Home Berita PAS Kedah

Kerajaan Kedah tawar rumah flat Paya Nahu kepada 30 keluarga Kampung Baru Pulau Tiga

655
SHARE

ALOR SETAR, 9 Jan – 30 keluarga penduduk Kampung Baru Pulau Tiga, Sungai Layar, Jalan Lencongan Darat yang kehilangan tempat tinggal ditawarkan menghuni di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Flat Paya Nahu, Sungai  Layar.

Menurut Menteri Besar, YAB Dato’ Seri Haji Muhammad Sanusi Md. Nor, keputusan penawaran tersebut diputuskan dalam Mesyuarat Exco Negeri Kedah yang diadakan Rabu, semalam.

“Kita telah membuat keputusan untuk menawarkan kepada 30 keluarga penduduk terbabit penempatan di Flat Paya Nahu. Disana (Flat Paya Nahu) masih ada 40 kekosongan,” ujar Menteri Besar.

Tambahnya lagi, bagi menawarkan rumah yang selesa, kerajaan akan membaik pulih rumah yang mengalami kerosakan yang dianggarkan menelan belanja RM150 ribu keseluruhan.

Namun, 25 unit rumah telah tersedia untuk dihuni segera kerana berada dalam keadaan baik. Bayaran sewa yang dikenakan untuk sebuah rumah hanya RM124 sebulan.

Jelasnya, penduduk Kampung Baru Pulau Tiga yang tidak mempunyai kediaman lain boleh memasuki unit berkenaan dalam tempoh terdekat dengan kadar sewa RM124 sebulan.

“Itu tawaran kepada mereka, kita tak boleh beri pampasan kerana ini bukan pengambilan tanah oleh kerajaan negeri. Sebaliknya tanah yang mereka diami adalah milik individu dan perkara itu sudah diputuskan di mahkamah.

“Setakat ini, 25 unit kediaman di Flat Paya Nahu sedia dimasuki, manakala selebihnya perlu dibaik pulih.

Saya difahamkan ada antara penduduk memiliki rumah lain, kita serahkan kepada mereka sama ada terima tawaran kerajaan negeri ini atau tidak,” katanya pada sidang media di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.

19 Disember lalu, Mahkamah Tinggi Alor Setar mengarahkan 30 keluarga tersebut mengosongkan tanah yang mereka diami kerana tanah tersebut seluas 44.2 hektar itu dimiliki oleh individu lain.

Muhammad Sanusi berkata, dipercayai, kebanyakan penduduk Kampung Baru Pulau Tiga menjadi mangsa penjualan tanah lot tidak sah yang dilakukan sindiket.

“Banyak sindiket jual tanah di kawasan itu, mereka buat plot dan pelan elok-elok, kemudian jual kepada orang lain. Dalam kes ini, saya tak pasti sejarahnya macam mana, tetapi mungkin ada ciri seperti itu juga.

“Sebelum ini, kerajaan sudah ambil tindakan untuk mengosongkan tanah di kawasan terbabit, tetapi ada pihak lain yang menjualnya secara tak sah. Kita pandang serius isu sindiket yang memplot tanah kerajaan dan menjual secara tak sah,” katanya.