Home Kenyataaan Media PAS Perak

[Kenyataan Media] PAS Perak dokong penuh tolak khemah besar

1
SHARE

PAS PERAK DOKONG PENUH TOLAK KHEMAH BESAR

Kemelut politik negara memerlukan penyelesaian tuntas demi kestabilan dan masa depan negara. Gabungan longgar yang wujud kini tidak dapat memastikan kestabilan negara yang berterusan.

PAS Perak melihat keperluan gabungan yang stabil untuk memerintah negara dengan baik. Kemelut yang ada dalam gabungan yang ada sangat membimbangkan. PAS Perak tetap berpendirian bahawa tunjang dan teras politik negara mesti di dominasi bangsa Melayu beragama Islam. Ini kerana teras politik negara adalah bangsa Melayu. PAS Perak juga mengambil pendekatan melebarkan hubungan dengan parti politik bukan Melayu yang tidak ekstrim khasnya melalui Dewan Himpunan Penyokong PAS(DHPP).

PAS Perak menyedari realiti politik di Perak adalah kepelbagaian bangsa. Hubungan Perikatan Nasional Perak berada dalam kedudukan terbaik. Dalam masa yang sama hubungan melalui Muafakat Nasional yang pernah di bentuk masih kekal walaupun sedikit longgar. Hubungan parti politik berteraskan Melayu ini sangat penting demi menghalang Pakatan Harapan mengulangi pemerintahan mereka yang diisi dengan pelbagai polisi yang merugikan bangsa dan negara.

Berdasarkan suasana yang ada, PAS Perak mendokong penuh kenyataan Naib Presiden PAS, Dato Nik Amar yang menolak khemah besar. Khemah besar hanya memberi nyawa kepada Amanah dan PKR yang sedang nazak. DAP yang menjadi tunjang PH juga mengalami kemerosotan sokongan berdasarkan petunjuk beberapa PRN khasnya di Sarawak dan Melaka selain Johor dan Sabah. Idea khemah besar hanya untuk menyelamatkan parti-parti PH yang sedang karam dengan penolakan rakyat dan pergaduhan dalaman yang runcing.

PAS Perak bersedia dengan pelbagai strategi dan hubungan termasuk NGO yang aktif membela isu rakyat. Rakyat perlukan kuasa politik yang mampu membela nasib mereka. Jesteru itu, penyatuan ummah adalah agenda PAS Perak sebagaimana digagaskan oleh PAS Pusat bagi mencapai agenda tersebut.

Yang Berhormat Tuan Haji Razman Zakaria,
Pesuruhjaya PAS Negeri Perak
20 Jun 2022M/20 Zulkaedah 1443H