Home Kenyataan Media PAS Pahang

Ikut jejak Terengganu kes sebat lesbian: PAS Pahang sokong Pengarah Jaip

170 views
SHARE

 

Ekoran daripada tindakan Jabatan Agama Islam Terengganu yang telah melaksanakan hukuman sebat di hadapan ramai ke atas pesalah pasangan lesbian baru-baru ini telah menimbulkan pelbagai polemik, namun ianya juga mendapat pandangan yang positif di kalangan masyarakat termasuk yang bukan Islam.

 

PAS Pahang menyokong sepenuhnya kenyataan Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip) Datuk Muhamad Noor Abdul Rani yang membayangkan untuk mengikuti tindakan yang dilakukan oleh Jabatan Agama Islam Terengganu dan mengharapkan ianya dapat menjadi kenyataan dan disegerakan.

 

Pesuruhjaya PAS Pahang Ustaz Rosli Abdul Jabar berkata, golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) pada ketika ini didapati semakin bertambah dan berani. Ini adalah senario yang sangat membimbangkan dan ini juga bukti bahawa hukuman yang dikenakan keatas mereka selama ini kurang memberi kesan malah perlu kepada perubahan hukuman yang lebih berkesan.

 

 

Beliau yang juga Adun Tanjung Lumpur menjelaskan, hukuman sebat di khalayak bukanlah sesuatu yang baharu ianya juga dilakukan di negara-negara Islam lain seperti Saudi, Brunei dan beberapa wilayah Islam yang lain. Namun ini adalah kali pertama dilaksanakan  di Malaysia. Di samping itu juga ia adalah salah satu pendekatan bagi tujuan untuk menyekat kemungkaran yang diperintahkan oleh Allah SWT bagi kesalahan seperti zina dan lain-lain.

 

Dalam kenyataan medianya juga beliau berkata, di samping usaha dakwah yang berterusan dan lebih agresif untuk memulihkan golongan tersebut, pendekatan hukuman yang lebih berkesan juga mesti dilaksanakan kerana bukan sahaja pendekatan dakwah yang digunakan untuk manusia meninggalkan kemungkaran malahan Islam juga menggunakan pendekatan hukuman sebagai cara untuk menyekat kemungkaran.

 

Justeru, PAS Pahang menyokong sepenuhnya tindakan Jabatan Agama Islam Terengganu dan tutut menyokong sepenuhnya kenyataan Pengarah Jaip Datuk Muhamad Noor Abdul Rani yang membayangkan untuk mengikuti jejak langkah Jabatan Agama Islam Terengganu. PAS Pahang turut berdoa agar Negeri Pahang dilimpahi Rahmat dan kemakmuran daripada Allah SWT.

 

“Yakinlah bahawa hanya Islam sahajalah jalan penyelesaian”.