Oleh : Muhammad Syafiq Hamid
Ketika umat islam berada dalam krisis membangunkan semula tamadun selepas era kejatuhannya akibat dirobek oleh kuasa penjajah, kehadiran cendekiawan dan ilmuan Islam dalam masyarakat menjadi satu ke kewajiban kifayah dalam membangunkan semula keunggulan Islam mengikuti neraca Al Quran dan Sunnah Rasulullah SAW.
Sukar untuk membezakan antara cendekiawan dan ilmuwan kerana keduanya didasari keilmuan. Dalam sudut pandang Islam, ada cuba mentakrifkan cendekiawan sebagai hukama manakala ilmuwan Islam pula di takrifkan sebagai ulama’. Seperti mana yang pernah saya tulis dahulu perbezaan antara sarjana, ilmuwan dan cendekiawan. Kali ini saya ingin ulas kepentingan membina dan mengangkat cendekiawan dalam masyarakat.
Ulama’ atau ilmuwan Islam amat penting dalam masyarakat kita, mereka adalah individu yang dianugerahkan kefahaman mendalam dalam agama Islam hasil iltizam menuntut ilmu menghafal dan memahami. Kini, ramai dalam kalangan masyarakat cuma mengangkat tokoh daripada kalangan ilmuwan kerana sedar akan kepentingan ilmu Islam.
Ilmuwan Islam ini ada pelbagai cabang bidang seperti ilmuwan dalam Tafsir Al Quran (Mufassir), Hadis (Muhaddits), Fekah (Fuqaha’) dan sebagainya. Ilmuwan kini giat diberi peluang untuk memenuhi undangan untuk memberi syarahan kepada masyarakat mengenai bidang mereka dalam memandaikan masyarakat.
Manakala cendekiawan pula adalah individu yang merupakan seorang ilmuwan yang turun dimedan masyarakat bukan hanya mensyarahkan ilmu mereka pada masyarakat tetapi berfikir mencari solusi dan mengetuai perubahan dalam memajukan masyarakat.
Contoh dalam bidang lain yang boleh kita teliti adalah ahli kejuruteraan atau farmasi. Seseorang ilmuwan dalam bidang kejuruteraan atau farmasi hanya giat mensyarah ilmu yang ada dalam bidang kejuruteraan dan farmasi. Namun cendekiawan pula adalah mereka yang mencipta sesuatu teknologi baru ataupun ubatan/vaksin yang dapat menyelesaikan permasalahan masyarakat.
Bidang agama lebih lagi bagaimana seorang cendekiawan itu dalam melihat sesuatu permasalahan dan mencari idea solusi dalam menyelesaikannya, contoh permasalahan yang berlaku isi pendidikan seksual di sekolah, sejauh mana ilmuwan mengkaji pendekatan Islam dan menyelesaikan masalah ini dengan bukan hanya penyelesaian teori dimeja penceramah.
Bagaimana kita ingin mewujudkan bandar patuh syariah atau bandar berciri teraskan Islam? Bagaimana pengajian tinggi dapat membentuk graduan yang berpemikiran Islam? Bagaimana peranan industri dalam berdakwah kepada pekerja? Bagaimana komuniti taman atau kampung dapat hidup bermasyarakat mengikut acuan Islam? Bagaimana anak muda yang dilambakkan dengan media sosial dapat dibentuk akhlaknya? Fiqh Media Sosial?
Persoalan di atas adalah “problem statement” awal untuk diketengahkan oleh ilmuwan Islam untuk diangkat menjadi cendekiawan Islam. Ilmuwan jangan rasa berpuas hati diangkat dan diberi pelbagai anugerah dengan keilmuan mereka tanpa mencari solusi dalam menyelesaikan permasalahan umat dengan lebih praktikal bukan hanya bersyarah di meja kuliah.
Umat Islam amat dahagakan kehadiran ilmuwan Islam untuk mendidik masyarakat, tidak kurang juga kehausan umat Islam kemunculan cendekiawan Islam dalam menyelesaikan permasalahan yang dialami oleh umat Islam.
Kesimpulannya dalam kita mengangkat ramai ilmuwan untuk menjadi tokoh atau ikon semasa, kita perlu juga memberi penilaian sejauh manakah ilmuwan tersebut mengangkat dirinya menjadi cendekiawan dalam memberi sumbangan dan berbakti kepada masyarakat dalam menyelesaikan permasalahan semasa.