Home Berita PAS Perak

Kenyataan Media | Tarik balik hebahan ‘Pesta Songkran’, terima kasih Sahom Valley Resort

173
SHARE
KENYATAAN MEDIA PAS KAWASAN KAMPAR
15 Ogos 2023 | 28 Muharam 1445H
TARIK BALIK HEBAHAN PESTA SONGKRAN, TERIMA KASIH SAHOM VALLEY RESORT
Berikutan isu penganjuran Pesta Songkran di Sahom Valley Resort yang tular semalam, PAS Kawasan Kampar yang diwakili oleh Yang Dipertua PAS Kampar, Ust Mohd Sofian Haji Rejab, Ketua Dewan Pemuda PAS Kampar, Saiful Islam Abd Rahman, dan Ketua Lajnah Dakwah PAS Kampar, Abdul Manaf Haji Ismail telah melakukan kunjung hormat ke Sahom Valley Resort untuk mendengar penjelasan dan mendapatkan respons daripada pihak penganjur berkaitan isu tersebut.
Kehadiran wakil PAS Kawasan Kampar telah disambut dengan baik oleh pihak pengurusan Sahom Valley Resort. Dalam pertemuan yang berlangsung selama dua jam tersebut, PAS Kawasan Kampar telah menerangkan mengenai fatwa dan hukum Pesta Songkran kepada pihak pengurusan, di samping melontarkan keluhan dan bantahan masyarakat setempat terhadap penganjuran program tersebut.
Pihak penganjur mengakui kesilapan kerana menggunakan istilah ‘Pesta Songkran’ dalam hebahan dan promosi pesta air yang sensitif dan mengelirukan masyarakat. Penganjur juga menjelaskan bahawa pesta air tersebut bukanlah sebagaimana yang dilihat dalam Perayaan Songkran masyarakat Siam tetapi hanya aktiviti air untuk para pengunjung. Pihak Sahom Valley Resort akan menarik balik hebahan tersebut dan akan membuat permohonan maaf secara terbuka kepada semua pihak dalam masa terdekat.
PAS Kawasan Kampar juga merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang telah menyuarakan bantahan terhadap isu ini. Marilah sama-sama kita membina generasi yang berpegang teguh dengan nilai-nilai Islam serta prihatin menunaikan tanggungjawab amar makruf dan nahi mungkar.
“MALAYSIA SEJAHTERA”
Sekian, terima kasih.
UST MOHD SOFIAN BIN HAJI REJAB
Yang Dipertua
PAS Kawasan Kampar