnya waktu rehat yang cukup sewaktu kerja dan di antara shif
5. Memastikan adanya mekanisme bagi melaporkan insiden berkaitan waktu kerja berpanjangan dan shif
6. Mengupaya peranan penyelia untuk mencegah dan menangani implikasi kerja berpanjangan dan shif

Demi perkhidmatan yang lestari, kerajaan tidak mempunyai pilihan lain kecuali berhadapan dengan kenyataan bahawa pengurusan sumber manusia gagal dirancang dan diurus dengan baik selama ini. Oleh itu, Jabatan Kesihatan PAS menggesa Menteri Kesihatan supaya menyahut cabaran untuk mewujudkan persekitaran kerja yang sihat dan selamat kepada pesakit serta kakitangan perubatan dengan mengurus faktor keletihan dan mendepani risiko di sekitar waktu kerja berpanjangan dan shif.

Dato Dr. Yahya Baba
Pengerusi
Jabatan Kesihatan PAS

{jathumbnail off}