Kesyukuran tidak terhingga kepada Allah SWT atas nikmat kurniaan kehidupan, masih bernafas dengan kesegaran udara dan terus melangkah di bumi Tuhan serta kekuatan untuk istiqamah dalam perjuangan Islam.
Dengan penuh rendah hati, saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada YAB Menteri Besar Terengganu yang telah membawa nama saya ke dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk diterima dan disokong oleh warga dewan.
Keputusan yang disuarakan melalui syura kepimpinan tertinggi PAS Pusat ini tidak akan disia-siakan dan insyaAllah dengan penuh tekad dan azam saya akan laksanakan tugasan serta amanah memikul tanggungjawab sebagai Ahli Dewan Negara dengan sebaiknya.
Sesungguhnya saya menyedari bahawa tugasan ini bukanlah suatu tasyrifan (penghormatan), malah ianya sebuah taklifan (tanggungjawab) yang bakal disoal di akhirat kelak.
Amanah ini hadir bersama komitmen dan kesungguhan yang tidak berbelah bahagi, saya berharap agar semua pihak terutama Muslimat PAS sentiasa mendoakan saya agar dipermudahkan segalanya, di samping menjadi tulang belakang agar amanah ini dapat dilaksanakan sebaiknya.
Seterusnya membuktikan bahawa Muslimat PAS juga mempunyai peranan dan posisi yang diperlukan rakyat sekaligus memperjuangkan suara wanita untuk diberikan perhatian sewajarnya.
Akhir kalam, terima kasih atas doa dan ingatan daripada semua pihak.
Ustazah Nuridah Mohd Salleh
Ketua
Dewan Muslimat PAS Malaysia
30 November 2018 bersamaan 22 Rabi’ul Awal 1440