Home Berita PAS Sabah

Sukan PASTI latih anak berdisiplin dan patuh peraturan

115
SHARE

Oleh : Renna Yun
26 Jun 2022

KOTA BELUD : Kejohanan Sukan PASTI peringkat Zon Utara telah berlangsung dengan jayanya di Kampung Sorob, di sini semalam.

Menurut Pesuruhjaya PAS Sabah, Mohd Aminuddin Aling, dengan bersukan dapat menyihatkan tubuh badan dan melatih anak untuk berdisiplin serta patuh dengan peraturan kerana sukan mempunyai peraturan tersendiri.

“Semoga sukan seperti ini dapat menjadikan PASTI sebuah institusi pendidikan yang seimbang bukan sahaja melahirkan generasi tunas Islam yang unggul daripada aspek sahsiah, keilmuan serta amalan-amalan yang bertunjangkan kepada Islam, Iman dan Ihsan tetapi juga unggul dengan kecergasan fizikal.

“Tahniah kepada semua ahli jawatankuasa, ibu bapa, penduduk kampung serta anak-anak yang terlibat dalam menjayakan kejohanan dan saya berbesar hati melihat sokongan yang telah diberikan bagi menjayakan perlawanan,” ujar beliau ketika merasmikan kejohanan.

Menurut Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan Kota Belud, Ustaz Mustaqim Aling pula, bersukan sangat digalakkan oleh Nabi Muhammad SAW terutamanya memanah, menunggang kuda dan berenang.

Tambahnya lagi, nabi menggalakkan anak-anak untuk mempelajari sukan ini kerana bukan sahaja boleh menyihatkan tubuh badan tetapi juga dapat menyihatkan minda.

Dalam pelawanan bola sepak, johan disandang oleh PASTI Al Fath, Tuaran manakala naib johan dimenangi oleh PASTI Al Hikmah, Kota Marudu.

Bagi perlawanan bola jaring pula, johan disandang oleh PASTI Al Hikmah, Kota Marudu manakala naib johan dimenangi oleh PASTI Al Firdaus Taman Desa, Kota Belud.

Kota Belud telah menjadi tuan rumah bagi Kejohanan Sukan PASTI peringkat Zon Utara pada tahun ini yang turut melibatkan PASTI Tuaran, Kota Marudu, Kudat dan Pitas.