“Saff Bahtera BPPNS” | Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor
KENYATAAN MEDIA
MUAFAKAT NASIONAL NEGERI SELANGOR
DATO DR AHMAD YUNUS BIN HAIRI
TAN SRI NOH BIN OMAR
PENGERUSI BERSAMA MN Selangor
MENGUTUK KEGANASAN ISRAEL DAN MENDESAK KERAJAAN NEGERI SELANGOR TIDAK BERPOLITIK DALAM MENGHADAPI PANDEMIK COVID 19
1. Tindakan tidak berperikemanusiaan regim haram Israel ke atas rakyat Palestin sehingga
mengakibatkan kemusnahan hartabenda dan kehilangan nyawa bermula dari penghujung Ramadhan lalu sehinggalah ke hari ini cukup dikesali. MN Selangor mendesak kerajaan Malaysia agar bertindak lebih agresif terhadap regim berkenaan bersama negara-negera Islam yang lain. Segala bentuk bantuan dan pertolongan perlulah disalurkan segera ke bumi Palestin untuk meringankan kesengsaraan rakyatnya selain membantu membangunkan semula tanahair mereka yang hampir musnah dikerjakan oleh regim haram itu.
2. Semua pihak sepatutnya mengenepikan perbezaan dalam membela kesengsaraan yang ditanggung rakyat Palestin ini samada di Tebing Barat mahupun di Gaza dengan bersatu berdiri sebagai rakyat Malaysia yang prihatin dan bermaruah. Tindakan salah seorang pemimpin PH Selangor dari DAP yang menganggap keprihatinan negara terhadap perjuangan rakyat Palestin sebagai tindakan yang “bodoh” sangat dikesali dan sesungguhnya mencerminkan kepada rakyat betapa tiada akhlak dan biadapnya mereka ini yang sewajarnya ditolak rakyat dimasa depan.
3. Dalan pada itu MN Selangor turut merakamkan kebimbangan terhadap meningkatnya kes jangkitan Covid 19 dalam negara khasnya di negeri Selangor. Angka 2,251 kes baru di negeri Selangor sahaja pada 19 Mei 2021, iaitu rekod tertinggi dalam negara membuktikan betapa lemahnya pengurusan kerajaan negeri Selangor di bawah PH. Walaupun Selangor merupakan salah sebuah negeri termaju di Malaysia dengan memilik kemudahan asas yang terbaik dan PBT yang serba lengkap dan mewah namun gagal dalam mengawal pandemik ini sehingga mengancam keselamatan rakyatnya.
4. Kerajaan Negeri PH Selangor dilihat lebih cenderung berpolitik dengan menuding jari dan menyalahkan kerajaan Persekutuan sedangkan mereka sepatunya berkerjasama rapat dengan kerajaan Persekutuan dan menggerakkan semua kemudahan dan sumber negeri yang ada demi menghadapi pandemik ini. Malah antara Pasukan Petugas Khas Menangani Covid-19 Selangor (STFC) dan Menteri Besar Selangor sendiri pun kelihatan mengeluarkan kenyataan yang bercanggah sesama sendiri.
5. MN Selangor menyeru kerajaan negeri agar lebih fokus dan bertanggungjawab selain
berkerjasama sepenuhnya dengan kerajaan Persekutuan agar penularan wabak ini dapat diuruskan dengan lebih baik dan rakyat negeri Selangor dapat keluar dari kepompong kebimbangan ini. MN Selangor juga merayu agar rakyat negeri ini mematuhi dan mengamalkan sepenuhnya SOP yang diperkenalkan oleh pihak Majlis Keselamatan Negara dan KKM dan sentiasa mengamalkan norma baru dengan harapan Allah SWT membantu kita keluar dari krisis yang cukup membimbangkan ini.
Lajnah Penerangan & Media Baru
Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor