Home Kenyataan Media Dewan Pemuda PAS Malaysia

KENYATAAN MEDIA DPPM | “Wake Up Perangi Dragon 9 dan Tali Barutnya”

13773
SHARE

\\
KENYATAAN MEDIA
DEWAN PEMUDA PAS MALAYSIA
24 Oktober 2017 | 4 Safar 1439

“‘WAKE UP’ PERANGI ‘DRAGON 9’ & TALI BARUTNYA”

1. Aktiviti haram termasuk keupayaan menguasai pihak penguat kuasa oleh sembilan ‘dragon’ sewajibnya dibenteras dan ditangani dengan tegas oleh pihak kerajaan kerana ia adalah masalah jenayah. Kenyataan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Dato’ Nur Jazlan Mohamed bahawa kerajaan sentiasa memantau dan berusaha mengawal kegiatan mereka itu supaya tidak keterlaluan adalah terlalu naif dan mengundang kegusaran.

2. Pengakuan beliau itu sebenarnya mengejutkan dan penuh persoalan seolah-olah kerajaan memerhati perkara tersebut sekadarnya dan tidak mampu untuk menyelesaikan. Malah seakan kegiatan itu dijaga dan dilindungi perkembangannya secara sambilan. Isunya ia bukan masalah kenakalan atau moral, tetapi jenayah berat yang boleh menggugat dan mengancam keselamatan negara serta keharmonian rakyat.

3. Cengkamannya telahpun merebak dalam sektor kerajaan sendiri apabila penguat kuasa boleh ‘dipegang’ dan dirasuah dengan mudah, selain didakwa berpengaruh untuk menukar sesiapa sahaja dalam tempoh 24 jam. Bahkan memiliki kekuatan kewangan mengutip hasil hingga RM5 bilion sebulan dari kegiatan yang mereka jalankan. Sewajarnya ia diperangi untuk tidak merebak membarah sama sekali dalam masyarakat.

4. Jangan hingga nanti wujud kesangsian dari ketidakpercayaan awam bahawa kerajaan terlalu lemah, atau lebih jauh dari itu lahirnya skeptikal mengaitkan orang politik punyai kepentingan dan bersekongkol dengan kumpulan seperti itu. Ia akan menjadi situasi menakutkan bagi masyarakat dan penggera kecemasan mesti segera dibunyikan dan kerajaan wajib serta-merta menanganinya sebelum keadaan menjadi bertambah parah.

5. Kita percaya pihak penguat kuasa utama negara yakni pasukan polis, termasuk KDN sendiri begitu memahami ‘tabiat’ serta potensi dari kegiatan, pelaku serta mara bahaya yang upaya ditimbulkan. Kami menggesa Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak sendiri mengumumkan langkah segera yang bersepadu serta jaminan memastikan isu kritikal ini dapat ditangani. Kerana ia kini sangat berkait dengan integriti kerajaan sendiri dan kedaulatan negara.

“Sejahtera Bersama Islam”
“Mara Menuju Cita”

USTAZ MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Malaysia