Home Berita PAS Perlis

‘Kerajaan gagal atau himpunan lawan gagal?’

46
SHARE

Oleh MUHAMMAD HADI

KANGAR, 3 Ogos: “Kerajaan gagal atau himpunan lawan gagal?”

Demikian balas Ketua Pemuda PAS Perlis, Ustaz Muhammad Azmir Azizan ketika diajukan soalan berkenaan isu siri himpunan yang berlangsung di ibu negara baru-baru ini.

Kata Muhammad Azmir, rakyat Malaysia kini amat matang dalam menilai kebenaran sesuatu maklumat yang mereka terima.

“Yang gagalnya siapa, kerajaan yang telah menyediakan pelbagai pakej bantuan kepada rakyat ketika rakyat terjejas akibat wabak Covid-19 dan PKP3.0 atau pihak yang bercakap kosong dalam siri-siri himpunan secara haram?

“Sudahlah gagal mohon permit, gagal tarik ‘crowd’ (bilangan yang hadir), gagal pula patuhi SOP.

“Lebih malang lagi, kerajaan tak tumbang (seperti yang diharapkan) sebaliknya hasrat untuk masuk ke Parlimen juga gagal, jadi siapa yang gagal sebenarnya?” soal beliau.

Beliau menambah, pihak yang gemar menuduh kerajaan gagal tidak sedar dalam masa yang sama mereka sebenarnya turut ‘menyerang’ kakitangan kerajaan yang selama ini setia berkhidmat bagi pihak kerajaan.

“Kalau ikutkan mereka, semua orang tidak kena, bahkan semalam, Ketua Pengarah Kesihatan (Tan Sri Noor Hisham Abdullah) pun turut jadi sasaran serangan mereka.

“Walhal mereka lupa, tindak-tanduk mereka sebenarnya mencerminkan bahawa merekalah sebenarnya golongan kecewa yang gagal.

“Rakyat benar-benar marah dengan apa yang berlaku (himpunan), ketika rakyat akur mematuhi SOP meskipun sukar, nak ke masjid dan surau pun payah, nak balik ke kampung pun susah, mereka senang-senang pula berhimpun beramai-ramai demi kepentingan sempit mereka,” tambahnya.