Minda Presiden PAS
[Bil: 40 / 2023]
KERAJAAN LALANG DITIUP ANGIN
Kerajaan campuran ciptaan Pakatan Harapan (PH) menamakan campurannya dengan jenama Kerajaan Perpaduan yang agak berlainan daripada istilah sebenar dalam kamus politik semua bahasa. Cara mereka mengumpulkan sokongannya juga agak luar biasa daripada amalan biasa.
Kerajaannya dipimpin oleh parti yang lebih kecil berprinsipkan pragmatik dan didominasi oleh parti lebih besar yang nyata ideologinya, turut bersamanya kumpulan kecil dan individu yang oportunis. Gerak-gerinya selepas berkuasa laksana lalang yang mengikut tiupan angin.
Adapun konsep perpaduannya adalah meraikan semua pihak tanpa sempadan agama, ideologi dan moral atau fitrah manusia asalkan mendapat kehendak yang difikirkan majoriti kerusi. Mereka mengheret rakyat apabila berpegang kepada falsafah Pak Pandir yang menyeberangi anak sungai dengan meniti kayu reput yang dilalui oleh semut yang berjuta ramainya, atau kaedah politik ciptaan Barat yang berpegang kepada matlamat menghalalkan cara.
Perpaduan sesama mereka berpegang kepada hablu al-nas (tali manusia), bukan kepada hablu Allah (tali Allah) sepertimana firman Allah dalam al-Quran supaya berpegang kepadanya. Firman Allah SWT:
﴿وَٱعۡتَصِمُواْ بِحَبۡلِ ٱللَّهِ جَمِيعٗا وَلَا تَفَرَّقُواْۚ وَٱذۡكُرُواْ نِعۡمَتَ ٱللَّهِ عَلَيۡكُمۡ إِذۡ كُنتُمۡ أَعۡدَآءٗ فَأَلَّفَ بَيۡنَ قُلُوبِكُمۡ فَأَصۡبَحۡتُم بِنِعۡمَتِهِۦٓ إِخۡوَٰنٗا وَكُنتُمۡ عَلَىٰ شَفَا حُفۡرَةٖ مِّنَ ٱلنَّارِ فَأَنقَذَكُم مِّنۡهَاۗ كَذَٰلِكَ يُبَيِّنُ ٱللَّهُ لَكُمۡ ءَايَٰتِهِۦ لَعَلَّكُمۡ تَهۡتَدُونَ١٠٣﴾
“Dan berpegang teguhlah kamu kepada tali Allah (agama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai; dan kenanglah ni‘mat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliah dahulu), lalu Allah menyatukan antara hati kamu (sehingga kamu bersatu padu dengan ni‘mat Islam), maka menjadilah kamu dengan ni‘mat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara. Dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka, lalu Allah menyelamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan ni‘mat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keterangan-Nya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayah-Nya.” (Surah Ali ‘Imran: 103)
Pakatan tersebut didominasi oleh Parti Tindakan Demokratik (DAP) yang nyata ideologinya bercanggah dengan Islam, bahkan kenyataannya jelas menunjukkan mereka menentang Islam serta kepentingan Melayu Islam dan bumiputera. Malah, pakatan itu turut disertai oleh parti-parti yang pragmatik tanpa ideologi.
Termasuk juga kalangan yang tidak bersih kerana telah dihukum kesalahannya dan kalangan yang masih menanti keputusan mahkamah yang diusahakan untuk digugurkan atau dilepaskan kerana pendakwaan kes mahkamahnya dilakukan secara terpilih. Begitu juga, kalangan mereka yang sedang menunggu dan kalangan yang mahu menyelamatkan diri kerana kesalahannya atau kalangan oportunis daripada semua pihak.
Terkini sekali lagi digemparkan dengan isu kalimah Allah yang sudah ada keputusan terdahulu oleh pihak hal ehwal agama di negeri masing-masing dan Jabatan Perdana Menteri yang terdahulu. Keputusannya adalah demi menjaga urusannya secara fatwa yang berpandukan Siyasah Syari‘yyah dan Maqasid al-Syari‘ah dalam hubungan dengan bukan Islam yang menggunakan kalimah Allah, bukan berasaskan maksudnya yang asal atas sempadan menjaga perpaduan dengan memberikan hak yang saksama kepada semua pihak.
Bahkan, Selangor sudah mempunyai keputusan ketika negara dijajah sewaktu pemerintahan Almarhum Sultan Sulaiman. Akan tetapi, kerajaan Malaysia kini melihat dari segi maslahah Kerajaan Perpaduan ciptaannya yang bersifat pragmatik, bukan berdasarkan Maslahah al-Mursalah mengikut acuan Islam.
Tanpa mereka pedulikan terhadap sensitiviti umat Islam yang berpandukan agamanya daripada ajaran yang dapat menyelesaikan masalah dan menjaga konsep kebebasan beragama mengikut sempadan. Hakikatnya, Islam ialah agama bagi Persekutuan dan terletak di bawah bidang kuasa negeri di bawah peranan raja-raja.
Dalam al-Quran sudah terdapat banyak ayat yang menjadi panduan agar membiarkan masyarakat bukan Islam dengan agamanya, tetapi dijaga sempadannya agar tidak mengelirukan umat Islam, bukan bebas tanpa sempadan. Firman Allah SWT:
﴿وَلَئِن سَأَلۡتَهُم مَّنۡ خَلَقَهُمۡ لَيَقُولُنَّ ٱللَّهُۖ فَأَنَّىٰ يُؤۡفَكُونَ٨٧ وَقِيلِهِۦ يَٰرَبِّ إِنَّ هَـٰٓؤُلَآءِ قَوۡمٞ لَّا يُؤۡمِنُونَ٨٨ فَٱصۡفَحۡ عَنۡهُمۡ وَقُلۡ سَلَٰمٞۚ فَسَوۡفَ يَعۡلَمُونَ٨٩﴾
“Dan demi sesungguhnya! Jika kamu (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka, ‘Siapakah yang menciptakan mereka?’ Nescaya mereka akan menjawab, ‘Allah!’ maka bagaimana mereka rela dipesongkan (daripada menyembah-Nya)? (87) Dan (Allah yang mengetahui rayuan Nabi Muhammad) yang berkata, ‘Wahai Tuhanku! Sesungguhnya, mereka itu adalah satu kaum yang tidak mahu beriman.’ (88) Maka, berpalinglah kamu (wahai Muhammad) daripada mereka, dan katakanlah, ‘Selamat tinggal!’ Kemudian, kelak mereka akan mengetahui (nasib mereka yang buruk). (89)” (Surah al-Zukhruf: 87-89)
Ayat di atas menegaskan bahawa sekiranya mereka menyebut perkataan Allah yang tidak menepati maknanya yang sebenar, maka terpulang kepada mereka. Hal ini demikian kerana, kebebasan agama wajib diberikan kepada mereka dan dijaga. Pada masa yang sama, Islam juga wajib dipertahankan dan tidak diganggu ajaran dan penganutnya sekali-kali.
Hakikatnya, sudah ada keputusan terdahulu, hanya kerajaan PH sahaja yang serba salah kerana pendiriannya yang bergoyang ditiup angin.
Jika dilihat kembali, semua kenyataan para pemimpin serta jurubicaranya yang paling lantang sebelum PRU-15 dan sewaktu berkempen sebelum menjadi kerajaan, betapa kerasnya ucapan mereka terhadap golongan yang dinamakan penyangak, perasuah dan jenama-jenama yang lain.
Tiba-tiba, mereka bersekongkol bagi menyempurnakan kerajaannya dengan mereka yang telah dinyatakan sifat-sifat sedemikian. Bahkan, diubah suaranya dengan melemparkan tuduhan semberono terhadap mereka yang terpilih menjadi sasaran dalam kalangan parti-parti lawannya dan tokoh-tokoh yang menolak kerajaannya, serta mereka yang tidak menyertai pakatannya.
Tanpa kemampuan menghadapi masalah politik dalamannya dan hubungan dalam kalangan para sahabatnya yang dapat dilihat dengan nyata dan secara terbuka pergolakannya, ia sekali gus menunjukkan tiada perpaduan dan langsung tidak menepati nama kerajaan perpaduan yang ditayangkan kepada umum. Maka, bagaimana kemampuannya untuk menghadapi masalah negara yang lebih besar dan masalah antarabangsa yang mencabar?
Keadaannya yang tidak mempunyai kemampuan untuk menutup kelemahan dan kesilapannya yang terdedah kepada rakyat, lalu dihalakan kepada pihak yang lain. Hal ini semata-mata bagi mengalihkan perhatian atau mewujudkan isu-isu sampingan yang dikutip daripada segenap pihak, khususnya kenyataan pihak lawannya yang difikirkan boleh mengena musuhnya.
Kadang-kadang apa yang mereka lakukan itu kembali ke zaman penjajah dahulu apabila menggunakan taktik yang pernah digunakan dengan berlindung di belakang raja-raja yang tidak memiliki kuasa politik yang berdaulat. Sebaliknya, penjajah dahulu pula menuduh pejuang-pejuang kemerdekaan yang menentang penjajah sebagai penderhaka kepada raja-raja.
Wala’ (kesetiaan mereka) diberikan kepada manusia, bukan kepada Allah SWT sahaja. Hal ini disebabkan kerajaannya didominasi oleh banyak kalangan yang melantik tuhan-tuhan selain daripada Allah atau terlalu liberal fahamannya yang tidak bertuhan.
Adakalanya juga, mereka laksana makhluk yang boleh berubah warnanya bagi menyelamatkan diri mengikut keadaan sekeliling. Ada tempatnya mereka bersolat, berzikir, berselawat dan bernasyid, ada tempatnya mereka menari dan menyanyi sehingga menjerit kerana mabuk.
Malah, ada yang berlakon dan boleh berlagak lakonannya menjadi alim, lebai dan boleh diubah lagak lakonannya sehingga menjadi samseng dan penjenayah. Media digunakan bagi memaparkan semua lakonan itu kepada rakyat mengikut jadual siarannya yang dapat dilihat di kaca televisyen atau komputer yang menjadi alat.
Antara perkara yang terdedah ialah platform media yang bernama Malaysiakini, yang memuatkan berita dan tulisan yang meletakkan gambaran yang berwarna Islam dan menentang Islam. Selain itu, mereka juga menyuruh kepada kejahatan dan menggalakkan kemungkaran, memberi laporan bagi kalangan murtad dan sebagainya.
Saya nasihatkan kepada penganut Islam yang bertugas dengannya supaya menarik diri. Hal ini demikian kerana, ia berkait dengan persoalan haram dan halal rezekinya, pandangan jahil yang mengelirukan dan boleh membawa kepada dosa yang berpanjangan, atau ilmunya salah atau disalahgunakan yang juga boleh membawa laknat Allah ke atas para hamba-Nya yang soleh.
Benarlah firman Allah SWT:
﴿وَمِنَ ٱلنَّاسِ مَن يُعۡجِبُكَ قَوۡلُهُۥ فِي ٱلۡحَيَوٰةِ ٱلدُّنۡيَا وَيُشۡهِدُ ٱللَّهَ عَلَىٰ مَا فِي قَلۡبِهِۦ وَهُوَ أَلَدُّ ٱلۡخِصَامِ٢٠٤ وَإِذَا تَوَلَّىٰ سَعَىٰ فِي ٱلۡأَرۡضِ لِيُفۡسِدَ فِيهَا وَيُهۡلِكَ ٱلۡحَرۡثَ وَٱلنَّسۡلَۚ وَٱللَّهُ لَا يُحِبُّ ٱلۡفَسَادَ٢٠٥﴾
“Dan antara manusia ada orang yang tutur katanya mengenai hal kehidupan dunia, menyebabkan kamu tertarik hati (mendengarnya), dan dia (bersumpah dengan mengatakan bahawa) Allah menjadi saksi atas apa yang ada dalam hatinya, padahal dia ialah penentang yang amat keras permusuhannya (kepadamu). (204) Kemudian, apabila dia berpaling (daripada kamu), dia di bumi untuk melakukan kerosakan padanya, dan merosakkan tanaman-tanaman dan binatang ternak; sedang Allah tidak suka kepada bencana kerosakan. (205)” (Surah al-Baqarah: 204-205)
Maulana Abu al-Hasan ‘Ali al-Nadwi RA membahagikan negara yang dibentuk kepada dua jenis negara; iaitu negara hidayah dan negara jibayah.
Negara hidayah (berpandukan petunjuk Allah SWT) dipimpin oleh kalangan mereka yang dinyatakan oleh Allah bahawa keimanan dan keyakinannya berwawasan akhirat. Firman Allah SWT:
﴿وَجَعَلۡنَا مِنۡهُمۡ أَئِمَّةٗ يَهۡدُونَ بِأَمۡرِنَا لَمَّا صَبَرُواْۖ وَكَانُواْ بَِٔايَٰتِنَا يُوقِنُونَ٢٤ إِنَّ رَبَّكَ هُوَ يَفۡصِلُ بَيۡنَهُمۡ يَوۡمَ ٱلۡقِيَٰمَةِ فِيمَا كَانُواْ فِيهِ يَخۡتَلِفُونَ٢٥﴾
“Dan Kami jadikan antara mereka itu pemimpin-pemimpin, yang membimbing kaum masing-masing dengan perintah Kami, selama mereka bersikap sabar (dalam menjalankan tugas itu) serta mereka meyakini ayat-ayat Kami. (24) Sesungguhnya, Tuhanmu Dialah yang akan memutuskan hukum-Nya antara mereka pada Hari Kiamat, tentang apa yang mereka sentiasa perselisihkan padanya. (25)” (Surah al-Sajdah: 24-25)
Perkara yang paling penting ialah menegakkan petunjuk Allah SWT dengan keimanan dan beristiqamah, serta berjuang dengan sabar tanpa mengira menang kalah di dunia. Bukannya mengikut keredaan manusia dan selera mereka, tetapi menuntut keredaan Allah SWT walaupun dikepung dari segenap penjuru.
Maka, Rasulullah SAW melakukan baiah dengan para pemimpin sahabatnya, diikuti langkahnya oleh generasi awal umat Islam bagi menghadapi cabaran tersebut. Tanpa peduli terhadap kalangan yang berpura-pura dengan baiah, kerana firman Allah SWT:
﴿إِنَّ ٱلَّذِينَ يُبَايِعُونَكَ إِنَّمَا يُبَايِعُونَ ٱللَّهَ يَدُ ٱللَّهِ فَوۡقَ أَيۡدِيهِمۡۚ فَمَن نَّكَثَ فَإِنَّمَا يَنكُثُ عَلَىٰ نَفۡسِهِۦۖ وَمَنۡ أَوۡفَىٰ بِمَا عَٰهَدَ عَلَيۡهُ ٱللَّهَ فَسَيُؤۡتِيهِ أَجۡرًا عَظِيمٗا١٠﴾
“Sesungguhnya, orang-orang yang berbaiah (berjanji setia) kepadamu (wahai Muhammad), sesungguhnya mereka hanya berjanji setia kepada Allah; tangan Allah di atas tangan mereka. Oleh itu, sesiapa yang melanggar janji setianya, maka akibat melanggar janji itu hanya akan menimpa dirinya sendiri; dan sesiapa yang menepati apa yang telah dijanjikannya kepada Allah, maka Allah akan memberikan kepadanya pahala yang besar.” (Surah al-Fath: 10)
Sabda Rasulullah SAW:
مَنِ الْتَمَسَ رِضَا اللهِ بِسَخَطِ النَّاسِ، رَضِي اللهُ عَنْهُ، وأَرْضَى عَنْهُ النَّاسَ، وَمَنِ الْتَمَسَ رِضَا النَّاسِ بِسَخَطِ اللهِ، سَخِطَ اللهُ علَيهِ، وأَسْخَطَ عَلَيهِ النَّاسَ.
“Sesiapa yang mencari keredaan Allah dengan dimarahi oleh manusia, nescaya Allah meredainya; dan akhirnya Allah jadikan manusia meredainya juga. Sesiapa yang mencari keredaan manusia walaupun dengan kemurkaan Allah, nescaya dimurkai Allah; dan Allah jadikan manusia memarahinya juga.” (Riwayat Ibn Hibban dalam Sahihnya, No. 276 dan al-Tirmizi, No. 2414)
Adapun Negara Jibayah (berkonsepkan kebendaan semata-mata) diambil daripada sokongan manusia, tanpa mengira betul dan salah, halal dan haram, zalim dan adil, benar dan bohong. Apa yang penting ialah mendapat sokongan manusia dan hasil kebendaan serta meneguhkan kedudukan dengannya, serta berwawasan dunia tanpa akhirat.
Kumpulan ini disokong pula oleh sekumpulan ilmuwan dan media upahannya bagi menggoda rakyat yang ada di sepanjang zaman. Kalau dulu kumpulan ini dinamakan Ahli Kitab, kini dinamakan ilmuwan dengan segala gelarannya. Allah SWT menunjukkan sikap kumpulan ini dalam al-Quran sebagaimana firman-Nya:
﴿وَلَا تُجَٰدِلۡ عَنِ ٱلَّذِينَ يَخۡتَانُونَ أَنفُسَهُمۡۚ إِنَّ ٱللَّهَ لَا يُحِبُّ مَن كَانَ خَوَّانًا أَثِيمٗا١٠٧ يَسۡتَخۡفُونَ مِنَ ٱلنَّاسِ وَلَا يَسۡتَخۡفُونَ مِنَ ٱللَّهِ وَهُوَ مَعَهُمۡ إِذۡ يُبَيِّتُونَ مَا لَا يَرۡضَىٰ مِنَ ٱلۡقَوۡلِۚ وَكَانَ ٱللَّهُ بِمَا يَعۡمَلُونَ مُحِيطًا١٠٨﴾
“Dan janganlah kamu berdebat (untuk membela) orang-orang yang mengkhianati diri mereka sendiri. Sesungguhnya, Allah tidak menyukai orang-orang yang selalu melakukan khianat, lagi sentiasa bergelumang dengan dosa. (107) Mereka menyembunyikan (kejahatan mereka) daripada manusia, dalam pada itu mereka tidak dapat menyembunyikan (kejahatan mereka) daripada Allah. Padahal Allah ada bersama-sama mereka, ketika mereka menetapkan keputusan rahsia yang tidak diredai oleh Allah. Dan (ingatlah) Allah itu Maha Meliputi (ilmu-Nya) akan apa yang mereka lakukan. (108)” (Surah al-Nisa’: 107-108)
Adakalanya kedua-dua kumpulan tersebut menghadap Allah SWT dan sama-sama berdoa. Allah SWT mendedahkan kewujudannya pada zaman Rasulullah SAW melalui firman-Nya:
﴿فَإِذَا قَضَيۡتُم مَّنَٰسِكَكُمۡ فَٱذۡكُرُواْ ٱللَّهَ كَذِكۡرِكُمۡ ءَابَآءَكُمۡ أَوۡ أَشَدَّ ذِكۡرٗاۗ فَمِنَ ٱلنَّاسِ مَن يَقُولُ رَبَّنَآ ءَاتِنَا فِي ٱلدُّنۡيَا وَمَا لَهُۥ فِي ٱلۡأٓخِرَةِ مِنۡ خَلَٰقٖ٢٠٠ وَمِنۡهُم مَّن يَقُولُ رَبَّنَآ ءَاتِنَا فِي ٱلدُّنۡيَا حَسَنَةٗ وَفِي ٱلۡأٓخِرَةِ حَسَنَةٗ وَقِنَا عَذَابَ ٱلنَّارِ٢٠١ أُوْلَـٰٓئِكَ لَهُمۡ نَصِيبٞ مِّمَّا كَسَبُواْۚ وَٱللَّهُ سَرِيعُ ٱلۡحِسَابِ٢٠٢﴾
“Kemudian, apabila kamu telah selesai mengerjakan amalan ibadat haji kamu, maka hendaklah kamu berzikir dengan menyebut-nyebut Allah, sebagaimana dahulu kamu menyebut-nyebut (membangga-banggakan) nenek moyang kamu, bahkan dengan berzikirlah lebih banyak daripada itu. Dalam pada itu, ada antara manusia yang (berdoa dengan) berkata, ‘Wahai Tuhan kami! Berikanlah kami kebaikan di dunia.’ (Orang-orang ini diberikan kebaikan di dunia) dan tiadalah baginya sedikit pun bahagian (yang menyenangkan) di akhirat. (200) Dan antara mereka pula ada yang (berdoa dengan) berkata, ‘Wahai Tuhan kami! Berikanlah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, serta peliharalah kami daripada azab neraka.’ (201) Mereka itulah yang akan mendapat bahagian yang baik daripada apa yang telah mereka usahakan; dan Allah amat cepat perhitungan-Nya. (202)” (Surah al-Baqarah: 200-202)
Maka, PAS bersama Perikatan Nasional (PN) tidak boleh diheret mengikut selera politik tanpa hala tuju yang istiqamah untuk mempertahankan kepimpinan Melayu Islam bersama semua parti Islam dan bukan Islam yang tidak ekstrem. Termasuk daripada kalangan UMNO yang berpegang kepada perjuangan asalnya bersama PAS, para tokoh dan badan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Kita tidak boleh merombak kedudukan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan dan hak istimewa yang telah diterima oleh masyarakat majmuk selama ini yang mesti dilakukan perubahan yang positif. Bukannya melakukan perubahan secara negatif laksana tikus membaiki labu oleh kalangan tikus-tikus politik yang berkumpul dalam semak lalang yang mudah terbakar dan dicabut.
Ingatlah firman Allah SWT:
﴿وَأَنَّ هَٰذَا صِرَٰطِي مُسۡتَقِيمٗا فَٱتَّبِعُوهُۖ وَلَا تَتَّبِعُواْ ٱلسُّبُلَ فَتَفَرَّقَ بِكُمۡ عَن سَبِيلِهِۦۚ ذَٰلِكُمۡ وَصَّىٰكُم بِهِۦ لَعَلَّكُمۡ تَتَّقُونَ١٥٣﴾
“Dan bahawa sesungguhnya, inilah jalan-Ku (agama Islam) yang betul lurus, maka hendaklah kamu menurutinya; dan janganlah kamu menuruti jalan-jalan (yang lain selain daripada Islam), kerana jalan-jalan (yang lain itu) mencerai-beraikan kamu dari jalan Allah, dengan yang demikian itulah Allah memerintahkan kamu, supaya kamu bertaqwa.” (Surah al-An‘am: 153)
ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 28 Syawwal 1444 / 19 Mei 2023