Home Berita PAS Terengganu

Kerajaan digesa perkemas rantaian pengedaran minyak masak dan isu ayam

116
SHARE

Kenyataan Media

Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu (DPPNT)

KERAJAAN DIGESA PERKEMAS RANTAIAN PENGEDARAN MINYAK MASAK, TANGANI KOS INPUT PENGELUARAN AYAM

DPPNT memahami bahawa tekanan inflasi yang berlaku semasa ini adalah kesan daripada peningkatan harga komoditi di peringkat global terutamanya ekoran ketegangan geopolitik.

Namun, DPPNT percaya bahawa usaha untuk mengawal impaknya ke atas kos sara hidup rakyat masih boleh dan perlu dilaksanakan melibatkan pelbagai pihak; di samping implikasi ke atas kedudukan fiskal kerajaan juga diberikan perhatian.

Mendahului hal ini, kerajaan mesti bersikap terancang dan bersepadu dalam membuat keputusan dan tindakan. Pendirian yang berubah-ubah mengenai pendekatan terbaik dalam menangani isu ini dibimbangi hanya mengundang persepsi buruk terhadap kerajaan.

Mengenai minyak masak, DPPNT menggesa kerajaan supaya memperkemas rantaian pengedaran paket 1kg bagi menjamin barang kawalan ini ada dalam pasaran dan kumpulan sasar yang layak menikmati subsidi boleh mendapatkannya. Pendekatan seperti menempatkannya untuk tempoh beberapa masa ini di Pusat Khidmat Masyarakat di seluruh negara boleh dipertimbangkan.

Jika kerajaan mengakui wujud penyelewengan minyak masak berbotol yang disubsidi, tidak mustahil hal sama juga berlaku kepada minyak masak paket 1kg jika melihat kepada susahnya untuk mendapatkannya ketika ini dalam pasaran. Justeru, aktiviti pemantauan dan penguatkuasaan mesti terus dipergiat di sepanjang rantaian daripada pengeluar sehingga kepada pengguna.

DPPNT juga menyambut baik pembatalan pemansuhan harga siling ayam seperti yang dinyatakan oleh YAB Perdana Menteri semalam; selain turut mengumumkan pengekalan tarif elektrik dan air.

Walaupun ada kewajaran untuk menaikkan harga siling ini, namun dibimbangi harga siling baharu yang akan diumumkan nanti hanya akan terus melonjakkan harganya dalam pasaran. Ini kerana, dalam keadaan harga siling ditetapkan pada kadar RM8.90/kg pun ia dijual sekitar RM10 hingga RM12 per kg kepada pengguna.

Justeru, DPPNT merasakan tumpuan utama kerajaan sepatutnya adalah kepada menangani isu kos input pengeluarannya agar dapat menstabilkan harga runcit ayam untuk tempoh jangka panjang.

Mengambil kesempatan ini juga, DPPNT mengingatkan kepada semua pengeluar, pemborong, peruncit dan pengguna agar berlaku jujur dan saling bantu membantu meringankan beban masing-masing.

Sekian.

Mohd Harun Esa
Ketua Pemuda PAS Terengganu