Home Berita PAS Johor

Kerajaan Digesa Beri Peruntukan 100 juta Untuk Sekolah Agama Rakyat &Tahfiz Dalam Pembentangan Belanjawan 2018

1488
SHARE

 

JOHOR– Kerajaan digesa memberi peruntukan yang lebih besar untuk bidang pendidikan dan modal insan terutama berkaitan sekolah agama rakyat,madrasah,dan pusat pendidikan tahfiz serta kebajikan warga pendidik dalam pengumuman Belanjawan 2018 pada 27 Oktober 2017,Jumaat ini ,kata Normala Sudirman, Pengerusi Lajnah Pendidikan Badan Perhubungan PAS Negeri Johor.

Jika sebelum ini 30 juta diberikan bagi pembangunan Dasar Tahfiz Negara dan sekolah agama rakyat serta pusat tahfiz,maka sudah tiba masanya sejumlah peruntukan besar iaitu minima 100 juta diberikan tanda keprihatinan terhadap golongan huffaz di Malaysia katanya lagi.

Rakyat sering mendengar peruntukan yang banyak dan meningkat saban dalam pendidikan pra awal kanak-kanak setiap tahun sehingga pernah mencecah ke angka RM111 juta dalam Program Permata Negara ,namun kita tidak mahu melihat pendidikan Islam dan institusi tahfiz dikesampingkan dalam persada pendidikan negara,tegasnya yang juga merupakan Presiden Pendidik.

Selain prasarana madrasah dan pusat tahfiz dibantu ,kami ingin menggesa agar prosedur membuka ,madrasah,pusat pengajian dan sekolah tahfiz dibantu dan dipermudahkan tanpa melalui terlalu banyak kerenah birokrasi sehingga melambatkan dan menganggu serta menggagalkan usaha tulus murni ini.

Selain daripada itu,kerajaan diharap agar dapat menaikkan tangga gaji guru serta elaun bagi warga pendidik serta mengumumkan peruntukan bonus minima RM1000 tanda keprihatinan dan menghargai tugas warga pendidik yang begitu sabar mendidik anak bangsa tanpa mengenal erti jemu.

Selain itu,Kementerian Pendidikan Malaysia(KPM) digesa agar mempercepatkan proses perjawatan pembantu guru dan jumlah pembantu guru dipertingkatkan bagi mengurangkan kerja-kerja perkeranian dan beban tugas guru katanya lagi.

Sementara itu,isu guru duka lara atau yang berjauhan dari pasangan dan keluarga harus diambil perhatian secara serius dan penuh keprihatinan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia(KPM)agar ianya tidak dianggap retorik semata -mata atau diatasi ibarat melepaskan batuk di tangga.

Walau bagaimana pun ,Lajnah Pendidikan Badan Perhubungan PAS Negeri Johor menyambut baik apa sahaja langkah kerajaan dan KPM dalam usaha memartabatkan profesion perguruan agar boleh berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah setanding dengan kerjaya yang lain selagi tidak lari dari prinsip akauntibiliti, integriti dan ketelusan.