Home Berita PAS Pusat

Kerajaan Perlu Menilai Semula Halatuju Dasar Perumahan Negara

1275
SHARE

KERAJAAN PERLU MENILAI SEMULA HALATUJU DASAR PERUMAHAN NEGARA

Banyak kebimbangan akan berlakunya “ Property Glut “ akibat merendumnya jualan rumah kediaman dalam negara. Pelbagai agensi seperti Bank Negara Malaysia ( BNM ) & REHDA menjalankan kajian serta mengeluarkan data akibat daripada kebimbangan ini namun hakikatnya beberapa perkara utama yang perlu di ambil perhatian samada oleh Kerajaan mahupun agensi yang mengawal selia sektor pembinaan rumah kediaman di dalam negara bagi mengatasi masalah ini.

Sebenarnya “ Property Glut “ atau lebihan bekalan rumah kediaman berlaku akibat daripada ketidak seimbangan di antara permintaan dalam pasaran dengan jumlah fizikal serta jenis kediaman yang di bina oleh pemaju mahupun agensi Kerajaan. Rata-rata pemaju terutamanya sektor swasta di dalam negara ghairah membina unit kediaman yang berharga RM 250,000 ke atas berbanding permintaan pasaran sebenar di dalam negara iaitu unit kediaman berharga RM 250,000 ke bawah atau di nisbah sebagai rumah mampu milik.

Dengan membina rumah kediaman berharga RM250,000 ke atas, nisbah keuntungan yang di perolehi lebih tinggi berbanding membina unit kediaman yang berharga di bawahnya, maka tidak hairanlah keghairahan pemaju swasta berlumba-lumba membina rumah kediaman tersebut demi mengejar keuntungan besar hingga terjadinya lambakan unit kediaman yang tidak terjual dalam pasaran.

Dengan seumpama nisbah 10 : 1 iaitu pemaju sektor swasta dengan agensi kerajaan seperti Syarikat Perumahan Negara Berhad ( SPNB ) yang fokusnya membina rumah mampu milik, maka tidak hairanlah berlakunya lambakan besar dalam jumlah rumah kediaman tidak terjual di dalam negara terutamanya unit kediaman yang berharga RM 250,00 ke atas.

Menurut statistik BNM, sehingga March 2017 terdapat 130, 690 unit kediaman tidak terjual dengan 83 peratus berharga lebih daripada RM 250,000. 61 peratus daripada jumlah tersebut adalah unit kediaman jenis apartment. Dengan statistik ini, negara sedang mengalami “ Property Glut “ atau lambakan unit kediaman terburuk dalam tempoh 10 tahun.

Kenyataan Timbalan Menteri Kewangan Datuk Lee Chee Leong, untuk suku pertama tahun 2017 sehingga March, sebanyak 20,807 unit kediaman yang telah siap tidak terjual, naik 40 peratus untuk tempoh yang sama berbanding tahun sebelumnya dengan nilai sebanyak RM 12.26 billion. Kondominium dan apartment yang berharga lebih RM 500,000 mendominasi lebih dari separuh daripada jumlah tersebut. Maka jelaslah apa yang sebenarnya berlaku di dalam pasaran hartanah dalam negara dalam isu lambakan unit kediaman dekad ini.

Perbadanan PRIMA Malaysia yang sedang rancak melaksanakan pembinaan sebanyak 141,661 unit kediaman di bawah PRIMA, hanya mampu menjual 11, 944 unit kediaman yang di laksanakannya. Unit kediaman yang di laksanakan di bawah PRIMA yang berharga dari RM 100,000 – RM 400,00 seolah –olah seperti tidak mampu di miliki oleh majoriti rakyat yang berpendapatan rendah jika di ambil kira dari jumlah jualan unit kediaman di bawah PRIMA atau pun pembeli yang majoritinya berpendapatan rendah sukar mendapatkan pinjaman perumahan untuk membeli unit kediaman tersebut seperti yang menjadi rungutan masyarakat umum.

Menurut Housing Watch, sebanyak 57.3 % isi rumah dalam negara yang berpendapatan sehingga RM 5,999 hanya mampu memilik unit kediaman yang berharga sehingga RM 345,111. Lebih mengejutkan lagi daripada jumlah tersebut, isi rumah yang berpendapatan sehingga RM 1,999 hanya mampu memiliki unit kediaman yang berharga di antara RM 112,200 hingga RM 124,700 sahaja.

Maka jelaslah bahawa terjadinya lambakan rumah kediaman tidak terjual di sebabkan ketidak seimbangan di antara permintaan dengan jumlah mahupun jenis rumah yang di bina, ketidakmampuan rakyat yang kebanyakkannya berpendapatan rendah untuk memiliki unit kediaman yang mahal harganya serta kesukaran mendapatkan pinjaman perumahan.

Jika Kerajaan benar serius dalam menyediakan infrastuktur yang kondusif untuk rakyat terutamanya rumah kediaman yang mampu di miliki oleh setiap golongan masyarakat, Kerajaan perlu menyediakan pelan jangka panjang yang strategik dan kondusif dalam dasar perumahan negara supaya setiap rakyat mampu untuk memiliki rumah seperti yang di impikan. Namun jika keadaan berterusan seperti apa yang berlaku sekarang, bukan sahaja impian segenap golongan masyarakat hancur malah lambakan yang berterusan ini mampu untuk merencatkan pertumbuhan ekonomi negara seperti apa yang terjadi Amerika Syarikat pada tahun 2007 – 2009 iaitu housing bubble dan credit crunch yang mengheret Amerika Syarikat kepada kegawatan ekonomi.

Maka Kerajaan di sarankan agar menambah baik dasar serta mengkaji semula sistem perlaksanaannya untuk memperbaiki keadaan yang berlaku sekarang ;

  • Mengkaji semula Hala Tuju Dasar Perumahan Negara untuk satu tempoh jangka perlaksanaan seperti 5 atau 10 tahun.
  • Mengawal selia dan menetapkan harga unit kediaman di dalam pasaran terutamanya rumah mampu milik agar harganya berpatutan dan tidak melampau.
  • Menjalankan kajian menyeluruh tentang keperluan semasa unit kediaman di dalam negara.
  • Mengawal selia pemaju perumahan terutamanya pemaju swasta dengan menetapkan syarat tertentu seperti kewajipan membina sejumlah peratusan tertentu rumah mampu milik dalam setiap projek perumahan yang di bina.
  • Menetapkan syarat agar Pihak Berkuasa Tempatan & Kerajaan Negeri menyemak dahulu keperluan semasa jenis rumah kediaman sebelum meluluskan sesuatu permohonan pemaju perumahan yang baru.
  • Menggesa Kerajaan agar mewujudkan satu Jawatankuasa Khas bagi memantau industri sektor perumahan agar isu “ Property Glut “ yang berlaku sekarang tidak berulang.
  • Menggesa sektor perbankan agar mewujudkan satu makenisma pinjaman mudah kepada peminjam terutamanya untuk rakyat berpendatan rendah dan pinjaman rumah mampu milik.
  • Kerajaan perlu mewujudkan satu tabung khas pinjaman perumahan kepada golongan berpendapatan rendah untuk membeli rumah mampu milik seperti untuk melunaskan bayaran deposit yang di kategorikan agak tinggi.
  • Memantau kualiti binaan rumah mampu milik agar berpadanan dengan harga yang di tawarkan.
  • Kerajaan di gesa memaksima serta mengutamakan pengunaan tanah milik Kerajaan di bandar-bandar besar untuk membina rumah mampu milik berbanding pembangunan yang lain.
  • Kerajaan di gesa meyerahkan tanah milik Kerajaan yang di gazetkan untuk pembangunan rumah mampu milik kepada agensi Kerajaan seperti UDA ataupun PRIMA berbanding pemaju swasta untuk mengelakkan kenaikan harga melampau ataupun untuk mengelakkan terbinanya rumah yang tidak mampu di miliki rakyat.

Jika Kerajaan benar serius dalam usaha untuk memastikan setiap rakyat mampu memiliki rumah kediaman, satu usaha yang bersepadu perlu di lakukan untuk memastikan ia dapat di capai dengan mengolah semula sistem serta dasar perumahan sedia ada yang ternyata jelas lemah dan tidak berdaya saing. Usah di biar menjadi barah, akhirya rakyat seperti menumpang di negara orang, tidak mampu memiliki rumah sendiri di tanah air sendiri.

Sejahtera Bersama Islam.

Wan Rohimi Wan Daud
Pengerusi ,
Lujnah Pembangunan Tanah, Perumahan, Peneroka Bandar Dan Hal Ehwal Orang Asal, PAS Pusat