Home Kenyataan Media Dewan Muslimat PAS Malaysia

KERAHAN SOLAT HAJAT UNTUK KEMENANGAN PAS DI PRK DUN SERI SETIA

247 views
SHARE

KERAHAN SOLAT HAJAT UNTUK KEMENANGAN PAS DI PRK DUN SERI SETIA

Hanya berbaki 1 hari sahaja lagi masa berkempen sebelum hari mengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Seri Setia yang ditetapkan pada 8 September 2018.

Kita melihat komitmen yang sangat tinggi daripada seluruh jentera parti hingga ke peringkat akar umbi untuk memenangkan PAS pada PRK yang pertama disertai oleh parti ini selepas PRU-14.

PAS pada kali ini mensasarkan kemenangan bagi menambahkan lagi suara untuk ‘semak dan imbang’ dalam kerajaan baru di bawah kepimpinan Pakatan Harapan.

Justeru saya mewakili seluruh kepimpinan Dewan Muslimat PAS Malaysia dengan rendah hati merayu, menyeru dan mengajak seluruh ahli Parti Islam Se-Malaysia (PAS) untuk sama-sama melaksanakan solat hajat pada malam ini dan malam esok khusus untuk kemenangan PAS pada PRK kali ini.

Selain itu, dalam jangka masa yang tinggal ini, sentiasalah perbaiki niat agar setiap gerak-kerja, jerih perih, susah payah, pengorbanan masa, tenaga dan wang ringgit yang telah kita berikan dinilai oleh Allah SWT sebagai sebaik-baik amalan dan moga ia menjadi asbab kepada kemenangan PAS.

Peliharalah diri kita sentiasa daripada melakukan perkara yang dilarang oleh Allah SWT dalam keadaan kita bersendiri mahupun secara terang-terangan kerana dibimbangi ia bakal menjadi penghalang kepada kemenangan yang semakin hampir dengan kita.

Akhir sekali, lagi lagi saya merayu semua jentera untuk banyakkan munajat, berdoa dan merintih dengan bersungguh-sungguh semoga Allah SWT mengurniakan kemenangan kepada PAS dalam PRK DUN Seri Setia agar dapat memartabatkan agama Islam di muka bumi Allah SWT ini. Semoga Allah SWT sentiasa memelihara kita semua daripada fitnah dunia yang sangat dahsyat dan fitnah dajjal yang bakal tiba.

Siiruu ‘alaa barakatillah

Muslimat Memacu Kemenangan

Ustazah Nuridah Mohd Salleh
Ketua

Dewan Muslimat PAS Malaysia
6 September 2018 bersamaan 25 Zulhijjah 1439